About

Wednesday 27 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 6 - MASJID AL-BADR SERIBU SELAWAT, PULAU PANGKOR)

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 6 - MASJID AL-BADR SERIBU SELAWAT, PULAU PANGKOR)

Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor ialah masjid terapung pertama terbina di negeri Perak hasil daripada cetusan idea YB Dato' Seri Di Raja Dr. Haji Zambry Abd. Kadir mantan Menteri Besar Negeri Perak yang ke-11.
Pembinaan Masjid Al-Badr Seribu Selawat di Pulau Pangkor bukan sahaja sebagai tempat ibadat umat islam tetapi ia adalah satu monumen baru melalui penekanan keunikan dan identiti seni bina yang menjadi mercu tanda dan menyumbang kepada produk pelancongan tempatan.
Hari ini, Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung mengetuai rombongan barisan tertinggi pengurusan Majlis Perbandaran Manjung, Ahli-Ahli Majlis dan anggota Majlis Perbandaran Manjung bagi meneruskan tradisi tahunan dalam majlis berbuka puasa, menghulur sumbangan daripada Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada asnaf dan mendirikan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Terawih secara berjemaah bersama komuniti dalam suasana penuh mesra dan damai dengan deruan bunyi ombak.
Turut hadir menyerikan program ialah YB Dato' Seri Di Raja Dr. Haji Zambry Abd. Kadir, mantan Menteri Besar Negeri Perak yang ke-11 ialah anak jati Pulau Pangkor yang turut mengikuti program hingga ke akhirnya dan berbesar hati menjamu peserta rombongan dengan jamuan moreh yang menambat hati dengan juadah makanan tradisi di Pulau Pangkor.
Kembara Program Jejak Warisan Masjid dan Majlis Berbuka Puasa Majlis Perbandaran Manjung Bersama Komuniti bagi tahun 2022 melabuhkan tirainya pada hari ini dan akan berjumpa lagi pada tahun hadapan di masjid, surau di lokasi mukim yang berbeza.
"..Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.."
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Thursday 21 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 5) DI MASJID AR-RAHMANIAH, KPG SUNGAI WANGI, AYER TAWAR, PERAK

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 5) DI MASJID AR-RAHMANIAH, KPG SUNGAI WANGI, AYER TAWAR, PERAK

Masjid Ar-Rahmaniah, Kampung Sungai Wangi, Ayer Tawar menjadi lokasi ke-5 daripada 6 lokasi masjid yang dikunjungi oleh Majlis Perbandaran Manjung dalam pengisian Ihya Ramadan bersama komuniti perbandaran bagi tahun 2022.
Tuan Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung mengetuai barisan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung dalam usaha mengeratkan hubungan ukhuwah Pihak Berkuasa Tempatan dengan masyarakat setempat.
Turut hadir menyerikan program tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung, Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit dan anggota Majlis Perbandaran serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK).
Pada program yang sama Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung turut berbesar hati melancarkan QR Code Fill Book Masjid Ar-Rahmaniah yang boleh dirujuk oleh semua lapisan masyarakat untuk mendapatkan ilmu pengetahuan berkaitan sejarah awal pembinaan masjid tersebut dan boleh ditambah baik dari masa ke semasa. Dokumen QR Code Fill Book masjid ditempatkan di semua masjid yang pernah di lawati oleh Majlis Perbandaran Manjung dalam program sebelum ini termasuk juga di Masjid Ar-Rahmaniah pada hari ini.
Sebagai meneruskan tradisi program yang saban tahun dianjurkan oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung ini tidak ketinggalan ialah diadakan majlis menyantuni golongan miskin bandar yang terdapat di kawasan perbandaran dengan sumbangan kotak makanan daripada Projek ERAT (Ekspedisi Rakyat Terbela) Majlis Perbandaran Manjung sebagai tanda mensyukuri nikmat, kongsi rezeki, ramah mesra bersama komuniti dan semangat prihatin dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat Majlis Perbandaran Manjung disamping mengambil keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini.
Bak kata "...sebelum kita mengeluh tentang rasa makanan, fikirkan tentang seseorang yang tidak mempunyai apa-apa untuk dimakan..."
Semoga objektif memupuk perpaduan komuniti di kawasan perbandaran melalui kunjungan tidak formal dan santai ini dengan berbuka puasa, tahlil, doa selamat, solat secara berjemaah bersama dan beramah mesra menjadi tanda aras hubungan ukhuwah Majlis Perbandaran Manjung dan komuniti perbandaran terus didepani dalam menempuh kemajuan.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Sunday 17 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 4) DI MASJID AL-ISMAILIAH, KPG. SUNGAI TIRAM, LEKIR, SITIAWAN

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 4) DI MASJID AL-ISMAILIAH, KPG. SUNGAI TIRAM, LEKIR, SITIAWAN

Prihatin dengan golongan kurang bernasib baik, Majlis Perbandaran Manjung telah mengunjungi Masjid Al-Ismailiah yang terletak di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan bagi memenuhi sesi kunjungan edisi ke-4 daripada keseluruhan 6 edisi masjid yang dirancang di daerah Manjung bagi tahun 2022 ini.
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran mengetuai barisan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung. Turut hadir Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ahli-Ahli Majlis, Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit dan anggota pelbagai jabatan dan unit Majlis Perbandaran Manjung. Turut hadir menyerikan program ialah YB Tuan Haji Yahaya Mat Nor, ADUN Pasir Panjang, Sitiawan.
Program ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung yang bertujuan untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik yang turut mewarnai kehidupan di kawasan perbandaran di samping mengambil peluang melaksanakan aktiviti-aktiviti kebajikan sempena bulan Ramadan yang barokah dan juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Majlis Perbandaran Manjung dalam menunaikan insentif dan penghargaan kepada komuniti setempat yang terdapat dalam kawasan pentadbiran Majlis.
Majlis sumbangan berupa kotak makanan daripada Projek ERAT (Ekspedisi Rakyat Terbela) Majlis Perbandaran telah disampaikan oleh Puan Hajah Habibah binti Rasdi, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 15 (Lekir).
Pada program yang sama Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran turut melancarkan QR Code Fillbook Masjid Al-Ismailiah yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat untuk mengetahui sejarah silam warisan masjid ini dan boleh ditambahbaik lagi kandungannya dari masa ke semasa. Masjid yang indah dan menenangkan yang terdapat di kawasan perkampungan.
Semoga hubungan ukhuwah Majlis Perbandaran Manjung dan komuniti perbandaran terus utuh sepertimana yang dipaparkan oleh setiap jemaah yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama pimpinan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi bagaikan tiada halangan dalam membentuk jaringan sosial yang akrab.
#air yang dicincang tidak akan putus...
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.







Tuesday 12 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 3)

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 3)

12 April 2022 (Selasa) - Masjid An- Nawawi, Kampung Pengkalan Baharu, Pantai Remis menjadi destinasi ke-tiga kembara Program Berbuka Puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi tahun 2022.
Masjid berwarna putih dan biru yang terletak berhampiran sungai Pengkalan Baharu tersebut ialah masjid yang kerap menjadi tempat tumpuan persinggahan bagi pengguna jalan raya antara Taiping dan daerah Manjung untuk menunaikan solat dan sebagainya.
Hari ini masjid tersebut dikunjungi oleh Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung yang mengetuai barisan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung bersama rombongan yang turut disertai oleh Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung, barisan Ahli-Ahli Majlis, Pengarah Jabatan, Ketua Jabatan dan anggota pelbagai jabatan di Majlis Perbandaran Manjung.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengurus Seksyen dan anggota syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn.Bhd untuk bersama-sama komuniti setempat dalam menghidupkan malam di bulan yang penuh barokah ini dengan mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama komuniti kampung tersebut.
Sebelum itu, pada program yang sama turut diadakan majlis santuni golongan asnaf warga miskin bandar yang terdapat di kariah tersebut dengan pemberian sumbangan berupa kotak makanan daripada Projek Ekspedisi Rakyat Terbela (ERAT) Majlis Perbandaran Manjung. Walaupun nilainya tidak seberapa namun apa yang utama ialah ingatan, keinginan pihak Majlis Perbandaran Manjung untuk membantu dan menghargai golongan asnaf tersebut yang turut sama mewarnai dan menjadi rencah kehidupan di kawasan perbandaran.
"...saya mengucapkan terima kasih diatas kesudian tuan/puan menerima kehadiran kami dalam komuniti ini dan membantu kami..." antara tutur kata luhur dan ikhlas daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung diawal pembuka bicara pertemuan.
Semoga ikatan persaudaraan islam yang kukuh menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kesejahteraan komuniti di perbandaran Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung










Thursday 7 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 2)

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 2)

7 April 2022 (Khamis), Masjid Poro'yiah atau Masjid Terapung Telaga Nanas, Ayer Tawar menjadi kembara kedua Majlis Berbuka Puasa Majlis Perbandaran Manjung Bersama Komuniti Perbandaran Tahun 2022.
Masjid terapung yang kedua terbina di negeri Perak Darul Ridzuan selepas Masjid Ar-Badr Seribu Selawat yang terdapat di Pulau Pangkor hasil cetusan idea YB Dato' Seri Diraja Dr. Hj Zambry bin Kadir, mantan Menteri Besar Perak. Kini menjadi salah satu daya tarikan baru pengunjung dan pelancong ke Kampung Telaga Nanas disusuli pula dengan adanya gerai makanan mee udang.
Suasana lokasi yang tenang, cantik dan menarik, udara yang segar lagi bersih cukup mendamaikan sekali majlis berbuka puasa bersama komuniti diadakan disini jauh dari hiruk-pikuk suasana bandar.
Rombongan yang diketuai oleh Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran dijamu dengan juadah berbuka puasa daripada hasil laut yang segar dan lagi menyelerakan.
Turut hadir ialah Encik Mohd Helmi bin Arifin, Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Mohd Faizal bin Md Kasim, Ketua Penolong Pegawai Daerah (T), Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Encik Ammirul bin Mazelan, Pengurus Seksyen, Puncak Emas Infra Sdn.Bhd, Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung, Pengarah, Ketua Jabatan dan Ketua Unit, Majlis Perbandaran Manjung, Jawatankuasa Masjid, warga kerja Majlis Perbandaran Manjung, anggota syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn.Bhd, pelajar Maahad Tahfiz Q'iraat Quran dan komuniti Kampung Telaga Nanas, Ayer Tawar.
Pada program yang sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung turut melancarkan QR Code Flip Book Masjid Poro'yiah untuk dijadikan sumber rujukan berkenaan sejarah masjid tersebut dan sumbangan berupa kotak makanan daripada Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada golongan asnaf dalam program santuni warga asnaf kariah kampung tersebut.
Kemesraan dan kegembiraan terpancar di wajah kalangan warga kampung yang dapat bertemu secara dekat barisan pimpinan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung, wakil agensi kerajaan, pihak konsesi sepertimana tertera dalam suasana menghidupkan malam bulan Ramadan dengan solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Semoga hubungan baik dan ukhuwah yang padu terjalin diantara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti untuk bersama-sama menempa kejayaan dan mengatasi permasalahan komuniti melalui ikatan persaudaraan yang kukuh.
Bab kata perpatah "..berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.."
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Monday 4 April 2022

PROGRAM JEJAK MASJID WARISAN DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI 2022 (EDISI 1)

 PROGRAM JEJAK MASJID WARISAN DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI 2022 (EDISI 1)

4 April 2022 (Isnin), sebentar tadi bertempat di Masjid Sultan Alang Iskandar Shah, Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung telah diadakan Program Jejak Masjid Warisan dan Majlis Berbuka Puasa PBT Majlis Perbandaran Manjung Bersama Komuniti Perbandaran Tahun 2022.
Di program yang sama Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung berbesar hati telah melancarkan QR code Flip Book Masjid Sultan Alang Iskandar Shah untuk julung kalinya bagi memberi kemudahan kepada orang awam memperolehi maklumat di hujung jari berkenaan sejarah masjid yang dikunjungi dalam Inisiatif Jejak Masjid Warisan itu telah ditempatkan di papan informasi masjid tersebut untuk kariah setempat dan pengunjung mengimbasnya.
Turut sama diadakan Program Santuni Warga Asnaf melalui pemberian bantuan kotak makanan kepada warga miskin bandar melalui Program ERAT (Ekspedisi Rakyat Terbela) Majlis Perbandaran Manjung bagi meringankan bebanan kos pembelian barangan dapur di kalangan komuniti.
Objektif program adalah bagi memupuk hubungan ukhuwah yang mesra diantara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti perbandaran dalam membangunkan modal insan yang jitu sebagai teras perpaduan dalam memacu kemakmuran dan juga sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat Majlis Perbandaran Manjung kepada komuniti perbandaran.
Turut hadir ialah Encik Mohd Helmi bin Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ahli-Ahli Majlis, Ketua Jabatan dan Ketua Unit serta warga kerja Majlis Perbandaran Manjung dengan sambutan yang baik dan menggalakkan dari kariah setempat dalam pengisian program di malam bulan mulia Ramadan Al-Mubarak.
"PBT dan Komuniti...bagai Aur Dengan Tebing"
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Sunday 3 April 2022

PROGRAM RUKYAH HILAL RAMADAN 1443H

 PROGRAM RUKYAH HILAL RAMADAN 1443H

1 April 2022 (Jumaat), Petang ini bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari telah diadakan Program Rukyah Hilal Ramadan 1443H. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh bagi permulaan berpuasa dengan menentukan kenampakan hilal (anak bulan) Ramadan bagi tahun 2022.
"..janganlah kamu berpuasa kecuali kamu melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) apabila kamu melihat anak bulan.." Hadis Nabi SAW (Riwayat Imam Muslim)
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Left.Kol (Bersara) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YBhg. Orang Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato' Haji Meor Redwan bin Mahayudin, OBJ Hilir Perak, YBhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato' Wan Mohd Isa bin Dato' Haji Wan Razalli, OBJ Larut, Matang dan Selama, YDH Toh Muda Orang Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Dato' Ar LA Meor Roslan bin Dato' Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, OBJ Hulu Perak, YDH Toh Muda Orang Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato' Ab Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan, OBJ Kinta, YDH Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal bin Haji Ahmad, OBJ Mu'allim, YDH Toh Paduka Indera Dato' Haji Mat Rasid bin Ayob, OBJ Batang Padang, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato' Dr. Khalid bin Ismail, OBJ Bagan Datuk, Pegawai Tadbir Agama Daerah dan ketua serta wakil jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta orang awam yang tidak melepas peluang untuk melihat kaedah mencerap anak bulan dan mendapat keputusan pemulaan berpuasa secara langsung.
Majlis bermula pada jam 5.00 petang dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh A.F Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Perak,
seterusnya ceramah khas berkaitan hubungan manusia dengan makluk Allah yang lain iaitu bulan oleh Prof.Dr.Azmil bin Hashim, Ahli Majlis Hai'ah Negeri Perak dan taklimat Kenampakan Hilal Ramadan oleh A.F Ustaz Mohd Faizal bin Jani , Ketua Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Aktiviti cerapan anak bulan melalui peralatan teleskop yang disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak.
YBhg. S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa hilal tidak kelihatan dan melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia setelah terbenamnya matahari yang menyaksikan permulaan ibadah puasa akan genap 30 hari iaitu bermula pada 3 April 2022.
Majlis diakhiri dengan solat Maghrib secara berjemaah bersama-sama pimpinan agamawan negeri Perak.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







INISIATIF MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI MERAIKAN KEHADIRAN BULAN RAMADAN 2022

 INISIATIF MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI MERAIKAN KEHADIRAN BULAN RAMADAN 2022

2 April 2022 (Sabtu), bertempat di Surau Al-Ikhlas, Batu 17, Kampung Matang Kerian, Pengkalan Baharu, Pantai Remis dan Masjid Al-Falah, Ayer Tawar telah diadakan Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma Sempena Ramadan 2022 oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung.
Program Bantuan Ramadan 2022 telah dirangka oleh Majlis Perbandaran Manjung melalui kerjasama Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 18 (Ayer Tawar) dan Tuan Haji Zakaria bin Hashim, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Zon 22 (Pantai Remis) sebagai salah satu inisiatif meraikan kedatangan bulan barokah Ramadan Al-Mubarak di samping menghargai jasa para amilin, masjid, surau, madrasah, Balai Polis, Balai Bomba dan komuniti di kampung-kampung untuk menghidupkan sunnah di bulan puasa iaitu berbuka dengan buah kurma.
Sebanyak 200 kilogram kurma dari jenis Ajwa iaitu kesukaan baginda Nabi Muhammad SAW di sumbangkan untuk disalurkan kepada 8 buah masjid, 5 buah surau, 2 buah Balai Polis, 1 buah Balai Bomba dan 10 kampung yang terdapat di kedua-dua zon Ahli Majlis tersebut.
Majlis penyampaian sumbangan tersebut telah di sempurnakan oleh Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran kepada kedua-dua Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung untuk diagihkan.
Sedekah pembuka rezeki..."sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut". (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung