About

Monday 31 August 2020

PROGRAM GOTONG-ROYONG PENGHUNI APARTMENT TAMAN SENTOSA, SITIAWAN

 

Muafakat Membawa Berkat...bulat air kerana pembetong..bulat manusia kerana sepakat.

Pagi ini bertempat di Apartment Taman Sentosa, Sitiawan sedang berlangsung program gotong royong membersih dan membuang sampah pukal yang telah ditinggalkan lama oleh bekas penyewa perumahan tersebut.
 
Program anjuran Persatuan Penduduk Apartment Sentosa dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung.
 
Perumahan apartment ini yang diduduki oleh pelbagai rumpun bangsa terdiri daripada Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan bermandi peluh pagi ini adalah bagi membersih dan membuang sampah pukal yang telah lama terbiar dan ditinggalkan oleh bekas penyewa yang telah berpindah dan juga terdapat penyewa yang masih menetap disini tetapi menjadikan rumah kosong sebagai setor barangan lusuh mereka.
 
Program gotong royong dengan pengisian 2 dalam 1 adalah bagi membersih kawasan tempat tinggal serta memupuk hubungan baik antara pelbagai kaum. 
 
Semangat tolenrasi, bekerjasama dan bertanggungjawab perlu ada pada setiap penghuni perumahan jenis strata ini dalam usaha membentuk muafakat dalam komuniti bagi memupuk bibit perpaduan yang menjamin hubungan baik disamping menjaga persekitaran bangunan kediaman yang didiami agar selamat, bersih dan ceria.
 
#Muafakat membawa berkat
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

Program Semarakkan Hari Kemerdekaan yang ke-63 KRT Taman Manjung Point Seksyen 4&5.

Pagi tadi bertempat di Padang Taman Manjung Point Seksyen 4 telah berlangsung Program Semarakkan Hari Kemerdekaan yang ke-63 anjuran Pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) bersama KRT Taman Manjung Point Seksyen 4&5.

Perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Haji Rosli Bin Abd Rahman, Ahli Majlis Perbandaran Manjung @ merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 9.
 
Program yang membabitkan penglibatan komuniti taman perumahan Taman Manjung Point Seksyen 4 dan komuniti Taman Manjung Point Seksyen 5.
 
Pelbagai acara telah diadakan termasuk konvoi bermotosikal dan kereta sekitar taman perumahan, pertandingan hiasan rumah kediaman dan hiasan kenderaan bermotifkan kemerdekaan.
 
Objektif program bukanlah sekadar ingatan kepada perjalanan mengimbau kembali sejarah kemerdekaan negara sahaja tetapi lebih kepada usaha pengisian kemerdekaan dan rakyat hidup penuh harmoni dan bersatu padu serta memiliki nilai jati diri dan semangat patriotisme yang tinggi.
 
#Malaysia Prihatin
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Sunday 30 August 2020

PROGRAM "KONSERVASI MERDEKA" PERSATUAN AKTIVIS SAHABAT ALAM (KUASA) BERSAMA AGENSI KERAJAAN

Sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2020, Pelepasan anak penyu ke laut lepas adalah acara kemuncak daripada tentatif Program "Konservasi Merdeka" anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dengan kerjasama Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu dan Majlis Perbandaran Manjung.
 
Program yang bermotifkan kemerdekaan mencapai hasratnya apabila sebanyak 73 ekor anak penyu yang disumbangkan oleh Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu Segari yang berpangkalan di Pantai Pasir Panjang telah memberi peluang kepada 73 orang kakitangan KUASA melepas bebas anak penyu khazanah negara yang tidak ternilai harganya ke laut lepas sebagai simbolik bagi mencapai kemerdekaan dalam neratif kehidupan marin tersebut.
 
Sebelum itu program yang bermula sejak jam 12.00 tengahari dimulai penerangan berkenaan habitat hidupan marin, pembersihan pantai dan penanaman 63 pokok ambung-ambung turut diadakan. 
 
Sebanyak 98.8kg pelbagai sampah dan bahan plastik dapat dikutip pada program tersebut yang jelas menunjukkan betapa masyarakat kita masih belum menghayati bahawa dunia ini dikongsi antara manusia dan makluk marin yang lain yang memerlukan tindakan positif dan prihatin daripada manusia.
 
Objektif program ada bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menjaga pemeliharaan dan pemuliharaan perairan pantai agar menjadi tempat yang bersih, ceria dan selamat dikunjungi dan juga memberi harapan dan peluang kepada generasi akan datang agar dapat melihat hidupan marin dengan nyata.
 
#Malaysia Prihatin
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung

 






Program Pengedaran Bendera Jalur Gemilang Kepada Ketua Komuniti

Sebentar tadi bertempat di Dewan Orang Ramai Kpg Teluk Penchalang telah berlangsung Program Pengedaran Bendera Jalur Gemilang kepada lebih 30 orang ketua komuniti setempat.

Program adalah anjuran bersama Pengerusi Jawatankuasa Penduduk @ Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 3, Encik Mohd Azrien Bin Haji Salleh, Ahli Majlis Zon 5, Encik Azmi Bin Murid dan Encik Hamdan Bin Mohamed, Ahli Majlis Zon 10 serta dengan kerjasama Persatuan Kepolisan Komuniti Daerah Manjung dan Majlis Perbandaran Manjung.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Shukri Bin Ismail, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung.
 
Program yang berbentuk pengedaran bekalan bendera Jalur Gemilang kepada komuniti untuk dipasangkan di bangunan kediaman, premis perniagaan dan kenderaan bagi memupuk semangat kecintaan kepada negara dan memperingati hari bersejarah negara kepada semua warga negara.
 
# Malaysia Perihatin
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




Saturday 29 August 2020

INISIATIF PASUKAN UNIT LANDSKAP MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG UNTUK KESEJAHTERAAN KOMUNITI

Tiada apa yang mampu diucapkan oleh komuniti Taman Fasa 1D2, Seri Manjung hari ini.

Ingauan dan ketakutan kepada akan berlakunya kemalangan yang boleh membawa kesan buruk kepada komuniti setempat.
 
Pada sehari yang lalu Ketua Masyarakat setempat Pengerusi KRT Tuan Haji Muaseh Bin Saadon telah memaklumkan sepohon pokok yang telah reput dan menanti masa untuk tumbang yang boleh mendatangkan mudarat kepada komuniti.
 
Namun pada petang tadi, "team skylift" Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah mengambil langkah proaktif dengan menebang pokok tersebut walaupun dengan kekangan masa yang terhad setelah terlibat dengan program gotong-royong yang lain pada waktu pagi hari ini di lokasi yang lain.
 
Keselamatan warga komuniti setempat diutamakan demi kesejahteraan Daerah Manjung. Tahniah Unit Landskap kerana anda menjiwai slogan PBT di hati.
 
#Kredit kepada Pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan Unit Landskap.
 
Bahagian Kemasyarakatan
 Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




INISIATIF KETUA KOMUNITI DAERAH MANJUNG MENYAMBUT AMBANG KEMERDEKAAN

Berbekal semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara, walaupun ketiadaan sumbangan dana kewangan namun Pemimpin Masyarakat Tempatan Daerah Manjung yang terdiri daripada Pengerusi KRT, Pengerusi Persatuan Penduduk taman perumahan berupaya berdikari menyuntik semangat kecintaan terhadap negara melalui inisiatif sendiri iaitu penglibatan dan pengembelingan tenaga warga komuniti setempat.

Apa yang mengujakan bulan Ogos setiap tahun banyak peristiwa penting yang berlaku pada kepada semua orang termasuk detik-detik manis tarikh kelahiran, tarikh perkahwinan dan hari kemerdekaan yang bersejarah kepada negara kita Malaysia.
 
Inisiatif ini amat bermakna bagi menyuntik semangat dan memberi kesedaran kepada golongan muda masa kini menghargai kecintaan kepada negara dan mensyukuri apa yang kita nikmati ketika ini berbanding nenek moyang kita terdahulu.
 
Negara kita Malaysia telah merdeka dan komuniti kita hidup aman dan damai tetapi mengapa satu bendera pun begitu susah untuk kita pasangkan, kenapa?.
 
Sekiranya setiap satu rumah kediaman dan premis perniagaan memasang satu bendera, suasana menjadi lebih meriah dan membuktikan kita sama-sama berbangga menjadi warganegara Malaysia negara tumpah darahku.
 
Terima kasih kepada Pengerusi KRT dan Pengerusi Persatuan Penduduk Daerah Manjung termasuk Taman Manjung Point 4 & 5, Taman Samudera 2, Kampung Baru Kampung Jering, Taman Desa Maju, Kampung Deralik, Taman Manjung Baru, Taman Melati, Fasa 1D, Fasa 2C, KRT Seri Manjung 1, Bandar Baru Setiawan Perdana dan banyak lagi. Anda semua adalah pencetus minda merdeka.
Merdeka..Merdeka..Merdeka..
 
#Malaysia Prihatin
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

Friday 28 August 2020

PROGRAM GOTONG-ROYONG SK SERI BAYU BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi ini bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Bayu, Kompleks Sekolah Wawasan Manjung, Seri Manjung sedang berlangsung program gotong royong memangkas dahan pokok yang membahayakan kepada keselamatan pelajar-pelajar sekolah.

Program gotong royong anjuran SK Seri Bayu, Persatuan Ibu Bapa Sekolah dengan kerjasama Unit Landskap dan Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif program adalah bagi memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah, meningkat keceriaan, kebersihan dan keselamatan di kawasan sekolah serta meningkatkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara warga sekolah bersama PIBG dan Pihak Berkuasa Tempatan.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




Thursday 27 August 2020

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS ZON 14

 

Malam tadi sedang berlangsung Program Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk Zon 14 (Kampung Koh, Sitiawan) di Bilik Mesyuarat Dewan Persatuan Cina Manjung, Kampung Koh, Sitiawan.
 
Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 14 Encik Ding Siew Chee adalah secara automatik dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 14. Ahli-ahli jawatankuasa yang lain adalah terdiri daripada komuniti taman perumahan, kampung yang terdapat di kawasan zon Ahli Majlis Zon 14. 
 
Ahli Majlis Perbandaran Manjung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk seumpama ADUN yang mempunyai DUN di bawah kawasan seliaannya.
 
Majlis penerangan berkenaan Jawatankuasa Penduduk Zon telah dilaksanakan oleh Encik Muhamad Shukri Bin Ismail, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial.
 
Objektif utama adalah sebagai flatform mewujudkan hubungan kerjasama diantara Majlis Perbandaran Manjung dan warga perbandaran dalam semua aspek dan juga sebagai satu inisiatif bagi memberi galakkan dan penyertaan warga perbandaran dalam hubungan kemasyarakatan serta menangani isu-isu perbandaran kearah menjadi bandar selamat serta menjalin hubungan baik antara komuniti zon 14 bersama Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Manjung dan agensi kerajaan yang lain.
 
Bahagian Kemasyarakatan,
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 


 


Program Pelancaran Laman Dekorasi Kitar Semula Beruas, Majlis Perbandaran Manjung Pada 27 Ogos 2020

 

" Tidak perlu berbelanja mewah untuk mencantikkan sesuatu..yang perlu ada inisiatif dan sedikit sentuhan kreativiti.." itu adalah antara ucapan alu-aluan YDP Majlis Perbandaran Manjung pada Program Pelancaran Laman Dekorasi Kitar Semula Beruas.
 
Pagi tadi telah berlangsung Program Pelancaran Laman Dekorasi Kitar Semula Beruas, Majlis Perbandaran Manjung di Pekan Beruas, Beruas Kota warisan berusia lebih 100 tahun.
 
Majlis perasmian telah disempurna oleh YB Dato' Haji Abd Manaf Bin Hashim, ADUN Pengkalan Baharu. Sebelumnya ucapan alu-aluan telah disampai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung Tuan Syamsul Hazeman Bin Md Salleh. 
 
Antara yang hadir memeriahkan program adalah Datuk Dr Haji Azhar Bin Ahmad, Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan Ketua Jabatan Agensi Daerah yang turut hadir adalah Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Encik Amiruddin Bin Kasmiran, Timbalan Ketua Polis Daerah Tuan Chong Boo Khim, Jurutera JPS, Encik Mohammad Rozdhi Bin Abdullah, Dr Tajul Atiqah Binti Zaulkafali, Pegawai Perubatan Dan Kesihatan Kelinik Beruas, Penghulu Mukim Beruas, Ketua Balai Polis Mukim Beruas, Jawatankuasa Sementara Penduduk (JKSP), Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 12, Zon 20, Zon 21, Zon 22, Pengarah dan Ketua Jabatan/Ketua Unit Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif program adalah bagi mencetus idea kepada komuniti untuk menjadi masyarakat yang kreatif dan berinovatif dan Majlis Perbandaran Manjung akan terus komited untuk memberi nilai tambah kepada mana-mana inisiatif yang dijalankan bagi membangun, menceriakan dan mencantikkan kawasan yang boleh menjadi tarikan kepada awam dan Daerah Manjung amnya.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





Friday 21 August 2020

PROGRAM GOTONG-ROYONG CSR PUNCAK EMAS INFRA SDN BHD, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG DAN KOMUNITI

 

Pagi tadi bertempat di Kampung Baharu Kampung Merbau, Ayer Tawar, Perak program gotong royong pembersihan kawasan, sampah pukal dan penebangan pokok yang membahayakan kepada keselamatan komuniti dan telah dilaksanakan dengan penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Manjung, syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn Bhd, Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 18 (Ayer Tawar) Encik Ahmad Azmi Bin Ismail dan komuniti setempat.
 
Program telah dihadiri sendiri oleh Setiausaha Perbandaran Manjung Encik Mohd Helmi Bin Arifin yang telah memaklumkan bahawa Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Manjung sentiasa terbuka dan memberi kerjasama serta mengalu-alukan kepada mana-mana kampung yang mahu mengambil inisiatif mengadakan program gotong royong bagi membersihkan kawasan kampung dan taman perumahan.
 
Objektif program adalah bagi memupuk amalan kebersihan sebagai budaya masyarakat Malaysia, meningkatkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat dan memantapkan pelaksanaan aktiviti kebersihan persekitaran melalui inisiatif masyarakat.
 
#Malaysia bersih tanggungjawab bersama.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersih persisiran pantai bersama komuniti setempat.

 

Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor pagi ini menjadi tempat tumpuan Pegawai dan kakitangan dan ahli keluarga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Manjung didalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) membersih persisiran pantai bersama komuniti setempat.
 
Program CSR yang bertemakan Kepenggunaan Bersama Komuniti Dan Pemulihan Serta Pemulihan Alam Sekitar Pulau Pangkor di jayakan bersama dua agensi kerajaan bersama penglibatan komuniti merupakan komitmen agensi kerajaan bagi memberi laluan yang kondusif dan efektif kearah Negeri Perak yang bersih.
 
Program telah dirasmikan dan dihadiri oleh Pengarah KPDNHEP Negeri Perak Tuan Saifullizam Bin Kamarul Zaman, turut hadir Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 1 (Pulau Pangkor) Tuan Haji Asmadi Bin Teh bersama kakitangan Majlis Perbandaran Manjung Zon Pulau Pangkor dan komuniti setempat.
 
Objektif penganjuran program adalah bagi mewujudkan persekitaran pantai yang ceria, harmoni dan selamat dikunjungi oleh orang awam. 
 
Disamping itu, bagi memupuk dan meningkat kesedaran masyarakat akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan persisiran pantai sebagai budaya komuniti setempat, rakyat Negeri Perak dan Malaysia amnya.
 
Sekalung penghargaan kepada warga KPDNHEP Negeri Perak
 
Bahagian Kemasyarakatan & Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Wednesday 19 August 2020

 GOTONG ROYONG GERAK KERJA RAKAN TAMAN

Pagi ini bertempat di kawasan lapang Taman Manjung Point Seksyen 1, Seri Manjung berlangsung program gotong royong Rakan Taman anjuran Rakan Taman Manjung Point 1 dibawah kelolaan Pengerusinya Tuan Haji Mohd Tejuddin Bin Kamaruddin.
 
Program gotong royong dilaksanakan bagi membersih kawasan sekitar pokok buah-buahan yang dibekalkan oleh Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung pada Majlis Pelancaran Gerak Kerja Rakan Taman Majlis Perbandaran Manjung yang telah dirasmikan oleh Tuan Mohd Helmi Bin Arifin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung pada 28 Disember 2019.
 
Sebanyak 8 jenis pokok buah-buahan dibekalkan pada program tersebut iaitu pokok Durian Belanda, Jambu Madu, Kedondong, Belimbing, Ciku, Kedondong, Belimbing Buluh dan Limau Kasturi.
 
Objektif program adalah bagi menyemai kesedaran dikalangan komuniti untuk mencintai serta mempunyai sifat kepunyaan kepada taman awam, taman kejiranan atau kawasan lapang sebagai aset awam yang perlu dipelihara dan dijaga. Disamping itu, menyemarak semangat perpaduan dan intergrasi sosial di kalangan komuniti.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung