About

Saturday 25 July 2020

PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi tadi bertempat di Dewan Komuniti Kegiatan Masyarakat Fasa 2C, Seri Manjung telah berlangsung Majlis Mesyuarat Kali Pertama Jawatankuasa Penduduk Zon 8 (Seri Manjung) Ahli Majlis Perbandaran Manjung di bawah pimpinan Ahli Majlis Zon 8 Tuan Haji Hamidun Bin Ahmad. 

Turut hadir adalah Tuan Haji Rosli Bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9 (Taman Samudera/Manjung Point/Desa Manjung Raya) dan Encik Issamudin Bin Ibrahim, Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung.

Pemilihan ahli Jawatankuasa Penduduk tersebut adalah terdiri daripada ahli KRT, Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama dan penduduk setempat.

Terdapat seramai 24 orang Ahli Majlis Perbandaran Manjung yang akan menubuhkan Jawatankuasa Penduduk di lokaliti masing-masing selaras dengan Indikator SSR PBT KPKT iaitu penubuhan Jawatankuasa Penduduk di bawah Pihak Berkuasa Tempatan.

Objektif penubuhan JKP adalah bagi memperkasakan hubungan komuniti perbandaran melalui peranan Ahli Majlis dan juga sebagai platform kerjasama antara warga perbandaran.

Medium utama untuk merealisasikan teras :


        1. Pembangunan modal insan
        2. Platform hubungan kerjasama antara PBT dan warga perbandaran.
       3. Iniastif untuk menggalakkan dan mewujudkan penyertaan warga perbandaran menjaga hubungan dan membantu menangani isu-isu perbandaran melalui gerak kerja.

Gerak kerja seperti perbandaran Bersih, perbandaran Indah, perbandaran Penyayang, perbandaran Pro Aktif, perbandaran Prihatin dan perbandaran Selamat adalah antara ciri-ciri mekanisma pelaksanaan Jawatankuasa Penduduk Ahli Majlis PBT.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Friday 17 July 2020

PROGRAM CERAMAH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN


Pagi tadi bertempat di Dewan Anjung Perdana Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Manjung telah berlangsung Program Ceramah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kehadiran terdiri daripada Tuan Yang DiPertua, Ahli Majlis, Setiausaha Perbandaran, Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit, kakitangan dan Ahli Jawatankuasa Masjid Daerah Nurul Hidayah.
Ceramah telah disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Syamsul Amri Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai "Syamsul Debat".

Penceramah bebas dan personaliti televisyen yang terkenal dengan rancangan keagamaan dikaca televisyen dan media sosial berbicara berkenaan "Norma Kehidupan Baharu Semasa Perintah Kawalan Pergerakan" seperti yang diungkap oleh pucuk pimpinan negara, Perdana Menteri Malaysia bagi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kawalan keatas rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat berharap selepas sahaja PKP ditamatkan, rakyat akan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun untuk keselamatan rakyat PKPB dan kini PKPP telah dilaksanakan.

Walaupun rangkaian virus Covid-19 boleh dihentikan dengan PKP tetapi untuk melawan virus tersebut adalah sesuatu yang belum diketahui kerana tiada vaksin penawarnya hingga kini.

Pada majlis yang sama penceramah sempat mengambil peluang mendoakan kesejahteraan keatas Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Syamsul Hazeman Bin Md Salleh yang menyambut hari lahir pada hari ini.

Namun, Iltizam dan semangat kerja keras yang dipaparkan oleh Majlis Perbandaran Manjung sejak bermula PKP hingga kini menarik perhatian penceramah yang menjunjung tinggi pergorbanan yang telah dilakukan bagi menjamin keselamatan komuniti perbandaran.

Akhir kalam, Kun Fa Ya Kun adalah kalimat yang berbentuk perintah dan larangan. Kalimat yang menunjuk segala atas kehendakNya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Thursday 16 July 2020

SUMBANGAN PROJEK EKSPEDISI RAKYAT TERBELA (ERAT) MPM TAHUN 2020

Sumbangan Projek Ekspedisi Rakyat Terbela (ERAT) Tahun 2020 Majlis Perbandaran Manjung diteruskan lagi pada tahun ini sepertimana tahun-tahun yang terdahulu.

Kali ini PCK Fresh Mart Sdn Bhd dan Tesco Store (M) Sdn Bhd berbesar hati dan berbangga untuk bersama Majlis Perbandaran Manjung bagi menyentuh jiwa golongan yang dikategorikan miskin bandar untuk layak menerima bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian.

Projek ERAT MPM adalah salah satu program inisiatif transfomasi komuniti bagi mewujudkan perbandaran harmoni dan penyayang dengan penglibatan badan korporat, syarikat swasta, orang perseorangan, komuniti perbandaran untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada komuniti kategori miskin bandar dan yang berpendapatan rendah di dalam kawasan bandar dalam meningkat kualiti hidup dan mengurang beban tanggungjawab keluarga.

Penglibatan lebih banyak badan korporat swasta, syarikat, orang ramai dan juga perseorangan untuk bersama-sama menjayakan amalan bersedekah dan menderma ini amatlah dialu-alukan bagi mewujudkan perbandaran kita yang barakah, prihatin dan penyayang.

" ..Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.."

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Tuesday 14 July 2020

PROGRAM PENYERAHAN KUNCI DEWAN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Hari ini telah berlangsung Program Penyerahan Kunci Dewan Komuniti Majlis Perbandaran Manjung kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung.

Penyerahan tersebut sebagai simbolik bagi tujuan pengagihan tanggungjawab kawal selia dan amanah kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung dan jawatankuasa penduduk yang dilantik sesuai dengan peranan Ahli Majlis sebagai penghubung antara masyarakat dan PBT.

Disamping itu juga sebagai menghargai peranan Ahli Majlis yang menyumbang kepada pelaksanaan dasar dikawasan pentadbiran yang kawal selianya dan juga merupakan penggerak utama dikalangan komuniti setempat untuk bergerak aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Sebanyak 5 buah Dewan Komuniti yang terlibat pada program pagi tadi adalah Dewan Komuniti Taman Samudera, Dewan Komuniti Taman Fasa 2C, Dewan Komuniti Taman Fasa 2 Gabungan (D/E/F&G) dan Dewan Komuniti Fasa 2H/I/J.

Penyerahan kunci dewan telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Shukri Bin Ismail, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial kepada Tuan Haji Rosli Bin Abd Rahman (Ahli Majlis Zon 9 - Dewan Komuniti Taman Samudera), Tuan Haji Hamidun Bin Ahmad (Ahli Majlis Zon 8 - Dewan Komuniti Fasa 1A & Fasa 2C) dan Tuan Haji Mohd Rafiq Bin Haji Mohd (Ahli Majlis Zon 7 - Dewan Komuniti Fasa 2 Gabungan dan Dewan Komuniti Fasa 2H/I/J).

Kesemua 5 buah Dewan Komuniti tersebut boleh digunakan, disewakan kepada komuniti setempat, jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti hingga kepada kegunaan untuk urusan perkahwinan dan keramaian.

Untuk segala pertanyaan tentang penggunaan dewan tersebut pihak komuniti boleh berhubung terus kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung yang telah diamanahkan tersebut.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Sunday 12 July 2020

PROGRAM PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KOMUNITI FASA 2C SERI MANJUNG

Pagi ini bertempat di Dewan Komuniti Kegiatan Masyarakat Fasa 2C, Taman Fasa 2C, Seri Manjung sedang berlangsung Program Perasmian Mesyuarat Agung Komuniti Taman Fasa 2C, Seri Manjung bagi kali yang kedua.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Tuan Mohd Helmi Bin Arifin, Setiausaha Perbandaran Manjung yang mewakili Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung.

Didalam ucapan perasmian beliau mengalu-alukan bentuk kerjasama, hubungan baik diantara pihak Persatuan Penduduk Fasa 2C bersama Ahli Majlis Zon dan Pihak Berkuasa Tempatan yang boleh memberi kebaikan kepada Persatuan Penduduk dan seterusnya menjurus dan dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti setempat.

Turut hadir adalah Ahli Majlis Zon 8 Seri Manjung, Tuan Haji Hamidun Bin Ahmad dan Encik Issamudin Bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung.

Sebelum itu ucapan aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdullah Bin Omar, Pengerusi Persatuan Penduduk yang merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Manjung yang telah menerapkan nilai-nilai baik dan kemuafakatan dalam membentuk komuniti sejahtera.

Penubuhan Persatuan Penduduk Taman Fasa 2C diwujudkan pada tahun 2018 apabila Taman Fasa 2C didirikan sebagai kawasan penempatan komuniti yang baharu di kawasan perbandaran Manjung pada 15 Ogos 1996 dengan jumlah rumah kediaman sebanyak 259 unit.

Mesyuarat kali ini merupakan agenda Dwi Tahunan bagi pemilihan Pengerusi hingga ke Ahli Jawatankuasa yang baharu dan bagi mengatur langkah aktiviti sosial masyarakat, kebajikan di samping mengeratkan hubungan silatturrahim dan semangat ukhwah sesama komuniti setempat.

Di dalam perasmian itu beliau turut menyarankan penglibatan aktif Persatuan Komuniti didalam program-program yang dianjurkan samada melalui Persatuan, Ahli Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan dan peranan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial sebagai pemudahcara bagi membantu persatuan komuniti melaksanakan program-program selaras dengan kehendak semasa yang boleh membuahkan nilai yang baik kearah kemakmuran kepada komuniti dan Daerah Manjung amnya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Wednesday 8 July 2020

VENDALISME PAPAN TANDA LARANGAN MEMBERI MAKAN KEPADA KERA

Dimanakah letaknya pertimbangan akal segelintir masyarakat yang bersikap sedemikian rupa.

Pihak Majlis Perbandaran Manjung baharu sahaja menaikkan papan tanda larangan memberi makanan kepada monyet pada 25 Jun 2020 di Taman Desa Manjung 2, Lumut.

Tetapi "tangan-tangan berseni" segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik telah merosakkannya. 

Kerosakan akibat perbuatan vendalisme yang tidak bertanggungjawab ini telah disedari pada 6 Julai 2020. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan bukti diminta tampil ke Majlis Perbandaran Manjung bagi membolehkan kami menjalankan siasatan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung