About

Showing posts with label PROGRAM KEMASYARAKATAN -INSENTIF HIJAU. Show all posts
Showing posts with label PROGRAM KEMASYARAKATAN -INSENTIF HIJAU. Show all posts

Saturday, 8 January 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG TANAMAN POKOK KECERIAAN PEKAN GURNEY

Pekan Gurney adalah sebuah pekan kecil yang terletak di Mukim Sitiawan. Pekan ini dinamakan sempena nama seorang pegawai tinggi British iaitu Sir Henry Gurney pada zaman darurat 1948-1960 yang terkorban dalam serang hendap pengganas komunis di Bukit Fraser.
 
Pagi ini bertempat di kawasan lapang (asalnya terdapat pondok pengawal keselamatan komuniti kampung zaman darurat) Team Keceriaan Bandar, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung berkolaborasi bersama Encik Hoo Yu Chong, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Encik Ding Siew Chee, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 14 (Sitiawan) dan komuniti Kawasan Rukun Tertangga (KRT) bergotong-royong menanam pokok-pokok renek / bunga untuk keceriaan di pintu masuk ke Pekan Gurney.
 
Unit Landskap telah berbesar hati menyumbang 4 jenis pokok renek terdiri daripada 50 pokok Ficus Gold, 30 pokok Mengkudu Siam, 30 pokok Teh Merah @ Loropetalum dan 20 pokok Pandan Kuning di lokasi yang telah menempatkan hiasan tayar dan barangan kitar semula direka oleh komuniti setempat.
 
Objektif program adalah bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan komuniti seperti bergotong-royong, bekerjasama, tolong-menolong dalam dan mencintai persekitaran penempatan yang ceria serta menghargai sejarah silam untuk kenangan generasi muda.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.
 





 

Saturday, 18 December 2021

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

 

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

Bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Penghijauan Manjung selaras dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 lalu hingga menjelang 2025.
 
Program anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersama J&T Express, UNIkl Mimet dan Kolej Komuniti Seri Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Malaysia.
 
Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 21 pokok teduhan daripada pelbagai jenis dan 60 pokok persisir pantai jenis merambong sumber makanan habitat merin seperti penyu dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan membekalkan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah.
 
Seberat 317 kg sampah sarap telah dapat dikutip di sepanjang persisiran pantai pada program gotong-royong tersebut dengan penglibatan penuh anggota agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam yang turut serta.
 
Antara pengisian lain yang diadakan adalah pembersihan pantai pendaratan penyu daripada sampah sarap, penanaman pokok persisiran pantai, taklimat konservasi penyu dan aktiviti pelepasan anak penyu yang telah matang ke laut lepas.
 
Semoga program kelestarian sumber dan alam sekitar memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri yang komited untuk menjadi peneraju kepada mempromosikan agenda "Perak Bumi Lestari" yang memerlukan komitmen berterusan dari agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam untuk bersama-sama berganding bahu mencapai matlamat tersebut.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

 

Saturday, 13 November 2021

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.
 
Sebentar tadi telah dilaksanakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Plastik Sekali Guna Kempen Insentif Hijau bagi pengindahan lorong belakang di kawasan penempatan komuniti di Taman Fasa 2i, Seri Manjung dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Kempen insentif hijau melalui penanaman sayuran di halaman belakang masing-masing menepati aspirasi kerajaan negeri Perak sempena Program Bumi Hijau Negeri Perak Darul Ridzuan 2020 bagi meningkat kesedaran awam terhadap alam sekitar.
Perubahan paradigma masyarakat amatlah digalakkan untuk mengubah landskap lorong belakang yang tidak menarik, kotor dan tidak selamat sebelum ini kepada persekitaran yang lebih menarik, ceria, sihat dan menyegarkan. 
 
Tambahan pula lorong belakang dihijaukan dengan tanaman sayuran dan herba yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur dan kos sara hidup komuniti.
Majlis perasmian dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Rafiq bin Haji Mohd, Ahli Majlis @ area officer zon 7 (Seri Manjung).
 
Turut hadir adalah Tuan Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis zon 8, Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis zon 18, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Ruzaimi bin Abu, Pengerusi Persatuan Komuniti Harmoni Taman Fasa 2i, Tuan Haji Shafuddin bin Mohktar, Pengerusi KRT zon 6, Ahli Jawatankuasa persatuan dan komuniti setempat.
 
Pada program yang sama turut didedahkan teknik membuat baja kompos kepada surirumah komuniti setempat daripada bahan buangan sisa makanan kepada baja secara tidak langsung mengurangkan sisa sampah domestik komuniti kepada baja.
Turut diadakan adalah taklimat dan kempen menghindari penggunaan plastik sekali guna dengan menggalakkan penggunaan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, penggunaan botol air sendiri, hidangan air dalam jug atau dispenser atau penggunaan gelas kaca.
 
Sewajarnya komuniti memberi komitmen dan kerjasama utuh bagi menjayakan program pengindahan lorong belakang, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi menepati objektif yang mampu mempamerkan hasil yang baik untuk dijadikan ikutan dan amalan masyarakat walapun memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya.
 
"...bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat..."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung