About

Saturday 28 January 2023

KRT TAMAN SUNGAI WANG DAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG LAKSANA PROGRAM GOTONG-ROYONG LANGKAH PROAKTIF CEGAH WABAK DENGGI

 29 Januari 2023 (Ahad) - Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Sungai Wang, Ayer Tawar dibawah pimpinan Encik Amran Puteh, selaku Pengerusi dan Encik Zainul Ariffin Abu Bakar, selaku Setiausaha telah mengambil langkah proaktif untuk mencegah denggi yang kini menjadi wabak di kawasan perbandaran Manjung.

Program gotong-royong perdana anti aedes melibatkan komuniti perumahan tersebut telah mendapat bantuan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan Pasukan Penyelenggaraan Pokok Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
Menariknya, program gotong-royong sebentar tadi dapat dilaksanakan dalam waktu yang singkat sahaja kerana mendapat sambutan dengan penglibatan komuniti taman perumahan yang ramai menyertainya dan saling berkerjasama. Ini kerana, kebersihan di kawasan penempatan awam memainkan peranan dan perlu mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk komuniti setempat bagi mengurangkan risiko kepada jangkitan wabak denggi.
Objektif program ialah sebagai memberi kesedaran dan menyemai sikap tanggungjawab komuniti bagi melindungi keluarga dan jiran serta membentuk komuniti yang prihatin terhadap kawasan persekitaran, lebih-lebih jika hidup dalam komuniti taman perumahan di kawasan perbandaran.
Kita perlu hindari sikap "rosak susu sebelanga akibat setitik nila" tetapi perlu hidupkan semangat kejiranan. Semangat kejiranan merupakan aspek penting dalam hidup berkomuniti yang lahir daripada kesedaran dan inisiatif kita untuk mewujudkannya.
Tahniah dan terima kasih kepada komuniti Taman Sungai Wang dari pelbagai rumpun bangsa dan agama yang menghidupkan semula semangat gotong-royong sebentar tadi.
"Serumpun bak serai, sesusun bak sirih"
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM GOTONG-ROYONG MEGA BANTERAS AEDES INISIATIF KRT FASA 3A BERSAMA AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA

 29 Januari 2023 (Ahad) - Bertempat di Taman Fasa 3A, Seri Manjung telah dilaksanakan program gotong-royong mega banteras denggi anjuran oleh Jawatankuasa KRT Fasa 3A dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 1, Majlis Perbandaran Manjung, Pasukan Bomba Sukarela Seri Manjung dan Syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn.Bhd.

Majlis Perbandaran Manjung komited memastikan wabak demam denggi di kawasan perbandaran ini terkawal dengan anjuran program gotong-royong yang diadakan di lokaliti berisiko denggi atau wabak dengan kerjasama padu warga komuniti setempat.
Antara aktiviti gotong-royong kawalan denggi yang difokuskan ialah elemen premis dan persekitaran bebas pembiakan nyamuk aedes seperti kerja-kerja pembersihan pokok tanaman, pembersihan longkang dan pembersihan sampah sarap serta sampah pukal.
Semangat kerjasama dan peranan komuniti taman perumahan untuk bersama-sama berganding bahu mencegah penularan wabak amatlah diharapkan dengan mengambil inisiatif untuk membersih kawasan dalam dan luar kediaman bagi mengekang pembiakan nyamuk aedes.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 20 January 2023

PROGRAM GOTONG-ROYONG MEMBERSIH SURAU ERATKAN HUBUNGAN KOMUNITI DAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN

 21 Januari 2023 (Sabtu) - Surau Nadwah Islamiah, Taman Melati Lumut dengan kerjasama pasukan Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah melaksanakan program gotong-royong menebang pokok-pokok yang merbahayakan di kawasan persekitaran.

Program anjuran Jawatankuasa Surau Nadwah Islamiah yang dipengerusikan oleh Tuan Norizat Che Mat turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) surau serta penduduk setempat.
Pihak muslimat surau membersihkan bahagian dalam surau manakala pihak AJK surau dan Pasukan Penyelenggaraan Pokok Unit Landskap MPM menumpukan kerja-kerja menebang pokok dan membersihkan kawasan luar.
Aktiviti gotong-royong secara santai dan mesra antara AJK Surau, komuniti setempat dan pasukan Unit Landskap MPM dilihat dapat memupuk semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab yang seharusnya diterapkan dalam amalan harian bagi mendekatkan komuniti dengan surau dan secara khususnya mendekatkan diri kepada Allah.
Sebelum itu, Pasukan Penyelenggaraan Pokok Unit Landskap MPM turut membantu melupuskan aduan komuniti berkaitan sepohon pokok yang tumbang merintangi jalan masuk ke Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas di Kampung Padang Tembak Lumut.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Penyelenggaraan Pokok Unit Landskap MPM diatas sumbangan serta khidmat bakti demi kemaslahatan komuniti setempat.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Saturday 14 January 2023

Penganjuran Teluk Batik Beach Run 2023

 Telah berlangsung dengan jayanya Penganjuran Teluk Batik Beach Run 2023. Aktiviti utama adalah pelepasan acara “Fun Run” yang terbuka kepada dua kategori iaitu 3KM dan 6KM.

Program ini juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan dari segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum dari pelbagai peringkat usia. Program ini juga dimeriahkan lagi dengan aktiviti Zumba dan perkelahan santai di persisiran pantai Teluk Batik.
Selain itu, program telah dirasmikan oleh Encik Mohd Helmi Bin Ariffin selaku Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial iaitu Encik Issamudin Bin Ibrahim. Seterusnya, program ini juga disertai oleh masyarakat setempat, peserta-peserta dari luar negeri dan juga kakitangan awam.
Sehubungan dengan itu, program ini adalah juga bertujuan untuk menjadikan Pantai Peranginan Teluk Batik kearah sebuah kawasan pelancongan yang diiktiraf sebagai “Low Carbon Zone”. Semoga usaha menjadikan Teluk Batik sebagai Zon Hijau ini dapat diteruskan dan berjaya dilaksanakan pada suatu masa kelak.
Setinggi ucapan tahniah juga diucapkan kepada Three Sixty Five Empire yang sudi bersama-sama menjayakan program pada kali ini.
Bahagian Sukan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 13 January 2023

SUMBANGAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT PUNCAK EMAS INFRA SDN.BHD MENCERIAKAN KEJIRANAN KOMUNITI

 14 Januari 2023 (Sabtu) - Komuniti Taman Fasa 2A, Seri Manjung merakamkan kesyukuran dan terima kasih kepada pengurusan Puncak Emas Infra Sdn.Bhd (PEISB) Seksyen Manjung di bawah pimpinan Tuan Ammirul Mazelan, Pengurus Seksyen Manjung yang telah membenarkan penglibatan PEISB dalam program CSR gotong-royong menebang pokok-pokok yang membahayakan komuniti di kejiranan Taman Fasa 2A, Seri Manjung tersebut.

Terdapat enam batang pokok dilupuskan termasuk pokok kelapa, pokok mempelam dan pokok kurma yang telah besar dan tinggi dimana mewujudkan kebimbangan terhadap keselamatan komuniti perumahan, komuniti surau dan orang ramai yang menggunakan jalan tersebut. Pihak komuniti tidak digalakkan untuk menanam pokok-pokok yang tidak bersesuaian seperti pokok kelapa yang boleh mengundang masalah di kawasan penempatan komuniti.
Program tersebut telah mendapat kerjasama padu daripada ahli Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dibawah pimpinan Encik Abdullah Kassim @ "Paklah" dan Persatuan Penduduk Taman Fasa 2A, dibawah pimpinan Encik Rostam yang turun beramai-ramai untuk menghidupkan semula semangat bergotong-royong dikalangan komuniti
Objektif program ialah bagi memberi sumbangan kepada komuniti disamping memupuk semangat kerjasama, perpaduan dan merapatkan hubungan ukhuwah dikalangan persatuan serta mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Puncak Emas Infra Sdn.Bhd yang menghulur tanggungjawab sosial korporat yang telah menceriakan komuniti di perbandaran.

"Kejiranan sepakat membawa berkat"

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Tuesday 10 January 2023

PROGRAM GOTONG-ROYONG BERSAMA AGENSI KUKUHKAN HUBUNGAN STRATEGIK

 11 Januari 2023 (Rabu) - Bertempat di Tapak Peniagaan Arena Peladang, Seri Manjung sebentar tadi telah diadakan program gotong-royong di antara Pertubuhan Peladang Kawasan Manjung Selatan bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran (Zon 1 - Seri Manjung/Lumut/Pangkor) Majlis Perbandaran Manjung.

Turut hadir ialah Tuan Haji Khasfullah Rashit, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Manjung Selatan.
Tujuan program gotong-royong pada pagi ini ialah bagi melupuskan sampah pukal yang telah ditinggalkan oleh penyewa terdahulu di tapak perniagaan, dimana penyewa yang baharu akan mengambil alih penyewaan premis perniagaan makanan dalam masa yang terdekat.
Keperluan menambah suasana yang ceria dan selamat kepada pengusaha perniagaan dan pengunjung yang akan mengunjungi gerai-gerai perniagaan di kawasan tersebut.
Objektif program adalah bagi mendidik pemilik premis perniagaan terutama premis makanan untuk memastikan mematuhi kehendak yang ditetapkan oleh pihak Majlis berhubung aspek kebersihan dan pembuangan sampah yang dilupuskan.
Pihak Majlis amat menghargai keprihatinan pengusaha peniagaan makanan yang mencari rezeki dengan mengamalkan kebersihan persekitaran kearah melahirkan daerah Manjung yang bersih, ceria dan makmur.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Saturday 7 January 2023

PROGRAM KELESTARIAN ALAM UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA KAMPUS SERI ISKANDAR DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG (MPM) DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

 8 Januari 2023 (Ahad) bertempat di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor telah diadakan Program Kelestarian Alam oleh 48 orang mahasiswa dan mahasiswi UiTM Seri Iskandar di mana aktiviti utama adalah gotong-royong pembersihan pantai dan penanam pokok merambung. Aktiviti ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya menjaga alam sekitar terutamanya kawasan pantai agar tidak mencemarkan perairan sekaligus memberi mudarat kepada hidupan laut. Seterusnya, dapat melestarikan ekosistem pantai dan menggalakkan pendaratan penyu di sekitar perairan pantai Pulau Pangkor dengan kewujudan pokok merambung.

Terdapat juga kumpulan yang menyertai kayuhan kayak bermula dari Pantai Teluk Batik menuju ke Pantai Pasir Bogak.
Objektif program ialah bagi memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga ekosistem laut dan khazanah bernilai negara seperti penyu yang kian menghadapi kepupusan. Justeru itu pihak universiti sebagai peneraju ilmu wajar memainkan peranan menerapkan pendidikan pembangunan lestari dalam kalangan warga universiti dan mendidik masyarakat setempat.
Terdapat banyak sampah yang dikutip pada program tersebut yang kebanyakkannya terdiri daripada botol plastik, bekas polystrene dan tin minuman.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada warga UiTM Seri Iskandar yang telah berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di daerah Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 6 January 2023

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI) DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG (MPM) TINGKAT MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN/LESTARI (SDG)

 7 Januari 2023 (Sabtu) - SDG ialah singkatan bagi Sustainable Development Goals dengan 17 matlamat SDG yang bertunjangkan kepada 5 bidang tumpuan iaitu pembangunan masyarakat, penjagaan bumi, kemakmuran, keamanan dan kerjasama yang perlu dicapai menjelang 2030.

Bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang, Segari telah diadakan teras program SDG 14 dan 15 oleh 40 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam program konservasi pantai dan penyu.
Program anjuran oleh Kelab Persatuan Geografi @ PERGEO dipimpin oleh Puan Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Pensyarah dan Ketua Jabatan, Geografi dan Alam Sekitar UPSI telah berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Negeri Perak.
Objektif program ialah bagi memupuk kesedaran awam terhadap kepentingan menjaga ekosistem laut dan khazanah bernilai negara seperti penyu yang kian menghadapi kepupusan. Justeru itu pihak universiti sebagai peneraju ilmu wajar memainkan peranan menerapkan pendidikan pembangunan lestari dalam kalangan warga universiti dan mendidik masyarakat setempat.
Sebanyak 197 kg sampah dapat dikutip pada program tersebut yang kebanyakkannya terdiri daripada botol plastik, bekas polystrene dan tin minuman.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada warga UPSI yang telah berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar di daerah Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






GOTONG-ROYONG BASMI AEDES INISIATIF KRT TAMAN MELATI, LUMUT DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG KEARAH DAERAH MANJUNG BEBAS DENGGI

 7 Januari 2023 (Sabtu) - Tanggungjawab pembersihan persekitaran taman kejiranan adalah tanggungjawab bersama.

Diatas hakikat tersebut, ahli-ahli Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Melati, Lumut dibawah pimpinan Encik Rihaizul Ab Wahab telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar (Zon 1-Seri Manjung/Lumut) di bawah pimpinan Encik Ahmad Faiz Zainuddin, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran JKPPB, MPM dalam melaksanakan program gotong-royong membasmi kawasan yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes di kawasan taman perumahan komuniti.
Penglibatan aktif komuniti setempat amatlah diharapkan bagi membanteras wujudnya lokasi yang berisiko menjadi pembiakan nyamuk aedes dan mencegah penularan wabak deman denggi serta meningkatkan kesedaran komuniti terhadap tahap kebersihan kawasan perumahan disamping mengeratkan hubungan erat antara komuniti dan pihak Majlis Perbandaran Manjung.
Semoga usaha murni ini menjadi kesinambungan kepada usaha menjadikan daerah Manjung bebas denggi.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM GOTONG-ROYONG BASMI AEDES KRT SERI MANJUNG 1 DENGAN KERJASAMA MPM MEMUPUK KEHARMONIAN KOMUNITI

 7 Januari 2023 (Sabtu) - Bertempat di taman perumahan komuniti Fasa 1E, Seri Manjung telah diadakan program gotong-royong membasmi kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Program anjuran Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Seri Manjung 1 (Fasa 1E) yang di ketuai oleh Puan Hajah Badariah binti Abd. Rani telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar (Zon 1- Seri Manjung).
Objektif program adalah bagi membersih kawasan persekitaran lorong belakang taman perumahan agar bebas daripada menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan mewujudkan keharmonian serta kesejahteraan komuniti yang sentiasa terjaga daripada wabak penyakit.
Pendekatan gotong-royong yang dianjurkan oleh pihak KRT ini amatlah dihargai dan berharap program seperti ini dapat dilaksanakan secara berterusan dengan penglibatan komuniti setempat secara aktif.
"Komuniti sepakat membawa berkat"
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung