About

Showing posts with label PROGRAM KEMASYARAKATAN -SOSIAL KEBAJIKAN DAN MASYARAKAT PENYAYANG. Show all posts
Showing posts with label PROGRAM KEMASYARAKATAN -SOSIAL KEBAJIKAN DAN MASYARAKAT PENYAYANG. Show all posts

Friday, 16 September 2022

"DERMA DARAH, KUKUHKAN PERPADUAN" SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA PERINGKAT HOSPITAL KLUSTER MANJUNG 2022

17.9.2022 (Sabtu), bertempat di Centre Court, AEON Mall Seri Manjung sedang diadakan Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Kluster Manjung.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung yang turut dihadiri oleh Dr. Nordin Nasir, Ketua Hospital Kluster Manjung, Dr.Ngo Siuk Yung, Pengarah Hospital Changkat Melintang, Dr. Hajah Sabariah Mohd Noor, Ketua Perkhidmatan Perubatan Transfusi, negeri Perak dan Dr. Norahninzu Ariffin, Ketua Jabatan Patologi, Hospital Seri Manjung.
Tema pada tahun ini ialah "Derma Darah, Kukuh Perpaduan" memberi maksud kepentingan sumbangan dan peranan pendermaan darah secara sukarela dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan perpaduan dalam komuniti selaras dengan tema Hari Kebangsaan iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama".
Tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan warna kulit kempen menderma darah adalah keprihatinan sejagat untuk menyumbang dan membantu insan yang amat memerlukannya.
Tanpa sokongan daripada komuniti adalah mustahil bagi pihak Tabung Darah seluruh negara untuk menyediakan bekalan darah yang mencukupi bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat pada setiap tahun.
Objektif program bagi melahirkan komuniti daerah yang sayang kepada nyawa dan sanggup menolong antara satu sama lain tanpa sempadan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Wednesday, 28 April 2021

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

 Petang tadi bertempat di Masjid Muhammadiah, Kampung Kota, Beruas sedang berlangsung program beramah mesra dan majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti dalam lingkaran mensyukuri nikmat kasih sayang dan kekeluargaan dalam kawasan perbandaran.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis turut hadir ke Majlis tahlil, doa selamat, berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah bersama komuniti zon Beruas iaitu kembara iftar siri ke-3 daripada 5 siri yang dirancang pada tahun ini.
 
Dalam majlis tersebut Tuan Yang Dipertua turut menyampaikan bantuan keperluan makanan sempena bulan Ramadhan kepada 4 penerima yang layak di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar( PPKB) bagi kawasan Beruas.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ketua Jabatan dan wakil agensi persekutuan dan negeri yang terdapat di Mukim Beruas, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Manjung kawasan zon Beruas, Ayer Tawar, Sitiawan, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kota turut hadir untuk beramah mesra dan bersama menyantuni komuniti setempat.
 
Objektif program adalah sebagai menghargai golongan tidak berkemampuan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dalam menyalur kebajikan kepada komuniti disamping
merapatkan ukhwah dan silatturahim dalam memupuk komuniti perbandaran yang harmoni.
 
"..setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku, dan akulah yang akan membalasnya.." ( HR Bukhari & Muslim - Hadith Qudsi)
 
Keikhlasan dalam menjalani ibadah puasa bagi membentuk akhlak yang baik dan terpuji terpapar pada setiap hadirin yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama kepimpinan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi bagaikan tiada halangan dalam membentuk hubungan akrab diantara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti daerah Manjung.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 









 

Friday, 23 April 2021

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN MAKANAN - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN

 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN (PERMAI) - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN, PRIHATIN KOMUNITI KETUA MASYARAKAT PENUHI TANGGUNGJAWAB.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) adalah salah satu inisiatif kerajaan membantu kelangsungan hidup rakyat yang terhimpit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
 
Pakej rangsangan ini adalah salah satu daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
 
Golongan sasar utama adalah penerima bantuan bulanan sedia ada di bawah senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan komuniti yang mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada pendapatan atau upah harian. 
 
Pengagihan kotak makanan yang disalurkan melalui JKM daerah Manjung kepada Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk kawasan perbandaran telah agihkan kepada ketua-ketua komuniti taman perumahan untuk menyantuni warga komuniti yang layak.
 
Gerak kerja tanggungjawab pengagihan untuk menyantuni komuniti telah dilaksanakan oleh sebahagian Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah di Taman Fasa 2C, Seri Manjung kelmarin yang telah menyampaikan kepada warga taman perumahan yang uzur, balu-balu , ibu tunggal dan warga yang layak.
 
Semoga tenaga dan masa yang dicurahkan pada bulan Ramadhan yang barakah ini diberikan ganjaran oleh Allah SWT kepada semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penduduk yang terlibat.
 
#PrihatinRakyat...nadi komuniti
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-2 TAHUN 2021M

Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan santunan, bulan melipat gandakan amalan dan sedekah, bulan dimana Allah melapangkan rezeki setiap hamba Nya.
 
"Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya serta mendapat pahala setimpal sepertimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut." (HR Khuzaimah).
 
Petang ini bertempat di Masjid Hasaniah, Kampung Panchor, Pantai Remis sedang berlangsung program majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT untuk disantuni kepada warga miskin yang tersenarai dalam senarai penerima warga miskin bandar, majlis tahlil dan seterusnya majlis berbuka puasa, mendirikan solat fardu berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi siri ke-2 daripada 5 siri kembara ke lokasi mukim daerah Manjung keseluruhannya.
 
Program telah dihadiri oleh Tuan Mohd Helmi bin Haji Arifin, Setiausaha Perbandaran, Encik Razali bin Haji Mat Nayan, Pengarah @ Ketua Jabatan Perbendaharaan, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, YBhg. Dato' Anuar bin Haji Alias, Ahli Majlis Zon 2 (TLDM), Tuan Haji Zakaria bin Hashim, Ahli Majlis Zon 22 (Pantai Remis- Panchor) Tuan Mejar Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis Zon 20 (Beruas), Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis Zon 18 (Ayer Tawar), Tuah Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis Zon 8 (Seri Manjung) dan Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9 (Seri Manjung).
 
Program majlis berbuka puasa Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti adalah sebagai objektif menghargai sumbangan komuniti perbandaran di setiap mukim yang terletak dalam daerah Manjung kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta mengeratkan hubungan ukhwah serta silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti yang terletak di dalam kawasan perbandaran.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung