About

Friday 30 April 2021

OPERASI PEROBOHAN STRUKTUR TANPA KEBENARAN DAN PELUPUSAN HOTSPOT SAMPAH HARAM DI ATAS TANAH MILIK PIHAK BERKUASA TEMPATAN.

OPERASI PEROBOHAN STRUKTUR TANPA KEBENARAN DAN PELUPUSAN HOTSPOT SAMPAH HARAM DI ATAS TANAH MILIK PIHAK BERKUASA TEMPATAN.

1 Mei 2021(Sabtu), bertempat di kawasan tanah milik Majlis Perbandaran Manjung di Taman Samudera sedang berlangsung sambungan program pembersihan semak-samun, longgokkan sampah, melupuskan 'hotspot' sampah haram dan struktur binaan haram bangunan sementara tanpa kelulusan di atas tanah tersebut.
 
Hari ini Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran (Zon 1 Pangkor, Lumut dan Seri Manjung), Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung meneruskan aktiviti tindakan perobohan susulan daripada program pembersihan yang telah dilaksanakan pada 24 April 2021 dikawasan taman perumahan tersebut yang pernah tersenarai sebagai lokaliti hotspot denggi.
 
Selain daripada longgokkan sampah, kawasan takungan air daripada struktur binaan yang dibina secara haram dan ditinggalkan didapati menjadi punca utama kepada pembiakan nyamuk aedes.
 
Struktur itu bukan sahaja menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes malahan menjadi kacau ganggu kepada komuniti dari segi masalah kebersihan, masalah bau malahan keselamatan di kawasan penempatan.
 
Pihak Berkuasa Tempatan mengalu-alukan dan mengucap terima kasih kepada komuniti-komuniti penempatan daerah Manjung yang telah terlibat bagi bersama-sama memastikan punca utama pembiakan aedes dapat dihapuskan. 
 
Semoga dengan usaha murni yang dilakukan dapat membanteras wabak denggi di daerah ini dan komuniti dapat hidup dalam keadaan sihat, bersih dan bebas daripada ancaman penyakit.
 
#kebersihan bukan hanya aspirasi tetapi suatu tindakan.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

Wednesday 28 April 2021

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

 Petang tadi bertempat di Masjid Muhammadiah, Kampung Kota, Beruas sedang berlangsung program beramah mesra dan majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti dalam lingkaran mensyukuri nikmat kasih sayang dan kekeluargaan dalam kawasan perbandaran.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis turut hadir ke Majlis tahlil, doa selamat, berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah bersama komuniti zon Beruas iaitu kembara iftar siri ke-3 daripada 5 siri yang dirancang pada tahun ini.
 
Dalam majlis tersebut Tuan Yang Dipertua turut menyampaikan bantuan keperluan makanan sempena bulan Ramadhan kepada 4 penerima yang layak di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar( PPKB) bagi kawasan Beruas.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ketua Jabatan dan wakil agensi persekutuan dan negeri yang terdapat di Mukim Beruas, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Manjung kawasan zon Beruas, Ayer Tawar, Sitiawan, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kota turut hadir untuk beramah mesra dan bersama menyantuni komuniti setempat.
 
Objektif program adalah sebagai menghargai golongan tidak berkemampuan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dalam menyalur kebajikan kepada komuniti disamping
merapatkan ukhwah dan silatturahim dalam memupuk komuniti perbandaran yang harmoni.
 
"..setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku, dan akulah yang akan membalasnya.." ( HR Bukhari & Muslim - Hadith Qudsi)
 
Keikhlasan dalam menjalani ibadah puasa bagi membentuk akhlak yang baik dan terpuji terpapar pada setiap hadirin yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama kepimpinan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi bagaikan tiada halangan dalam membentuk hubungan akrab diantara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti daerah Manjung.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 









 

Saturday 24 April 2021

PROGRAM PENGEDARAN TONG SAMPAH PERCUMA DI KAWASAN PROJEK RINTIS SITIAWAN OLEH MAJU PERAK UTILITIES MANAGEMENT SDN BHD BERSAMA AHLI MAJLIS ZON 10 (SITIAWAN)

 

PROGRAM PENGEDARAN TONG SAMPAH PERCUMA DI KAWASAN PROJEK RINTIS SITIAWAN OLEH MAJU PERAK UTILITIES MANAGEMENT SDN BHD BERSAMA AHLI MAJLIS MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 10 (SITIAWAN)

Tong sampah telah melalui sejarah yang panjang sejak diciptakan. Tempat pertama diciptakan adalah di Athen dan Rom iaitu tahun 500 SM. Di negara Mesir , dipercayai pada tahun 2100 SM orang kelas atasan membuang sampah ke dalam Sungai Nil manakala orang kelas bawahan membuang sampah di hadapan rumah.
 
Kini, ratusan bertahun berlalu melalui pelbagai proses dan tamaddun, tambahan pula dengan kepadatan penduduk hinggakan terciptanya pusat pengurusan sisa pepejal yang bersistematik dan juga tong sampah anti mesra monyet turut diciptakan untuk membuktikan betapa tong sampah mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. 
 
Sememangnya tong sampah adalah penting untuk menjaga kebersihan dan memainkan peranan yang yang penting dalam kehidupan. Tempat sampah adalah salah satu lambang kebersihan yang tidak boleh diabaikan keberadaannya. Termasuklah isu sampah turut seiring menjadi perbualan hangat jika berlaku sesuatu yang diluar kebiasaannya.
 
Kelmarin, Encik Hamdan bin Mohamed, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (Zon 10) bersama Pengurus Operasi Majuperak Utilities Management Sdn. Bhd dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Maju turun padang di Taman Megah 1-3 dan Taman Mewah Aman, Sitiawan bagi program pengedaran tong sampah secara percuma kepada semua pemilik premis kediaman dan perniagaan yang terdapat di lokasi tersebut dengan memenuhi syarat mudah yang diperlukan sahaja.
 
Kebetulan Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung adalah salah seorang daripada penduduk komuniti taman perumahan di kawasan tersebut juga turut layak untuk menerima tong sampah percuma setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
 
Amatlah diharapkan komuniti daerah Manjung mendapat gambaran sebenarnya bahawa tong sampah percuma tersebut adalah inisiatif Syarikat Majuperak Utilities Management Sdn.Bhd sebagai menghargai komuniti di projek rintis atau Pilot Project di kawasan Sitiawan dan Pulau Pangkor sahaja dan tidak meliputi keseluruhan kawasan daerah Majlis Perbandaran Manjung.
 
Projek rintis yang dilaksanakan diharapkan dapat memberi impak yang lebih besar dan berjaya untuk memupuk komuniti kearah menjaga persekitaran yang bersih dan harmoni.
 
#Negeri Bersih Rakyat Sihat"
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




 

Friday 23 April 2021

INISIATIF PEMBASMIAN KAWASAN "HOTSPOT" SAMPAH HARAM DI KAWASAN TANAH LAPANG MILIK MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

INISIATIF PEMBASMIAN KAWASAN "HOTSPOT" SAMPAH HARAM DI KAWASAN TANAH LAPANG MILIK MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi ini bertempat di kawasan tanah lapang milik Majlis Perbandaran Manjung yang terletak di belakang Pejabat Daerah Dan Tanah Manjung sedang berlangsung program pembersihan dan pembasmian lokasi "hotspot" pembuangan sampah haram dan binaan bangunan sementara yang terbiar bersemak samun telah menjadi sarang aktiviti tidak sihat.
 
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran Zon 1 (Seri Manjung) berganding bahu bersama Unit Penyelenggaraan Pokok Teduhan Landskap Majlis Perbandaran Manjung bagi membendung aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab di kawasan tersebut daripada terus berleluasa.
 
Kepincangan akan berlaku sekiranya tidak diambil tindakan awalan yang akan menjerumuskan lokasi tersebut menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi, pencemaran bau yang memualkan, binaan haram yang dibina tanpa sedar dan akan menjadi lokasi pembuangan sampah pukal haram.
 
Kawasan tersebut telah dibuat pembersihan dan pemantauan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sebelum ini tetapi berulang lagi menjadi lokasi pembuangan sampah haram dimana papan tanda amaran yang telah didirikan sebelum ini di lokasi tersebut telah di buang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
 
Komuniti daerah Manjung yang mempunyai maklumat berkenaan pembuangan sampah haram diseru untuk melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi membanteras aktiviti ini dan membawa pesalah ke muka pengadilan sebagai satu pengajaran. 
 
"..Sebatang lidi senang dipatahkan tapi jika menjadi seberkas lidi akan sukar dipatahkan.."
 
Ini adalah semangat bersatu padu yang perlu ada dalam setiap diri komuniti di daerah Manjung bagi membanteras isu pembuangan sampah haram yang bagaikan tiada kesudahan dan seolah-olah menjadi kebiasaan dalam kalangan segelintir komuniti setempat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN MAKANAN - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN

 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN (PERMAI) - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN, PRIHATIN KOMUNITI KETUA MASYARAKAT PENUHI TANGGUNGJAWAB.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) adalah salah satu inisiatif kerajaan membantu kelangsungan hidup rakyat yang terhimpit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
 
Pakej rangsangan ini adalah salah satu daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
 
Golongan sasar utama adalah penerima bantuan bulanan sedia ada di bawah senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan komuniti yang mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada pendapatan atau upah harian. 
 
Pengagihan kotak makanan yang disalurkan melalui JKM daerah Manjung kepada Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk kawasan perbandaran telah agihkan kepada ketua-ketua komuniti taman perumahan untuk menyantuni warga komuniti yang layak.
 
Gerak kerja tanggungjawab pengagihan untuk menyantuni komuniti telah dilaksanakan oleh sebahagian Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah di Taman Fasa 2C, Seri Manjung kelmarin yang telah menyampaikan kepada warga taman perumahan yang uzur, balu-balu , ibu tunggal dan warga yang layak.
 
Semoga tenaga dan masa yang dicurahkan pada bulan Ramadhan yang barakah ini diberikan ganjaran oleh Allah SWT kepada semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penduduk yang terlibat.
 
#PrihatinRakyat...nadi komuniti
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-2 TAHUN 2021M

Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan santunan, bulan melipat gandakan amalan dan sedekah, bulan dimana Allah melapangkan rezeki setiap hamba Nya.
 
"Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya serta mendapat pahala setimpal sepertimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut." (HR Khuzaimah).
 
Petang ini bertempat di Masjid Hasaniah, Kampung Panchor, Pantai Remis sedang berlangsung program majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT untuk disantuni kepada warga miskin yang tersenarai dalam senarai penerima warga miskin bandar, majlis tahlil dan seterusnya majlis berbuka puasa, mendirikan solat fardu berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi siri ke-2 daripada 5 siri kembara ke lokasi mukim daerah Manjung keseluruhannya.
 
Program telah dihadiri oleh Tuan Mohd Helmi bin Haji Arifin, Setiausaha Perbandaran, Encik Razali bin Haji Mat Nayan, Pengarah @ Ketua Jabatan Perbendaharaan, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, YBhg. Dato' Anuar bin Haji Alias, Ahli Majlis Zon 2 (TLDM), Tuan Haji Zakaria bin Hashim, Ahli Majlis Zon 22 (Pantai Remis- Panchor) Tuan Mejar Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis Zon 20 (Beruas), Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis Zon 18 (Ayer Tawar), Tuah Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis Zon 8 (Seri Manjung) dan Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9 (Seri Manjung).
 
Program majlis berbuka puasa Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti adalah sebagai objektif menghargai sumbangan komuniti perbandaran di setiap mukim yang terletak dalam daerah Manjung kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta mengeratkan hubungan ukhwah serta silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti yang terletak di dalam kawasan perbandaran.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

Saturday 17 April 2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN BIL.1/2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

Surau Diri Jumaat MADAH, Fasa 1A, Seri Manjung menjadi pembuka tirai program majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran tahun 2021.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran dan Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Manjung serta Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung telah turun padang bagi menyantuni kariah setempat dalam program tahlil, berbuka puasa, solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.
 
Dalam program yang sama majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada warga miskin bandar turut diadakan bagi membantu dan membentuk siasah dalam menghayati kasih sayang dan semangat kekeluargaan bersama komuniti perbandaran.
 
Program majlis berbuka puasa yang diadakan adalah pengisian tahunan Majlis Perbandaran Manjung sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam mengeratkan hubungan ukhwah dan silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti perbandaran.
 
Bak kata Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung dalam ucapan ramah mesra "..tiada apa yang lebih utama selain daripada menghargai peranan komuniti yang telah banyak membantu Pihak Berkuasa Tempatan dalam mengenal erti perpaduan dan kemakmuran dikecapi bersama.." 
 
Hubungan mesra Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti yang sedia ada terjalin perlu diterjemahkan kepada pengkongsian yang lebih bermakna bagi menjurus kepada pemuafakatan yang boleh memberi nilai berkebajikan kepada komuniti perbandaran dalam landskap perpaduan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung.
 
"..Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 








 

Monday 12 April 2021

PROGRAM MAJLIS RUKYAH HILAL RAMADHAN 1442H / 2021M JABATAN MUFTI NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA AGENSI DAN SWASTA

PROGRAM MAJLIS RUKYAH HILAL RAMADHAN 1442H / 2021M JABATAN MUFTI NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA AGENSI DAN SWASTA

Saban tahun lokasi ini menjadi tumpuan umat islam negeri Perak kerana sekurang-kurang 3 kali dalam masa satu tahun majlis mencerap anak bulan akan berlangsung di lokasi ini iaitu Rukyah Hilal Ramadhan, Hilal Syawal dan Hilal Zulhijjah.
 
S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti negeri Perak antara tetamu terhormat yang hadir selain Tuan Abdul Rahman bin Thobroni, Wakil Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D H Toh Seri Bijaya Lt.Kol.(B) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan negeri Perak serta ketua dan wakil agensi persekutuan dan negeri.
 
Program Rukyah Hilal Ramadhan dimulakan dengan majlis bacaan tahlil, diikuti dengan ceramah Ambang Ramadhan dan taklimat kedudukan Hilal Ramadhan yang telah disampaikan oleh S.F Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 
Tepat jam 6.50 petang, Program Rukyah Hilal dijalankan bagi melihat anak bulan kelihatan ataupun tidak diufuk dan tepat jam 7.50 malam, S. S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau Hilal Ramadhan tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang kerana cabaran awan tebal dan kabus di kaki langit.
 
Objektif program adalah bagi mendorong umat islam melakukan kajian ilmiah berterusan kepada makluk ciptaan Allah selain menggalakkan umat islam menyambut Ramadhan dengan merenung tanda kebesaran Allah semoga menjadi insan yang bertakwa.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung