About

Showing posts with label JAWATANKUASA PENDUDUK. Show all posts
Showing posts with label JAWATANKUASA PENDUDUK. Show all posts

Saturday, 13 November 2021

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.
 
Sebentar tadi telah dilaksanakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Plastik Sekali Guna Kempen Insentif Hijau bagi pengindahan lorong belakang di kawasan penempatan komuniti di Taman Fasa 2i, Seri Manjung dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Kempen insentif hijau melalui penanaman sayuran di halaman belakang masing-masing menepati aspirasi kerajaan negeri Perak sempena Program Bumi Hijau Negeri Perak Darul Ridzuan 2020 bagi meningkat kesedaran awam terhadap alam sekitar.
Perubahan paradigma masyarakat amatlah digalakkan untuk mengubah landskap lorong belakang yang tidak menarik, kotor dan tidak selamat sebelum ini kepada persekitaran yang lebih menarik, ceria, sihat dan menyegarkan. 
 
Tambahan pula lorong belakang dihijaukan dengan tanaman sayuran dan herba yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur dan kos sara hidup komuniti.
Majlis perasmian dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Rafiq bin Haji Mohd, Ahli Majlis @ area officer zon 7 (Seri Manjung).
 
Turut hadir adalah Tuan Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis zon 8, Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis zon 18, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Ruzaimi bin Abu, Pengerusi Persatuan Komuniti Harmoni Taman Fasa 2i, Tuan Haji Shafuddin bin Mohktar, Pengerusi KRT zon 6, Ahli Jawatankuasa persatuan dan komuniti setempat.
 
Pada program yang sama turut didedahkan teknik membuat baja kompos kepada surirumah komuniti setempat daripada bahan buangan sisa makanan kepada baja secara tidak langsung mengurangkan sisa sampah domestik komuniti kepada baja.
Turut diadakan adalah taklimat dan kempen menghindari penggunaan plastik sekali guna dengan menggalakkan penggunaan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, penggunaan botol air sendiri, hidangan air dalam jug atau dispenser atau penggunaan gelas kaca.
 
Sewajarnya komuniti memberi komitmen dan kerjasama utuh bagi menjayakan program pengindahan lorong belakang, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi menepati objektif yang mampu mempamerkan hasil yang baik untuk dijadikan ikutan dan amalan masyarakat walapun memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya.
 
"...bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat..."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Thursday, 8 July 2021

PENYERAHAN KOTAK MAKANAN PROJEK ERAT MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG KEPADA KOMUNITI YANG TERKESAN PANDEMIK COVID-19

 

PENYERAHAN KOTAK MAKANAN PROJEK ERAT MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG KEPADA KOMUNITI YANG TERKESAN PANDEMIK COVID-19
 
Sebentar tadi bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Serdang, Sitiawan telah diadakan majlis ringkas penyerahan kotak makanan daripada Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada 25 orang ketua keluarga yang terkesan dan terjejas punca pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 dan PKP 3.0.
 
Seramai 25 orang ketua keluarga yang mendapat bantuan kotak makanan adalah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dari kalangan orang miskin, orang kurang upaya dan juga ibu tunggal.
Majlis penyampaian telah disempurnakan sendiri oleh Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung dengan diiringi oleh Encik Hamdan Mohamed, Ahli Majlis Zon 10 (Sitiawan), Encik Issamudin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Ketua Kampung, Kampung Serdang dan juga Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Serdang, Sitiawan.
 
Majlis tersebut adalah inisiatif dan semangat proaktif Majlis Perbandaran Manjung bagi meringankan bebanan dan juga menolong komuniti yang terkesan dan terjejas pendapatan bagi meneruskan kelansungan hidup.
 
Semoga naluri merasai kepayahan hidup komuniti terus mendapat perhatian masyarakat diluar sana untuk bersama-sama berganding bahu bagi membantu golongan yang terkesan melalui program tanggungjawab korporat sosial (CSR) oleh pelbagai pihak.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 



 

Saturday, 1 May 2021

PROGRAM 'BERKAH RAMADHAN 1442 HIJRAH JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS ZON 3

 

Petang ini bertempat di Pusat Komuniti Teluk Batik, Teluk Batik, Lumut sedang berlangsung Program Berkah Ramadhan 1442H.

Program adalah anjuran kerjasama daripada Encik Mohd Azrien bin Mohd Salleh, Ahli Majlis Perbandaran Manjung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 3 (Lumut) bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) daerah Manjung yang terdiri daripada Komuniti I Love Manjung (KiLM), AURA Manjung, Persatuan Kebajikan Amal Wanita Manjung (KAWAN), PERSALAM, USAHANITA Manjung Baru dan Persatuan Peniaga Teluk Batik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung.
 
Majlis program turut dihadiri oleh wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung (PDRM) Hospital Seri Manjung (HSM) selain daripada itu kehadiran Pengerusi-pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah terlibat secara langsung sejak awal pagi dalam program memasak bubur lambuk secara bergotong-royong.
 
Program adalah bertujuan bagi menyampaikan bubur lambuk dan kuih raya sempena Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi kepada golongan ibu tunggal dan asnaf yang layak di sekitar daerah Manjung.
 
Objektif program adalah sebagai mengeratkan semangat perpaduan antara sesama badan bukan kerajaan (NGO), memupuk nilai-nilai murni secara tidak langsung dapat mengeratkan silatturahim sesama masyarakat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 







 

Wednesday, 28 April 2021

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

INISIATIF SEMARAKKAN UKHWAH BERSAMA KOMUNITI MELALUI PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA IHYA' RAMADHAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

 Petang tadi bertempat di Masjid Muhammadiah, Kampung Kota, Beruas sedang berlangsung program beramah mesra dan majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti dalam lingkaran mensyukuri nikmat kasih sayang dan kekeluargaan dalam kawasan perbandaran.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis turut hadir ke Majlis tahlil, doa selamat, berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah bersama komuniti zon Beruas iaitu kembara iftar siri ke-3 daripada 5 siri yang dirancang pada tahun ini.
 
Dalam majlis tersebut Tuan Yang Dipertua turut menyampaikan bantuan keperluan makanan sempena bulan Ramadhan kepada 4 penerima yang layak di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar( PPKB) bagi kawasan Beruas.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ketua Jabatan dan wakil agensi persekutuan dan negeri yang terdapat di Mukim Beruas, Ahli-ahli Majlis Perbandaran Manjung kawasan zon Beruas, Ayer Tawar, Sitiawan, Ahli Jawatankuasa Masjid dan Ahli Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Kota turut hadir untuk beramah mesra dan bersama menyantuni komuniti setempat.
 
Objektif program adalah sebagai menghargai golongan tidak berkemampuan dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dalam menyalur kebajikan kepada komuniti disamping
merapatkan ukhwah dan silatturahim dalam memupuk komuniti perbandaran yang harmoni.
 
"..setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku, dan akulah yang akan membalasnya.." ( HR Bukhari & Muslim - Hadith Qudsi)
 
Keikhlasan dalam menjalani ibadah puasa bagi membentuk akhlak yang baik dan terpuji terpapar pada setiap hadirin yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi bersama kepimpinan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung sebentar tadi bagaikan tiada halangan dalam membentuk hubungan akrab diantara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti daerah Manjung.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 









 

Saturday, 24 April 2021

PROGRAM PENGEDARAN TONG SAMPAH PERCUMA DI KAWASAN PROJEK RINTIS SITIAWAN OLEH MAJU PERAK UTILITIES MANAGEMENT SDN BHD BERSAMA AHLI MAJLIS ZON 10 (SITIAWAN)

 

PROGRAM PENGEDARAN TONG SAMPAH PERCUMA DI KAWASAN PROJEK RINTIS SITIAWAN OLEH MAJU PERAK UTILITIES MANAGEMENT SDN BHD BERSAMA AHLI MAJLIS MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 10 (SITIAWAN)

Tong sampah telah melalui sejarah yang panjang sejak diciptakan. Tempat pertama diciptakan adalah di Athen dan Rom iaitu tahun 500 SM. Di negara Mesir , dipercayai pada tahun 2100 SM orang kelas atasan membuang sampah ke dalam Sungai Nil manakala orang kelas bawahan membuang sampah di hadapan rumah.
 
Kini, ratusan bertahun berlalu melalui pelbagai proses dan tamaddun, tambahan pula dengan kepadatan penduduk hinggakan terciptanya pusat pengurusan sisa pepejal yang bersistematik dan juga tong sampah anti mesra monyet turut diciptakan untuk membuktikan betapa tong sampah mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri. 
 
Sememangnya tong sampah adalah penting untuk menjaga kebersihan dan memainkan peranan yang yang penting dalam kehidupan. Tempat sampah adalah salah satu lambang kebersihan yang tidak boleh diabaikan keberadaannya. Termasuklah isu sampah turut seiring menjadi perbualan hangat jika berlaku sesuatu yang diluar kebiasaannya.
 
Kelmarin, Encik Hamdan bin Mohamed, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (Zon 10) bersama Pengurus Operasi Majuperak Utilities Management Sdn. Bhd dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Maju turun padang di Taman Megah 1-3 dan Taman Mewah Aman, Sitiawan bagi program pengedaran tong sampah secara percuma kepada semua pemilik premis kediaman dan perniagaan yang terdapat di lokasi tersebut dengan memenuhi syarat mudah yang diperlukan sahaja.
 
Kebetulan Tuan Syamsul Hazeman bin Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung adalah salah seorang daripada penduduk komuniti taman perumahan di kawasan tersebut juga turut layak untuk menerima tong sampah percuma setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
 
Amatlah diharapkan komuniti daerah Manjung mendapat gambaran sebenarnya bahawa tong sampah percuma tersebut adalah inisiatif Syarikat Majuperak Utilities Management Sdn.Bhd sebagai menghargai komuniti di projek rintis atau Pilot Project di kawasan Sitiawan dan Pulau Pangkor sahaja dan tidak meliputi keseluruhan kawasan daerah Majlis Perbandaran Manjung.
 
Projek rintis yang dilaksanakan diharapkan dapat memberi impak yang lebih besar dan berjaya untuk memupuk komuniti kearah menjaga persekitaran yang bersih dan harmoni.
 
#Negeri Bersih Rakyat Sihat"
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




 

Friday, 23 April 2021

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN MAKANAN - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN

 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN (PERMAI) - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN, PRIHATIN KOMUNITI KETUA MASYARAKAT PENUHI TANGGUNGJAWAB.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) adalah salah satu inisiatif kerajaan membantu kelangsungan hidup rakyat yang terhimpit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
 
Pakej rangsangan ini adalah salah satu daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
 
Golongan sasar utama adalah penerima bantuan bulanan sedia ada di bawah senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan komuniti yang mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada pendapatan atau upah harian. 
 
Pengagihan kotak makanan yang disalurkan melalui JKM daerah Manjung kepada Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk kawasan perbandaran telah agihkan kepada ketua-ketua komuniti taman perumahan untuk menyantuni warga komuniti yang layak.
 
Gerak kerja tanggungjawab pengagihan untuk menyantuni komuniti telah dilaksanakan oleh sebahagian Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah di Taman Fasa 2C, Seri Manjung kelmarin yang telah menyampaikan kepada warga taman perumahan yang uzur, balu-balu , ibu tunggal dan warga yang layak.
 
Semoga tenaga dan masa yang dicurahkan pada bulan Ramadhan yang barakah ini diberikan ganjaran oleh Allah SWT kepada semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penduduk yang terlibat.
 
#PrihatinRakyat...nadi komuniti
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-2 TAHUN 2021M

Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan santunan, bulan melipat gandakan amalan dan sedekah, bulan dimana Allah melapangkan rezeki setiap hamba Nya.
 
"Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya serta mendapat pahala setimpal sepertimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut." (HR Khuzaimah).
 
Petang ini bertempat di Masjid Hasaniah, Kampung Panchor, Pantai Remis sedang berlangsung program majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT untuk disantuni kepada warga miskin yang tersenarai dalam senarai penerima warga miskin bandar, majlis tahlil dan seterusnya majlis berbuka puasa, mendirikan solat fardu berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi siri ke-2 daripada 5 siri kembara ke lokasi mukim daerah Manjung keseluruhannya.
 
Program telah dihadiri oleh Tuan Mohd Helmi bin Haji Arifin, Setiausaha Perbandaran, Encik Razali bin Haji Mat Nayan, Pengarah @ Ketua Jabatan Perbendaharaan, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, YBhg. Dato' Anuar bin Haji Alias, Ahli Majlis Zon 2 (TLDM), Tuan Haji Zakaria bin Hashim, Ahli Majlis Zon 22 (Pantai Remis- Panchor) Tuan Mejar Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis Zon 20 (Beruas), Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis Zon 18 (Ayer Tawar), Tuah Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis Zon 8 (Seri Manjung) dan Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9 (Seri Manjung).
 
Program majlis berbuka puasa Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti adalah sebagai objektif menghargai sumbangan komuniti perbandaran di setiap mukim yang terletak dalam daerah Manjung kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta mengeratkan hubungan ukhwah serta silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti yang terletak di dalam kawasan perbandaran.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

Saturday, 17 April 2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN BIL.1/2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

Surau Diri Jumaat MADAH, Fasa 1A, Seri Manjung menjadi pembuka tirai program majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran tahun 2021.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran dan Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Manjung serta Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung telah turun padang bagi menyantuni kariah setempat dalam program tahlil, berbuka puasa, solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.
 
Dalam program yang sama majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada warga miskin bandar turut diadakan bagi membantu dan membentuk siasah dalam menghayati kasih sayang dan semangat kekeluargaan bersama komuniti perbandaran.
 
Program majlis berbuka puasa yang diadakan adalah pengisian tahunan Majlis Perbandaran Manjung sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam mengeratkan hubungan ukhwah dan silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti perbandaran.
 
Bak kata Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung dalam ucapan ramah mesra "..tiada apa yang lebih utama selain daripada menghargai peranan komuniti yang telah banyak membantu Pihak Berkuasa Tempatan dalam mengenal erti perpaduan dan kemakmuran dikecapi bersama.." 
 
Hubungan mesra Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti yang sedia ada terjalin perlu diterjemahkan kepada pengkongsian yang lebih bermakna bagi menjurus kepada pemuafakatan yang boleh memberi nilai berkebajikan kepada komuniti perbandaran dalam landskap perpaduan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung.
 
"..Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 








 

Wednesday, 25 November 2020

PROGRAM MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA ZON 23 AHLI MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

Dewan Masyarakat India Pengkalan Baru di Kampung Matang Kubu, Pantai Remis petang ini telah menjadi tempat mesyuarat kali pertama bagi penubuhan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon Ahli Majlis Perbandaran Manjung
 
Encik Vimalan a/l Krishnan adalah Ahli Majlis Perbandaran Manjung kawasan ini secara automatik menyandang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk akan melantik ahli-ahli JKP yang terdiri daripada penduduk yang terdapat di bawah zonnya.
Program taklimat dan perasmian mesyuarat penubuhan JKP zon 23 telah disempurnakan oleh Encik Mohamad Shukri Ismail, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah sebagai platform mewujudkan hubungan kerjasama di antara MPM dan warga perbandaran dalam membentuk halatuju yang baik untuk komuniti.
Jawatankuasa ini juga bertindak sebagai satu inisiatif dalam menggalakkan penglibatan komuniti di dalam menjaga hubungan dalam kemasyarakatan dan pada yang sama membantu PBT menangani isu-isu perbandaran.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung