About

Saturday 18 December 2021

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

 

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

Bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Penghijauan Manjung selaras dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 lalu hingga menjelang 2025.
 
Program anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersama J&T Express, UNIkl Mimet dan Kolej Komuniti Seri Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Malaysia.
 
Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 21 pokok teduhan daripada pelbagai jenis dan 60 pokok persisir pantai jenis merambong sumber makanan habitat merin seperti penyu dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan membekalkan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah.
 
Seberat 317 kg sampah sarap telah dapat dikutip di sepanjang persisiran pantai pada program gotong-royong tersebut dengan penglibatan penuh anggota agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam yang turut serta.
 
Antara pengisian lain yang diadakan adalah pembersihan pantai pendaratan penyu daripada sampah sarap, penanaman pokok persisiran pantai, taklimat konservasi penyu dan aktiviti pelepasan anak penyu yang telah matang ke laut lepas.
 
Semoga program kelestarian sumber dan alam sekitar memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri yang komited untuk menjadi peneraju kepada mempromosikan agenda "Perak Bumi Lestari" yang memerlukan komitmen berterusan dari agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam untuk bersama-sama berganding bahu mencapai matlamat tersebut.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

 

Tuesday 14 December 2021

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

1) Bertempat di Dewan Mesyuarat Chung Hwa, Kampung Koh, Sitiawan pada 5 Disember 2021 Tuan Dr. Chieng Lee Chong, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 16 (Sitiawan).
 
2) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Tualang, Beruas pada 14 Disember 2021 Tuan Mejar (KM) Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 20 (Beruas) dan
 
3) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung pada 15 Disember 2021 Cik Sabariah binti Haji Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 6 (Seri Manjung).
 
telah berjaya menubuhkan Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon masing-masing dengan mengadakan mesyuarat kali pertama dengan penyertaan barisan ahli jawatankuasa yang terdiri pemimpin masyarakat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pengerusi Persatuan Penduduk, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dan ketua-ketua masyarakat yang berhubung rapat dengan komuniti.
 
Objektif penubuhan Jawatankuasa Penduduk adalah selaras dengan tanggungjawab Ahli Majlis yang seumpama ADUN di kawasan DUN yang mempunyai penduduk dibawah kawasan jajahan zon mereka yakni sebagai ikon tenaga penggerak masyarakat bagi mewujudkan platform kerjasama bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyampaikan maklumat atau penerangan keatas sesuatu isu yang ada.
 
Selain daripada itu Jawatankuasa Penduduk juga berperanan sebagai satu inisiatif dalam menggalakkan penyertaan warga perbandaran dalam program outreach di kawasan perbandaran.
 
Program perasmian dan sesi taklimat berkaitan penubuhan Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Manjung telah disampaikan oleh Encik Issamudin bin Ibrahim, Pegawai Tadbir @ Ketua Jabatan dan juga Encik Muhamad Shukri, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial.
 
Semoga penubuhan jawatankuasa ini membantu komuniti setempat mendapat maklumat tepat dan menjadi tempat rujukan komuniti berkenaan pelbagai isu perkhidmatan dan perbandaran Pihak Berkuasa Tempatan dalam memperkasakan hubungan komuniti perbandaran melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.
 






 

Friday 10 December 2021

PROGRAM JIWA MURNI BERSEPADU KD PELANDOK TLDM BERSAMA AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA MEMURNIKAN PERSEKITARAN
 

Sungai Lumut Kanan, Lumut terutama di Taman Desa Bayu dan Desa Manjung Raya menjadi medan "pertempuran" program gotong-royong Jiwa Murni Bersepadu antara pihak KD Pelandok bersama agensi Majlis Perbandaran Manjung, Jabatan Pengairan dan Saliran Manjung yang turut disertai oleh kedua rakan niaga agensi melalui Puncak Emas Infra Sdn.Bhd dan Empayar Indera Sdn. Bhd serta komuniti setempat.
 
Sesuai dengan sebutan Jiwa Murni, program yang dilangsungkan adalah bagi memurnikan kawasan yang telah dikenal pasti tercemar oleh sampah sarap daripada bahan buangan komuniti yang terdapat di sepanjang jajaran sungai tersebut.
 
Sebelum itu Kepten Mahadzir bin Mohktar, Pegawai Memerintah KD Pelandok telah merasmikan program tersebut yang turut disertai oleh Komander Ir.TS Ng Keng Lip, Ketua Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok, Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Suhaimi bin Mat, Penolong Jurutera, Jabatan Pengairan dan Saliran, Encik Zakwan Fikri bin Mohd Hasnan, Jurutera Puncak Emas Infra Sdn. Bhd, Encik Shahril Yusnizan bin Mat Zulkifli, Pengurus Seksyen Empayar Indera Sdn.Bhd dan Lt.Ir. Amirul Faiz bin Kamaruddin, Pegawai Bengkel Srimala KD Pelandok selaku penyelaras program.
 
Objektif program adalah bagi membersihkan aliran sungai daripada sampah-sarap yang tersekat yang berpontensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.
 
Agenda paling utama adalah program yang dapat mewujudkan hubungan erat silaturahim antara warga TLDM bersama agensi dan swasta serta komuniti melalui kerja amal ke arah menyumbang pencapaian sasaran pimpinan dengan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Saturday 13 November 2021

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.
 
Sebentar tadi telah dilaksanakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Plastik Sekali Guna Kempen Insentif Hijau bagi pengindahan lorong belakang di kawasan penempatan komuniti di Taman Fasa 2i, Seri Manjung dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Kempen insentif hijau melalui penanaman sayuran di halaman belakang masing-masing menepati aspirasi kerajaan negeri Perak sempena Program Bumi Hijau Negeri Perak Darul Ridzuan 2020 bagi meningkat kesedaran awam terhadap alam sekitar.
Perubahan paradigma masyarakat amatlah digalakkan untuk mengubah landskap lorong belakang yang tidak menarik, kotor dan tidak selamat sebelum ini kepada persekitaran yang lebih menarik, ceria, sihat dan menyegarkan. 
 
Tambahan pula lorong belakang dihijaukan dengan tanaman sayuran dan herba yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur dan kos sara hidup komuniti.
Majlis perasmian dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Rafiq bin Haji Mohd, Ahli Majlis @ area officer zon 7 (Seri Manjung).
 
Turut hadir adalah Tuan Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis zon 8, Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis zon 18, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Ruzaimi bin Abu, Pengerusi Persatuan Komuniti Harmoni Taman Fasa 2i, Tuan Haji Shafuddin bin Mohktar, Pengerusi KRT zon 6, Ahli Jawatankuasa persatuan dan komuniti setempat.
 
Pada program yang sama turut didedahkan teknik membuat baja kompos kepada surirumah komuniti setempat daripada bahan buangan sisa makanan kepada baja secara tidak langsung mengurangkan sisa sampah domestik komuniti kepada baja.
Turut diadakan adalah taklimat dan kempen menghindari penggunaan plastik sekali guna dengan menggalakkan penggunaan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, penggunaan botol air sendiri, hidangan air dalam jug atau dispenser atau penggunaan gelas kaca.
 
Sewajarnya komuniti memberi komitmen dan kerjasama utuh bagi menjayakan program pengindahan lorong belakang, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi menepati objektif yang mampu mempamerkan hasil yang baik untuk dijadikan ikutan dan amalan masyarakat walapun memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya.
 
"...bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat..."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Friday 12 November 2021

PROGRAM GOTONG-ROYONG PIBG DAN SK SUNGAI WANGI DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

PROGRAM GOTONG-ROYONG SK SUNGAI WANGI DAN PERSATUAN IBU BAPA GURU DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG 
 

Pagi tadi bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Wangi, Ayer Tawar telah diadakan program gotong-royong memangkas dan menebang pokok yang merbahayakan komuniti sekolah.
 
Program adalah anjuran pihak sekolah bersama Persatuan Ibubapa Guru telah dibantu dengan kerjasama pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif program yang diadakan adalah bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif serta identiti sekolah yang indah, ceria dan selamat.
 
Begitu juga dengan semangat gotong-royong yang dipamirkan oleh ibubapa dan guru bersama Pihak Berkuasa Tempatan di sepanjang program yang berlangsung selama 5 jam jelas memupuk semangat kekitaan dikalangan warga sekolah disamping menanam komitmen dan keprihatinan pihak sekolah dan persatuan terhadap kebersihan, keceriaan dan keselamatan anak-anak mereka yang menimba ilmu di sekolah tersebut.
 
Walaupun tugasan tersebut bukanlah menjadi tanggungjawab hakiki sebagai Pihak Berkuasa Tempatan namun Majlis Perbandaran Manjung sedia membantu dan menyokong penuh aktiviti -aktiviti berbentuk gotong-royong yang diadakan di kawasan perbandaran bagi mewujudkan iklim perbandaran yang sihat, bersih, ceria dan selamat disamping menyemai hubungan mesra diantara komuniti dan Pihak Berkuasa Tempatan yang menjurus kepada perpaduan antara agensi dan masyarakat.
 
#muafakat dan sejahtera
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




Wednesday 10 November 2021

PROGRAM JIWA MURNI TLDM BERSAMA AGENSI DAN NGO MENDEKATKAN TLDM DENGAN ALAM DAN MASYARAKAT

PROGRAM JIWA MURNI TLDM BERSAMA AGENSI DAN NGO MENDEKATKAN TLDM DENGAN ALAM DAN MASYARAKAT




10 November 2021- Bertempat di Pantai Peranginan Pasir Panjang, Segari yang menempatkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan telah berlangsung Program Jiwa Murni Markas Logistik Barat, Pangkalan TLDM Lumut bersama Majlis Perbandaran Manjung, Jabatan Perikanan dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa).
 
Markas Logistik Barat dibawah pimpinan Lt Kdr Ernie Erdawaty Muhamad dengan kekuatan 40 anggota disantuni oleh Encik Ramzi bin Bakar, Ahli Majlis @ "area officer" Majlis Perbandaran Manjung Zon 24 (Segari), Encik Muhamad Azlan Zul Hasnan, Pegawai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dan daripada KUASA oleh Encik Nor Ismady Ahmad Radzuan telah membantu anggota peserta Jiwa Murni TLDM melaksanakan aktiviti gotong-royong menanam 40 anak pokok merambong yang disumbang oleh Unit Landskap dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung membantu dengan penyediaan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah pada pembersihan kawasan pantai daripada sampah sarap dan aktiviti membersihkan kolam dan memandikan penyu di kelolakan oleh Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.
 
Pihak KUASA yang membantu peserta dalam aktiviti gotong-royong membersih pantai daripada barangan plastik terbuang mencatat kutipan seberat 183.1kg. Amat mendukacitakan kerana terlalu banyak sampah sarap terdiri daripada botol minuman plastik, kaca, bekas-bekas makanan dari polystyrene dibuang secara meluas mencacatkan pemandangan peserta mengancam kesihatan, alam sekitar dan hidupan marin seperti penyu.
 
Semoga pendekatan "Bawa Pulang Sampah Anda" yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung di kawasan pelancongan di daerah Manjung dapat diamalkan dan dihayati untuk mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat dikunjungi untuk kebaikan bersama.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung

Saturday 30 October 2021

PROGRAM SEPAKAT@KOMUNITI JABATAN PENERANGAN BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT DAERAH MANJUNG

PROGRAM SEPAKAT@KOMUNITI JABATAN PENERANGAN BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT DAERAH MANJUNG
 

Hari ini bertempat di perkarangan Pejabat Penerangan daerah Manjung telah berlangsung Program Sepakat@Komuniti daerah Manjung bagi memperkasakan usaha melawan COVID-19 dan usaha mencapai imuniti kelompok negara bagi mengurangkan impak penularan.
 
Program adalah dibawah anjuran Pejabat Penerangan daerah Manjung telah dirasmikan perasmian oleh Puan Noor Idayu binti Yeop Husin yang mewakili bagi pihak Tuan Haji Mohd Taip bin Haji Ubah, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak.
 
Dif-dif terhormat yang turut hadir adalah Tuan Shamsul Ridzuan bin Idris, Pegawai Daerah Manjung, Puan Hajah Sarinah binti Haji Ahmad, Pegawai Penerangan Daerah, Encik Muhammad Zahir Shah bin Md Isa, Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara daerah Manjung (MKN) dan Encik Noor Hisyam bin Hasim, Penolong Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.
 
Turut hadir adalah pemimpin-pemimpin masyarakat dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Sitiawan.
 
Program penerangan dan taklimat berkaitan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Tatacara Penggunaan Kit Ujian Kendiri COVID-19 serta aplikasi My Sejahtera yang disampaikan dengan jelas dan berhemah turut mendapat sambutan yang baik daripada hadirin dengan sesi soal jawab yang berjaya merungkai pemasalahan yang menyelubungi komuniti berkaitan isu semasa negara berkenaan COVID-19.
 
Sebelum itu majlis turut diserikan dengan pelancaran "Mural Keluarga Malaysia" oleh dif-dif terhormat.
 
Adalah diharapkan ilmu dan maklumat yang yang diperolehi daripada penerangan dan taklimat tersebut dipanjangkan kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap dasar, program dan inisiatif kerajaan disamping membina komuniti yang berilmu, terhubung dan bersatu padu.
 
#Kita Jaga Kita
#Kita Mesti Menang
#Kita Keluarga Malaysia
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Saturday 28 August 2021

PROGRAM SEPAKAT @ KOMUNITI KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG BERUAS TAHUN 2021 AGENSI KERAJAAN DAERAH MANJUNG

PROGRAM SEPAKAT @ KOMUNITI KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG BERUAS TAHUN 2021
 

29 Ogos 2021 - Pagi ini bertempat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Inderawati Beruas telah diadakan Program Sepakat @ Komuniti Kempen Kibar Jalur Gemilang Beruas Tahun 2021.
 
Jabatan Penerangan Daerah Manjung dengan kerjasama agensi kerajaan daerah Manjung telah menjayakan Program Sepakat@Komuniti Kempen Kibar Jalur Gemilang Beruas Tahun 2021 secara ringkas namun penuh pengisian.
 
Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung berbesar hati telah merasmikan program tersebut. Turut hadir menyerikan majlis adalah Tuan Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung bersama ketua jabatan atau wakil agensi kerajaan daerah yang lain.
 
Ketua Jabatan dan agensi terlibat merangkumi Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Kesihatan Daerah, Bomba dan Penyelamat Malaysia, RELA, dan APM Daerah Manjung.
 
Lebih menarik, tiada program skala besar diadakan bagi mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara sempena pandemik Covid-19 namun gimik serahan Jalur Gemilang dan Kit Merdeka kepada Ketua Jabatan dan penerima vaksin sahaja. 
 
Kempen ini amat dialu-alukan dalam usaha menzahirkan semangat patriotik dan kecintaan terhadap negara.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Tuesday 10 August 2021

PROGRAM DI AMBANG MAAL HIJRAH SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN TAHUN 1443 HIJRAH/ 2021 MASIHI

MAJLIS DI AMBANG MAAL HIJRAH SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN TAHUN 1443 HIJRAH/ 2021 MASIHI

30 Zulhijjah 1442H bersamaan 9 Ogos 2021(Isnin) bertempat di Masjid Nurul Hidayah, Masjid Daerah Manjung telah menjadi lokasi Majlis Sambutan Di Ambang Maal Hijrah 1443H peringkat daerah Manjung bagi tahun 2021 yang dibuat secara serentak di seluruh negeri Perak Darul Ridzuan.
 
Majlis bersejarah tersebut telah di hadiri oleh YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol (B) Dato' Shaharuddin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung dan turut di serikan dengan kehadiran jemputan dari ketua agensi kerajaan iaitu Y.Bhg. Tuan Syamsul Hazeman bin Md. Salleh, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung, Y.Bhg. Al-Fadil Tuan Haji Khairul Nizam bin Mat Nor, Pegawai Tadbir Agama daerah Manjung, YDH ACP Nor Omar bin Sappi, Ketua Polis daerah Manjung dan Y. Bhg Encik Mohd Razif bin Mokhtar, Pegawai Baitulmal daerah Manjung dan para komuniti / jemaah setempat yang mengimarahkan masjid tersebut.
 
Program yang bermula sejak lewat petang itu dipenuhi dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan, bacaan doa Akhir Tahun 1442 Hijrah, solat fardu Mahgrib berjemaah, bacaan doa Awal Tahun 1443 Hijrah, bacaan Yassin dan Tahlil, solat fardu Isyak dan solat Sunat Hajat secara berjemaah dan di akhiri dengan bacaan ayat suci Al-Quran surah Al-Mulk.
 
Walaupun negara yang masih dibelenggu oleh penularan pandemik Covid-19 yang belum reda namun aktiviti memohon dan memunajat doa kepada yang Maha Esa tidak pernah di abaikan sebagai perisai terakhir kita sebagai hambaNya yang memohon pelindungan dan kekuatan dari segi ilmiah daripada bahaya wabak tersebut di samping mematuhi setiap arahan dan SOP ketat yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
Semoga negeri Perak yang tercinta khususnya dan negara amnya dilindungi Allah Yang Maha Esa dan diberikan petunjuk jalan keluar daripada kemelut makluk ciptaanNya jua.
 
"..Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, kecuali kaum itu sendiri mengubahnya.."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




 
 

Saturday 31 July 2021

 PELANCARAN KEMPEN KIBAR JALUR GEMILANG NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN TAHUN 2021 PERINGKAT DAERAH MANJUNG

 
Pagi ini bertempat di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Perumahan Penjawat Awam (PPA) Amanjaya Lumut Kiri, Seri Manjung telah diadakan majlis ringkas Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Negeri Perak Darul Ridzuan Tahun 2021 bagi peringkat Daerah Manjung sebagai menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-64 pada tahun ini.
 
Program bagi menyemai semangat patriotisme cintakan tanah air adalah anjuran daripada Pejabat Penerangan Daerah Manjung yang telah disertai oleh agensi kerajaan persekutuan dan negeri di daerah Manjung yang terdiri daripada Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Majlis Perbandaran Manjung, Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM), Penghulu Mukim Sitiawan Penghulu Mukim Lumut dan Jabatan Penerangan daerah Manjung sendiri.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Dan Tanah Manjung yang berbesar hati memasang bendera pada kenderaan dan membuat pelepasan kenderaan tersebut sebagai simbolik kepada bermulanya kempen memasang dan kibarkan Jalur Gemilang di semua pejabat jabatan kerajaan, swasta, premis-premis perniagaan dan kediaman serta di kenderaan awam dan persendirian.
 
Sebelum pada itu, Tuan Pegawai Daerah dan Tanah Manjung turut memberi penghargaan dan kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan @ frontliners yang berkhidmat di PPV Amanjaya hingga kini.
 
Objektif program adalah bagi memupuk semangat patriotik, menyuburkan nilai intergriti serta jati diri dan menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang bagi mewarnai bulan kemerdekaan disamping menghayati sebenar erti kemerdekaan kerana negara ini adalah milik kita.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung