About

Wednesday 30 October 2019

SANTUNI MANGSA BANJIR KAMPUNG PADANG SERAI, BERUAS

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul..begitulah peritnya segelintir daripada penduduk Kampung Padang Serai, Pantai Remis hadapi saban tahun apabila berlaku hujan lebat. 

Banjir akan terjadi apabila berlaku hujan lebat kerana limpahan air dari sungai yang berhampiran.
Tengahari tadi Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung Tuan Shamsul Hazeman Bin Md Salleh dalam kekangan masa dan tugas sempat berkunjung ke Kampung Padang Serai bagi menziarahi, menyantuni dan menyampaikan 14 kotak bantuan ERAT MPM dan Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon Pantai Remis turut menyampaikan kotak bantuan Harapan kepada 14 keluarga mangsa banjir yang dipindahkan di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai.

Walaupun yang disumbangkan tersebut tidak seberapa tetapi apa yang lebih bermakna kunjungan tersebut telah menjadi penawar kepada mereka bahawa komuniti yang di timpa bencana tidak pernah dipinggirkan di dalam arus pembangunan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




Sunday 27 October 2019

KARNIVAL SUKAN RAKYAT JKP ZON 4

Pagi ini di Padang Komuniti Fasa 2H dan Fasa 2I berlangsung Program Karnival Sukan Rakyat 2019 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Lumut YB Dato' Wira Dr. Mohd Hatta Bin Md Ramli diiringi oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung, Encik Mohd Helmi Bin Arifin.

Program anjuran Jawatankuasa Penduduk Zon 4 yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Badrul Bin Bulat, Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Majlis Perbandaran Manjung dengan kerjasama Pusat Khidmat Peduli Rakyat Parlimen Lumut dan KRT Seri Manjung XI.

Pelbagai program sukan yang menarik telah diadakan termasuk futsal, bawa bola ping pong dalam sudu, berlari dalam guni, tiup belon sampai pecah, dam aji, baling tin, bola jaring, sukan keluarga semakin hari semakin sayang dan tarik tali.

Objektif program adalah bagi memupuk perpaduan, mengeratkan hubungan silaturrahim, semangat kerjasama, persefahaman dan interaksi yang sihat di dalam komuniti melalui sukan rakyat ini. 

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Saturday 26 October 2019

FIESTA KOPERASI DAN USAHAWAN 2019

Sedang berlangsung sekarang ini Program Fiesta Koperasi Dan Usahawan 2019 di Tapak Pasar Malam Seri Manjung. 

Majlis Perasmian di sempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Wira Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Parlimen Lumut.

Program perasmian disertai oleh Exco Kerajaan Negeri Perak YB Tuan Haji Asmuni Bin Awi, YB Yahaya Bin Mat Nor, ADUN Pasir Panjang, Dato' Mohamad Fariz Bin Mohamad Hanif Pegawai Daerah Manjung, Encik Razali Bin Mat Nayan, Pengarah Jabatan Perbendaharaan Majlis Perbandaran Manjung, Encik Azam Bin Sulaiman, Pengarah SKM Negeri Perak, YDH Tok Sakna Tuan Haji Mohamed Zakaria Bin Haji Osman, Orang Besar 32 Negeri Perak.

Pelbagai booth pameran dan perkhidmatan diadakan daripada agensi-agensi kerajaan terdiri daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Perak, Institut Koperasi Malaysia (IKKM), Tekun Nasional, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Bank Rakyat Cawangan Manjung, SME Bank-Ipoh Enterprise Centre, Majlis Perbandaran Manjung, SME Corp. Malaysia, Angkasa Negeri Perak, Co-op Bank Pertama Malaysia Berhad dan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung dan juga kios-kios jualan produk daripada koperasi-koperasi seluruh Daerah Manjung dan Negeri Perak.

Turut diadakan majlis penyampaian Geran Koperasi, sesi dialog antara ahli koperasi bersama YB Timbalan Menteri Pembangunan Usahawanan dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan motosikal, pertandingan tadika dan kanak-kanak dan cabutan bertuah kepada pengunjung dan sumbangan kepada pertubuhan dan persatuan bukan kerajaan serta sumbangan kepada asnaf yang layak juga turut diadakan.

Semoga usaha menjadikan bidang usahawanan dan koperasi sebagai pemangkin pembangunan ekonomi di Daerah Manjung dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan setempat disamping memupuk semangat perpaduan diantara koperasi dan masyarakat.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial










Majlis Perbandaran Manjung

Sunday 20 October 2019

PROGRAM GOTONG ROYONG "DAWN TO EARTH" DI TELUK SENANGIN

Terima kasih di ucapkan kepada 30 orang Mahasiswa / Mahasiswi Universiti Teknologi Petronas Seri Iskandar daripada Unit Centre For Foundation Study UTP yang telah menganjurkan program dan 40 orang Pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) yang telah bergabung tenaga pada pagi ini di pantai peranginan Teluk Senangin bagi melaksanakan program gotong royong membersih sampah sarap di kawasan pantai di dalam Program "Dawn To Earth".

Encik Mohd Ridha bin Salleh, Pensyarah UTP dan guru SEMESTI turut turun padang bagi memberi semangat kepada mereka dan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar Zon 3 Majlis Perbandaran Manjung yang menyumbangkan bekalan plastik sampah untuk kegunaan program tersebut.

Semoga program yang telah dijalankan dengan objektif untuk memastikan tempat peranginan awam dan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat untuk dikunjungi disamping memberi kesedaran kepada pengunjung dan masyarakat akan kepentingan pemeliharaan dan penjagaan kebersihan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Saturday 19 October 2019

PROGRAM MENANAM POKOK TEDUHAN DI PUSAT REKREASI METHODIST, SITIAWAN

Pagi ini aktiviti gotong royong menanam pokok teduhan sedang dilaksanakan di perkarangan bekas Klinik Methodist Kampung Koh yang bakal akan berubah wajah menjadi Pusat Aktiviti dan Mesyuarat Pentadbir Methodist kelak.

Pada hari ini sebanyak 45 pokok teduhan daripada jenis Penaga Lilin (Mesua Ferrea) sumbangan daripada Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung yang diketuai oleh Encik Azmir Bin Zamzuri, Penolong Pegawai Pertanian akan di tanam di sekeliling tanah kepunyaan Pentadbir Methodist Kampung Koh.

Ahli Majlis Zon 9 (Sitiawan) Majlis Perbandaran Manjung Encik Cheong Ngin Koong dan Ahli Majlis Zon 17 (Kpg Baru Kpg Merbau-Kpg Baru Kpg Jering, Ayer Tawar) Encik Lau Cheong Loong serta Ahli Jawatankuasa Pentadbir Methodist Kampung Koh berganding bahu bersama 15 orang anggota Unit Lanskap bagi aktiviti menanam pokok teduhan tersebut.

Semoga usaha murni bagi kempen menanam pokok untuk pengindahan kawasan persekitaran ini akan memberi nilai tambah kepada keceriaan yang menarik dan keseimbangan ekosistem alam sekitar di kawasan bangunan Klinik Methodist dan Pekan Kampung Koh serta Daerah Manjung amnya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Thursday 17 October 2019

PROGRAM MUAFAKAT - MAAL HIJRAH PERINGKAT DAERAH MANJUNG 2019

"Seruan Menjadikan Solat 5 Waktu Secara Berjemaah" adalah intipati Hijrah yang boleh diambil daripada ucapan perasmian oleh YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol.(B) Dato' Shaharudin Bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Daerah Manjung sempena Program Ma'al Hijrah Peringkat Daerah Manjung Tahun 2019M bersamaan 1441H bertemakan "Negara Rahmah Ummah Sejahtera".

Program Ma'al Hijrah Peringkat Daerah Manjung sedang berlangsung di Masjid Haji Isa, Batu 8, Lekir, Sitiawan.

Selain Orang Besar Jajahan Daerah Manjung, antara yang hadir adalah Pegawai Daerah Manjung, YBHG. Dato' Mohammad Fariz Bin Mohamad Hanip, ADUN Pasir Panjang Tuan Haji Yahaya Bin Mat Nor, Pegawai Agama Daerah Manjung, Ahli Majlis Perbandaran Manjung Puan Nik Noorazizah Binti Hamzah, Ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Daerah Manjung.

Program di serikan dengan majlis penganugerahan Maal Hijrah bagi kategori Masjid Terbaik telah dimenangi oleh Masjid Haji Isa, Batu 8, Lekir. 

Tanah Perkuburan Islam Terbaik - Tanah Perkuburan Islam Fasa 3C dan Tokoh Maal Hijrah 1411 adalah Wan Ahmad Puad Bin Wan Sulaiman, Bekas Guru Agama di Pulau Pangkor dan sekarang menjadi Mudir Am Seri Al Ummah Manjung.


Ybhg Dato' Dr. Ismail Bin Alias adalah tetamu jemputan bagi ceramah HIJRAH : "Kenapa Susah Sangat Nak Berubah". Ceramah bagi memupuk perubahan (Hijrah) daripada tidak baik kepada baik, daripada baik kepada lebih baik dan seterusnya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai ikon perubahan.

Konsep perubahan yang memerlukan perubahan tingkahlaku daripada Tingkahlaku Rosak Kendiri (Self Defeating Behavior) kepada Tingkahlaku Jaya Kendiri (Winning Behavior).

Semoga program keagamaan yang dijayakan oleh Pejabat Daerah Manjung ini menjadi makanan rohani yang akan mendapat balasan pahala di sisi Allah SWT disamping memantapkan keimanan para pemimpin jabatan kerajaan, pemimpin komuniti setempat malahan kepada pemimpin keluarga.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Tuesday 15 October 2019

MAJLIS PENUTUP KURSUS PENYELAMATAN DI AIR BEACH BOY PULAU PANGKOR

Sedang berlangsung Majlis Penutup Kursus Penyelamatan Di Air, Peringkat Asas Bagi Penyelamatan Pantai Di Pulau Pangkor. Program di adakan di Pangkor Palm Bay Resort, Teluk Nipah, Pulau Pangkor.

Majlis Penutup telah dilakukan oleh YB Encik Tan Kar Hing, Exco Jawatankuasa Pelancongan Negeri Perak.

Program selama 2 hari mulai 14-15 Oktober, 2019 telah diseliakan oleh 8 orang anggota Bomba daripada Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia.

Seramai 40 orang peserta "beach boy" Pulau Pangkor telah menyertai program yang berlangsung selama 2 hari tersebut.

Semoga usaha untuk mewujudkan pasukan "beach boy" yang bertanggungjawab dan berintegriti tinggi sempena menuju Pulau Pangkor Bebas Cukai 2020 akan terlaksana.

Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung

Image may contain: 1 person, on stage and standing




Sunday 13 October 2019

PROGRAM GOTONG ROYONG KAMPUNG TUN SAMBANTHAN, AYER TAWAR

Pagi ini di Kampung Tun Sambanthan, Ayer Tawar sedang berlangsung Program Gotong Royong Bersama Komuniti setempat bagi kerja-kerja memotong dahan pokok yang telah reput dan membahayakan komuniti juga aktiviti pembersihan kawasan persekitaran terutama di hadapan Dewan Orang Ramai dan padang permainan awam.

Program anjuran Pertubuhan Penduduk Kampung Tun Sambanthan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Majlis Perbandaran Manjung.

Program dihadiri oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Komuniti India Bahagian Parlimen Beruas Encik Thinagaran A/L Govindasamy.

Objektif program yang dilaksanakan adalah bagi memupuk semangat gotong royong dan tolenrasi antara penduduk setempat bagi menjaga kebersihan dan keharmonian kawasan penempatan komuniti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung