About

Monday 10 May 2021

PROGRAM 'SINAR LEBARAN TAHUN 2021' MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG, TNB JANAMANJUNG BERSAMA NGO GEROBOK ASNAF

PROGRAM SINAR LEBARAN TAHUN 2021' ANJURAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG, TNB JANAMANJUNG BERSAMA NGO GEROBOK ASNAF- 11 MEI 2021

Pihak Majlis Perbandaran Manjung dengan kerjasama TNB JanaManjung bersama pihak NGO Gerobok Asnaf telah mengadakan 'Program Sinar Lebaran Tahun 2021' bagi menyampaikan sumbangan barang keperluan makanan dan duit raya kepada warga miskin bandar dan golongan asnaf sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri bertempat di Surau Al-Badariah Padang Tembak yang melibatkan penerima sumbangan seramai 50 orang.
 
Program ini telah dihadiri oleh Tuan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Manjung Tuan Syamsul Hazeman Bin Md. Salleh, AMP bersama isteri dan Yang Berbahagia Datuk Shamsul Ahmad, Pengarah Urusan TNB JanaManjung bersama warga kerja TNB Jana Manjung yang turut hadir bersama-sama bagi meraikan penerima-penerima sumbangan.
 
Pihak Majlis Perbandaran Manjung berharap sumbangan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban dan kos hidup terutama bagi warga miskin bandar dan golongan asnaf ini yang akan menyambut perayaan Hari Raya yang bakal menjelang tiba. 
 
Pihak Majlis Perbandaran Manjung mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga usaha murni dari pihak NGO dan swasta seperti ini sentiasa berterusan bagi menjaga keprihatinan masyarakat khususnya di daerah Manjung.
 
#SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI
#PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19
#KITA JAGA KITA
 
UNIT PROGRAM PEMBASMIAN KEMISKINAN BANDAR (PPKB)
BAHAGIAN KEMASYARAKATAN
JABATAN PEMBANGUNAN KOMUNITI DAN SOSIAL
MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG
 








 
 

Wednesday 5 May 2021

PROGRAM KUNJUNGAN PRIHATIN MANGSA RIBUT OLEH YAB MENTERI BESAR PERAK KE DAERAH MANJUNG

KUNJUNGAN PRIHATIN MANGSA RIBUT OLEH YAB MENTERI BESAR PERAK KE DAERAH MANJUNG

 Petang tadi YAB Datuk Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak berbesar hati untuk mengunjungi dan menyampaikan sendiri sumbangan ke kediaman mangsa ribut dan angin kencang yang melanda daerah Manjung sejak dua hari berturut-turut sejak hari Selasa yang lalu.
 
Kunjungan YAB Menteri Besar Perak turut disertai oleh Ketua agensi daripada Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan lain-lainnya.
 
Sebanyak 104 rumah mangsa yang terjejas akibat ribut melibatkan 25 kampung di Mukim Pengkalan Bharu, Beruas, Lekir dan Pangkor. Penilaian kerosakan dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Manjung mendapati 84 buah rumah mengalami kerosakan kecil dan 20 buah rumah terjejas teruk.
YAB Menteri Besar Perak memaklumkan bantuan bagi membaiki bumbung dan lain-lain akan disalurkan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) dan pihak Kerajaan negeri akan membantu dan menanggung kos jika berlaku penambahan kos dalam kerja pembaikan.
 
Sebelum itu, YAB Menteri Besar Perak turut mengunjungi Masjid An-Nuriah, Changkat Cermin bagi melakukan simbolik penyerahan kunci van jenazah bagi kegunaan masjid tersebut yang sekian lama menggunakan cara tradisional.
 
Semoga kunjungan prihatin YAB Menteri Besar Perak tersebut dapat menyuntik semangat dan memberi kekuatan kepada komuniti yang diberi dugaan dalam menyambut kedatangan 1 Syawal tidak berapa lama lagi.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 









 

Monday 3 May 2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA (IFTAR JAM'IE) MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN TAHUN 2021

 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA (IFTAR JAM'IE) MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN 1442H / 2021M

Yang Berhormat Dato' Seri DiRaja Dr. Haji Zambry Abdul Kadir, ADUN Pangkor menjadi tetamu kehormat bagi Program Majlis Berbuka Puasa Majlis Perbandaran Manjung Bersama Komuniti Perbandaran iaitu Kembara Iftar yang ke-5 dan penutup tirai pada tahun ini.
 
Lokasi adalah di Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Kampung Teluk Gedung, Pulau Pangkor yang terkenal dengan kecantikan, keindahan dan keunikkan kaligrafi 1000 selawat dan hiasan identiti negeri Perak pada dindingnya adalah dari cetusan idea daripada ADUN Pangkor itu sendiri kini menjadi monumen baru tarikan pelancong di pulau ini dan secara kebetulan, Pengerusinya kini adalah Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung.
 
Turut hadir adalah Encik Mohd Helmi Haji Arifin, Setiausaha Perbandaran, Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon Seri Manjung, Ayer Tawar, Beruas dan Sitiawan, wakil agensi kerajaan PDRM, Bomba, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan badan bukan kerajaan daripada persatuan, pertubuhan di Pulau Pangkor yang turut sama menyantuni kariah setempat dan penerima bantuan Projek ERAT.
 
Dalam program yang sama majlis penyampaian kotak makanan projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada warga miskin bandar turut diadakan bagi membantu meringankan bebanan perbelanjaan isi rumah keluarga miskin yang tersenarai dalam Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) untuk komuniti di zon Pulau Pangkor.
 
Program selanjutnya adalah menunaikan solat fardu Isyak dan solat sunat Tarawih dan Witir secara berjemaah bersama komuniti di Masjid Khairiah atau Seribu Doa atau lebih dikenali sebagai "masjid cina" yang terletak di Kampung Sungai Pinang Kecil. Monumen terbaru yang menjadi tarikan kunjungan pelancong dengan rekabentuk senibina yang menarik dengan pola yang mengabungkan unsur ketimuran dari negara cina dan identiti negeri Perak.
 
Semoga program outreach menyantuni komuniti dalam Program Berbuka Puasa Bersama Komuniti di seluruh daerah Manjung pada tahun ini memberi ruang dan peluang kepada Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti daerah untuk saling memahami keperluan kearah usaha membentuk pemuafakatan dan kemakmuran bersama.
 
Sehingga berjumpa lagi pada tahun hadapan di lokasi yang berlainan. Rapatkan saf teguhkan perpaduan.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosiall
Majlis Perbandaran Manjung
 










 

Sunday 2 May 2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-4/2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-4/2021

Surau Diri Jumaat Al-Azim, Kompleks Kastam Lumut, Sitiawan menjadi destinasi yang ke-4 program majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi tahun 2021.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, YBhg. Laksamana Dato' Pahlawan Haji Sulaiman Muhamad, Pengerusi Masjid An-Nasriyah, Sitiawan, Encik Razali Haji Mat Nayan, Pengarah Jabatan Perbendaharaan, Encik Issamudin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial serta Ahli-Ahli Majlis zon Sitiawan, Ayer Tawar, barisan Penghulu Mukim Sitiawan dan anggota-anggota Majlis Perbandaran Manjung telah turun padang bagi menyantuni kariah setempat dalam program tahlil, berbuka puasa, solat fardu dan sunat tarawih serta witir secara berjemaah.
 
Di kesempatan tersebut, turut diadakan majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT Majlis Perbandaran kepada golongan miskin bandar sempena bulan Ramadhan sebagai ingatan kasih sayang kepada komuniti yang turut mewarnai rencah kehidupan di kawasan perbandaran.
 
Program tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung sebagai pengisian di bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam konteks mengeratkan hubungan mesra dan jalinan silatturahim yang terus berkekalan bersama komuniti yang turut menyumbang bakti dan peranan yang berkesan untuk pembangunan modal insan di kawasan perbandaran yang selaras dengan pembangunan material dalam kepesatan pembangunan di daerah Manjung.
 
Semoga kewibawaan Pihak Berkuasa Tempatan dapat dilengkapi dengan komuniti yang dapat mencapai kualiti hidup yang lebih baik di kawasan perbandaran apabila nilai kerohanian sebagai elemen yang mempunyai nilai-nilai murni seperti kebertanggungjawaban, adil, saksama, kejujuran, keikhlasan, berintergriti dan sebagainya telah kuat di hati nurani komuniti perbandaran.
 
"#Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh"
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung 













Saturday 1 May 2021

PROGRAM 'BERKAH RAMADHAN 1442 HIJRAH JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS ZON 3

 

Petang ini bertempat di Pusat Komuniti Teluk Batik, Teluk Batik, Lumut sedang berlangsung Program Berkah Ramadhan 1442H.

Program adalah anjuran kerjasama daripada Encik Mohd Azrien bin Mohd Salleh, Ahli Majlis Perbandaran Manjung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 3 (Lumut) bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) daerah Manjung yang terdiri daripada Komuniti I Love Manjung (KiLM), AURA Manjung, Persatuan Kebajikan Amal Wanita Manjung (KAWAN), PERSALAM, USAHANITA Manjung Baru dan Persatuan Peniaga Teluk Batik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung.
 
Majlis program turut dihadiri oleh wakil Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung (PDRM) Hospital Seri Manjung (HSM) selain daripada itu kehadiran Pengerusi-pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang telah terlibat secara langsung sejak awal pagi dalam program memasak bubur lambuk secara bergotong-royong.
 
Program adalah bertujuan bagi menyampaikan bubur lambuk dan kuih raya sempena Hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelang tidak lama lagi kepada golongan ibu tunggal dan asnaf yang layak di sekitar daerah Manjung.
 
Objektif program adalah sebagai mengeratkan semangat perpaduan antara sesama badan bukan kerajaan (NGO), memupuk nilai-nilai murni secara tidak langsung dapat mengeratkan silatturahim sesama masyarakat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung