About

Sunday 19 February 2023

KONVOI KELAB PROTON X50 KOMUNITI PERAK KE ARAH MENGKOMERSIALKAN KEINDAHAN PANTAI TELUK SENANGIN, LUMUT.

Aktiviti membersih kawasan pesisiran pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut daripada sampah sarap menjadi sebahagian daripada inisiatif ahli-ahli Kelab X50PC Komuniti Perak yang mengadakan Hari Keluarga di pantai tersebut.

Kelab X50PC Komuniti Perak yang terdiri daripada pemilik kenderaan Proton X50 seluruh negeri Perak meluangkan masa lebih 1 jam untuk aktiviti memupuk budaya menjaga kebersihan pantai awam kepada generasi alaf baru (anak-anak ahli kelab) dan juga mampu mencetus kesedaran kepada pengunjung pantai yang lain.

Dengan kekuatan 70 orang anggota ahli termasuk ahli keluarga telah berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 (Pantai Remis/Beruas/Ayer Tawar) MPM melaksanakan aktiviti pembersihan sampah sarap dalam agenda untuk memupuk kesedaran awam bahawa gaya hidup sihat berkait rapat dengan kebersihan persekitaran.

Sebelum.itu, acara "flag off" atau pelepasan 30 buah kenderaan Proton X50 peserta konvoi telah disempurnakan oleh Puan Hajah Jamilah Baharuddin @ lebih dikenali Jamilah Hasil Laut (penerima Anugerah AURA - kategori peruncitan dan pemborong) telah dilakukan di perkarangan Medan Selera Manjung Musang King.

Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Kelab X50PC Komuniti Perak yang cakna kepada alam sekitar dan membantu mengkomersialkan pantai peranginan Teluk Senangin sebagai destinasi percutian dan perkelahan yang ideal untuk dikunjungi oleh orang ramai.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







PROGRAM GOTONG-ROYONG KOMUNITI KAMPUNG BATU 14 LEKIR DENGAN KERJASAMA PBT MEMUPUK NILAI MURNI DAN PERPADUAN

Bertempat di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Khairiah dan Masjid Al-Khairiah, Batu 14 Lekir, Sitiawan telah diadakan program gotong-royong perdana membersih dan menceriakan kawasan persekitaran masjid, sekolah dan tanah perkuburan islam.

Program ialah anjuran daripada SRAR Khairiah dan Jawatankuasa Masjid Al- Khairiah, Batu 14 Lekir telah mendapat bantuan kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 2 (Sitiawan) Majlis Perbandaran Manjung (MPM).
Aktiviti gotong-royong yang diadakan sebagai wadah memupuk nilai murni dan perpaduan dikalangan penduduk kampung serta mampu mewujudkan semangat kekitaan antara agensi kerajaan dan penduduk setempat.
Sebagaimana kebiasaan, amalan dan aktiviti untuk bergotong-royong di kawasan perkampungan amat terbatas kerana ketiadaan mesin dan jentera sesuai yang diperlukan dan juga kekangan mengguna tenaga kerja generasi muda dan kuat yang dilihat mula melupai amalan bergotong-royong yang di warisi sejak zaman berzaman.

Diatas keprihatinan tersebut pihak Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar MPM membantu menyediakan jentera Backhoe dan kemudahan tong sampah Armroll untuk kemudahan kutipan sampah pukal ditambah pula dengan sokongan tenaga kerja anggota MPM yang mesra komuniti dan penduduk kampung yang rajin dan sentiasa bersedia berganding bahu untuk mewujudkan kawasan persekitaran yang bersih, selamat dan ceria.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar MPM yang mewujudkan hubungan sosial yang baik dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan usia.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung













Monday 13 February 2023

TABURKAN JASA, SEMAIKAN BUDI PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI KOLEJ VOKASIONAL TAIPING (KVT) KEPADA KOMUNITI TELUK SENANGIN

Surau dan pantai Teluk Senangin menjadi destinasi pilihan bagi tujuan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan oleh Kolej Vokasional Taiping.

Seramai 40 orang pelajar dari jurusan Diploma Kimpalan dan Diploma Automotif bersama 2 orang guru pengiring telah berkolaborasi dengan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Persatuan Komuniti Teluk Senangin dalam program mengecat, membersih kawasan surau dan pembersihan pantai daripada sampah sarap.
Program tersebut mampu menjalinkan mahabah dan ukhuwah bersama warga komuniti Teluk Senangin yang menggunakan surau itu untuk melaksanakan ibadah dan mengimarahkan bulan Ramadan yang bakal tiba nanti.
Di program yang sama, sebanyak 143.7 kg sampah sarap dapat dikutip oleh pelajar KV Taiping di sepanjang pesisiran pantai sepanjang 7km tersebut dalam tempoh 4 jam. Kebanyakkan sampah yang dikutip terdiri daripada botol plastik, botol kaca, tin minuman dan pinggan polisterin yang ditinggalkan atau dibuang oleh pengunjung.
Semoga tenaga yang dicurahkan oleh KV Taiping pada hari ini menjadi 'pelaburan' pahala untuk saham di akhirat nanti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday 12 February 2023

PROGRAM GOTONG-ROYONG KECERIAAN SEKOLAH JENIS KEBANGSAAN CINA UK DIH DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

11 Februari 2023 (Sabtu) - Bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina UK DIH, Kampung Koh telah diadakan program gotong-royong pembersihan kawasan dan menebang pokok yang merbahayakan warga sekolah.
Program anjuran SJK(C) UK DIH dengan kerjasama PIBG dan Jawatankuasa Lembaga Pengarah sekolah telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar (Zon 2) Sitiawan dan Pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
Turut hadir ialah Encik Ding Siew Chee, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 14 (Sitiawan) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah sekolah berkenaan.
Antara objektif program ini ialah bagi meningkat kebersihan, keceriaan dan keselamatan warga sekolah disamping memupuk semangat kekitaan serta meningkat kerjasama juga mengeratkan hubungan antara warga sekolah dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Majlis Perbandaran Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 3 February 2023

PROGRAM PENANAMAN POKOK BAKAU "ROOTS OF HOPE" UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS TINGKATKAN BIODIVERSITI EKOSISTEM ALAM

4 Februari 2023 (Sabtu) - Bertempat di Taman Paya Bakau Bandar Lumut, Lumut telah diadakan Program Penanaman Pokok Bakau oleh Kelab Rotaract Universiti Teknologi Pertronas (RACUTP) yang berpengkalan di Seri Iskandar, Perak.

Seramai 30 orang pelajar daripada pelbagai jurusan Kejuruteraan Kimia, Mekanikal, Petrolium, Elektrikal dan Elektronik, Material, Kimia Gunaan dan Sains Komputer bersama Puan Puspa Dahlia Abdul Rahman, Ketua Bahagian Kemasyarakatan dan Puan Faridah Hussain, Penolong Kanan Kemasyarakatan UTP berganding bahu bersama Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dan Majlis Perbandaran Manjung dalam program penanaman pokok bakau untuk tujuan memberi keseimbangan kepada alam sekitar kita.
Sebanyak 600 polibag dapat ditabungkan tanah, 200 anak pokok bakau dapat disemaikan dan 30 anak pokok bakau matang daripada spesis Bakau Minyak dan Bakau Kurap dapat ditanam di kawasan sekitar sebentar tadi.
Objektif program yang dilangsungkan adalah sebagai satu usaha dan sumbangan murni UTP untuk memelihara dan memulihara kawasan bakau di daerah Manjung khususnya bagi meningkatkan biodiversiti ekosistem alam tambahan pula dunia yang semakin sarat dengan pelepasan karbon akibat daripada aktiviti manusia dan pokok bakau yang ditanam sebagai sumber penyerap karbon
terbaik
dengan kitaran 4 kali ganda lrbih berkesan daripada pokok hutan hujan tropika yang terdapat di daerah Manjung dan negara Malaysia amnya.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada warga UTP dan KUASA yang sudi memerah keringat demi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya bakau di daerah Manjung.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung