About

Friday 30 September 2022

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "LOVE OUR NATURE" KOLEJ POLY-TECH MARA IPOH DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

1 Oktober 2022 (Sabtu) - Bertempat di persisiran pantai peranginan Teluk Senangin telah diadakan program khidmat masyarakat pembersihan sampah-sarap persisiran pantai sebagai sumbangan sosial korporat Kolej Poly-Tech MARA Ipoh untuk kawasan peranginan awam di daerah Manjung.

Program adalah anjuran dari 22 orang pelajar Diploma Digital Marketing Kolej Poly-Tech MARA Ipoh dan 2 orang pensyarah yang berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Majlis Perbandaran Manjung yang membekalkan tong sampah armroll dan plastik sampah.
Sebanyak 135.6kg sampah kebanyakkannya terdiri daripada plastik dan tin minuman dapat dikutip di persisiran pantai pada program selama 2 jam tersebut.
Program tersebut turut disertai oleh Puan Bisyaarah Mohd Surur, Timbalan Pengarah Akademik dan Puan Maizatul Akma Mohd Amin, Pensyarah Khidmat Masyarakat Kolej Poly-Tech MARA Ipoh.
Objektif program bagi memupuk kesedaran awam supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan pantai agar keindahan alam sekitar terpelihara dan kesan pembuangan sampah di pantai terhadap habitat akuatik yang terdapat di sekitarnya terutama penyu dan sekaligus mendidik amalan positif awam untuk menambah baik kualiti hidup haiwan tersebut.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Poly-Tech MARA Ipoh kerana usaha dan menyokong kelestarian alam sekitar dan memperkasakan kesedaran awam dalam melestarikan alam sekitar khususnya kepada golongan pelajar generasi muda kolej kerana mereka adalah pelapis yang akan terus menjaga alam sekitar pada masa hadapan.
Semoga program jalinan kerjasama ini menjadi contoh yang baik untuk menarik lebih banyak penglibatan awam, swasta, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan untuk menyumbang khidmat masyarakat di kawasan perbandaran Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






AKTIVITI SUKARELA "PLOGGING" PANTAI TELUK SENANGIN UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP) SUATU AMALAN MULIA

1 Oktober 2022 (Sabtu) - "Kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka adalah suatu yang baik dan perlu dicontohi. Kerja-kerja amal ini adalah suatu yang mulia" itulah kata-kata yang keluar dari mulut salah seorang dari pengunjung pantai perkelahan Teluk Senangin merujuk kepada sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi dari Kelab IChemE - jurusan Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering) Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar yang berjalan sepanjang persisiran pantai tersebut untuk mengutip sampah-sarap yang dijumpai.

Seramai 40 orang mahasiswa dan mahasiswi di bawah pimpinan Pensyarah Dr.Chia Yee Ho melaksanakan kerja-kerja amal tersebut. Sebanyak 435.9kg sampah dapat dipungut pada program selama 2 jam yang menyaksikan botol plastik, tin minuman ringan dan polisterin menjadi bahan buangan yang paling banyak dapat dipungut.
Objektif program sukarela ini adalah sebagai satu didikan dalam memupuk kesedaran kepada pengunjung pantai perkelahan untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai dan keindahan pantai terpelihara.
Kesedaran sivik perlu dilatih dan ianya bermula daripada rumah. Apabila menjadi habit, ianya tidak akan membuang di mana-mana melainkan di tempat yang sepatutnya.

"Pantai kita tanggungjawab kita bersama"
#bawa pulang sampah anda.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 23 September 2022

"KOMUNITI SEPAKAT MEMBAWA BERKAT" INISIATIF PERSATUAN PENDUDUK FASA 2C DALAM PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA

24 September 2022 (Sabtu) - Bertempat di padang Taman Fasa 2C, Seri Manjung telah diadakan Program Gotong-Royong Perdana melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 1 (Lumut/Seri Manjung/Pangkor) dan Unit Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, Pusat Kesihatan Sitiawan, Tenaga Nasional Berhad Cawangan Seri Manjung dan Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Fasa 2C.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Azri Jaafar, Pegawai Khas yang mewakili YB ADUN Pulau Pangkor.
Program gotong-royong perdana melibatkan pembersihan lorong belakang, pembersihan sampah pukal bagi membanteras tempat yang menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan pemangkasan dahan pokok untuk keceriaan dan keselamatan di kawasan riadah awam komuniti taman perumahan tersebut.
Objektif program diadakan adalah bagi memenuhi tanggungjawab Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencapai matlamat Dasar Komuniti Negara untuk mendayakan komuniti khususnya di kawasan perumahan supaya terlibat secara aktif dalam pembangunan holistik terutama gotong-royong perdana ini bagi memenuhi kluster 2, Dasar Komuniti Negara iaitu Kebersihan, Alam Sekitar dan Kesihatan.
Inisiatif gotong-royong perdana ini diharapkan dapat memastikan komuniti setempat sentiasa menjaga kawasan sendiri dan kawasan gunasama supaya terhindar daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan bersama-sama menjadikan taman perumahan berdaya huni iaitu bersih, sihat, selamat dan aman.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Thursday 22 September 2022

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JIWA MURNI OLEH MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT TLDM DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Tempat : Persisir Pantai Sg Dinding, Lumut (Persisir Pantai Dataran Maritim hingga Gate TLDM)

Objektif:
Aktiviti gotong-royong bagi memastikan kawasan persisiran pantai Lumut bersih dan cantik untuk menerima kunjungan para pelancong pada hujung minggu.
Gotong-royong dijalankan oleh para anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dengan kehadiran seramai 27 orang termasuk 2 orang pegawai dengan kerjasama kakitangan MPM daripada Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial dan juga Jabatan Kesihatan, Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar seramai 11 orang.
Program ini selaras dengan slogan Lumut Bandar Pelancongan dan Maritim dengan adanya penglibatan secara langsung daripada anggota Tentera Laut.
Semoga program-program sebegini dapat dijalankan dengan lebih kerap di bandar Lumut supaya sentiasa berada dalam bersih dan ceria.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Wednesday 21 September 2022

INISIATIF PIHAK SWASTA THE BODY SHOP MALAYSIA (PERAK) DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG DALAM PROGRAM "PLOGGING" PANTAI PERANGINAN TELUK SENANGIN

22 September 2022 (Khamis)- Pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut terus menjadi lokasi tumpuan untuk program "plogging".

Pada kali ini inisiatif dari pihak swasta The Body Shop Malaysia (Perak) yang berpengkalan di Ipoh, Taiping, dan Manjung yang telah keluar seawal jam 5.00 pagi untuk hadir ke program ini.
Aktiviti tersebut telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, dan pelajar praktikal di Majlis Perbandaran Manjung.
Dengan kekuatan seramai 13 orang tenaga staf dan sokongan 12 orang anggota Majlis menyusuri sepanjang pantai tersebut dengan keringat bagi memupuk para peserta untuk mencintai kelestarian alam sekitar pesisiran pantai dengan harapan amalan seperti dalam program ini menjadi budaya dalam kehidupan para peserta dan para pengunjung pantai.
Sebanyak 75 kg sampah kebanyakkannya daripada botol plastik, pampers dan bekas polystrine dapat dikumpul di sepanjang lokasi dibawah pokok pesisiran pantai pada program sebentar tadi yang jelas menunjukkan kelemahan budaya orang kita yang suka berkelah tetapi tidak suka membawa sampah pulang bersama.
Objektif program adalah bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam untuk bersama-sama menjaga kebersihan pantai kerana keindahan dan penggunaan pantai adalah milik semua dan mesti menjadi tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keindahannya untuk di wariskan kepada generasi yang akan datang.
Semoga program jalinan kerjasama seperti ini dapat dilaksanakan lebih banyak pada masa akan datang meliputi penglibatan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Sekalung tahniah dan terima kasih kepada pengurusan The Body Shop Malaysia (Perak) yang sanggup berkorban datang seawal pagi untuk memberi khidmat masyarakat di pantai daerah Manjung.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Monday 19 September 2022

"REZEKI YANG DIBERIKAN ALLAH DI KONGSI BERSAMA"..MAJLIS KESYUKURAN LUMUT PORT BULK BERSAMA MAAHAD TAHFIZ BAYT AL-IKHLAS TELUK MUROH, LUMUT

20 September 2022 (Selasa) - Bertempat di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Teluk Muroh, Lumut sebentar tadi telah disempurnakan Majlis kesyukuran dan penyerahan dana hampir 10 juta bagi pembangunan maahad tahfiz tersebut.

"Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah semua amalan kecuali 3 perkara"
1. Sedekah Jariyah
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Anak soleh yang mendoakannya
Diatas kapasiti dan keberkatan janji Allah tersebut pihak Lumut Port Bulk mengambil kesempatan menyumbang dana semoga mendapat ganjaran pahala yang besar dan diluaskan rezeki serta dipermudahkan urusan dunia dan akhirat oleh Nya.
Majlis simbolik penyerahan dana pembangunan maahad tahfiz berupa "mock cheque" tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mubarak Ali Ghulam Rasul, Ketua Pegawai Eksekutif @ CEO Lumut Port Bulk kepada YBhg. Prof. Dato' Dr. Wan Sabri WanYusof, Pengerusi Ahli Jemaah Pengurusan Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas mewakili Yayasan Nur Ikhlas.
Dana pembangunan yang disalurkan bertujuan untuk membiayai pembangunan fizikal dan prasarana kepada 74 orang pelajar lelaki yang ada sekarang dan akan diperluaskan lagi bagi memenuhi cadangan pembinaan bangunan dan kemudahan kepada pengambilan pelajar perempuan yang akan diadakan di masa hadapan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday 16 September 2022

"DERMA DARAH, KUKUHKAN PERPADUAN" SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA PERINGKAT HOSPITAL KLUSTER MANJUNG 2022

17.9.2022 (Sabtu), bertempat di Centre Court, AEON Mall Seri Manjung sedang diadakan Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Kluster Manjung.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung yang turut dihadiri oleh Dr. Nordin Nasir, Ketua Hospital Kluster Manjung, Dr.Ngo Siuk Yung, Pengarah Hospital Changkat Melintang, Dr. Hajah Sabariah Mohd Noor, Ketua Perkhidmatan Perubatan Transfusi, negeri Perak dan Dr. Norahninzu Ariffin, Ketua Jabatan Patologi, Hospital Seri Manjung.
Tema pada tahun ini ialah "Derma Darah, Kukuh Perpaduan" memberi maksud kepentingan sumbangan dan peranan pendermaan darah secara sukarela dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan perpaduan dalam komuniti selaras dengan tema Hari Kebangsaan iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama".
Tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan warna kulit kempen menderma darah adalah keprihatinan sejagat untuk menyumbang dan membantu insan yang amat memerlukannya.
Tanpa sokongan daripada komuniti adalah mustahil bagi pihak Tabung Darah seluruh negara untuk menyediakan bekalan darah yang mencukupi bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat pada setiap tahun.
Objektif program bagi melahirkan komuniti daerah yang sayang kepada nyawa dan sanggup menolong antara satu sama lain tanpa sempadan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM KEMPEN KESEDARAN PENANAMAN POKOK BAKAU DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

17 September 2022 (Sabtu), bertempat di Kampung Parit Haji Dollah, Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan telah diadakan Program Kempen Penanaman Pokok Bakau bagi pemuliharaan kelestarian pesisiran pantai.

Program anjuran Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir (PSHBL) dibawah pimpinan Encik A.Hadi Kamil Ismail telah di sertai oleh 85 orang sukarelawan daripada Persatuan Sahabat Alam (KUASA), pelajar tahun 4,5 dan 6 Sekolah Rendah Agama Hidayah, penduduk Kampung Sungai Tiram, dan staf Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung telah mengambil bahagian dalam kempen kesedaran tersebut.
Objektif program bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dalam kalangan masyarakat, sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) dan penanaman pokok bakau tidak terkecuali.
Hutan paya bakau dikenal pasti sebagai tanaman
terbaik
yang dapat melindungi bumi daripada ancaman perubahan iklim dan pemanasan global dengan penyerapan karbon atmosfera lebih 5 kali ganda per hektar berbanding hutan hujan tropika.
Bak kata pepatah, "..berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu.."

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Thursday 15 September 2022

INISIATIF KOMUNITI TAMAN FASA 1D1/1D2 DAN 1D3 DALAM KEMPEN KIBARAN JALUR GEMILANG - SEMARAKKAN JIWA DAN SEMANGAT

16 September 2022 (Jumaat), bertempat di Surau An-Nur, Fasa 1D, Seri Manjung telah diadakan majlis penyampaian hadiah kemenangan kepada pemilik-pemilik premis kediaman yang telah menghiasi dan mereka bentuk premis kediaman dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.

Inisiatif pemilik premis kediaman telah mendapat perhatian daripada Ahli Kawasan Rukun Tertangga (KRT) Taman Fasa 1D dengan melaksanakan aktiviti permarkahan yang dijurikan oleh pihak Majlis Perbandaran Manjung, Pejabat Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional daerah Manjung dan Kawasan Rukun Tertangga.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Manjung dalam suasana sederhana dan ceria memandangkan setelah dua tahun program sambutan kemerdekaan tidak dapat dilaksanakan kerana Pandemik Covid-19.
Objektif program ialah bagi menanam semangat patriotik dan mencerminkan diri kita yang cintakan negara dan kedaulatan negara serta melambangkan identiti bangsa Malaysia.
Apalah sangat belanja untuk membeli Jalur Gemilang dan sambutannya hanya setahun sekali. Namun kibar Jalur Gemilang adalah perbuatan paling mudah bagi menunjukkan kita cintakan negara dan juga sebagai tanda kasih sayang kita kepada perjuangan dan pergorbanan generasi terdahulu yang berkorban dalam mendapatkan kemerdekaan untuk kita mengecapi seperti hari ini.
"..bendera adalah wadah kedaulatan negara..mengibarkannya adalah tanda kasih sayang kepada negara.."

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






SAMBUTAN HARI PERPADUAN RAKYAT SEMPENA HARI MALAYSIA 2022 ANTARA NOSTALGIA DAN WARISAN KITA

16 September 2022 (Jumaat) - Tugas paling mendesak bagi rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman adalah memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh.

Susulan itu, KRT Seri Bintang, Sitiawan telah mengadakan Program Sambutan Perpaduan Rakyat Sempena Hari Malaysia 2022 yang berlangsung di padang awam Taman Sitiawan, Sitiawan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Haji Mohd Som Ibrahim, Timbalan Pengerusi Majlis Pusat Kebajikan SeMalaysia Daerah Manjung (MPKSM).
Turut hadir YB Teoh Yee Chern, ADUN Astaka (Sitiawan), Toh Kelana Perkasa Encik Ismail Balua, Setiausaha MPKSM dan Encik Ding Siew Chee, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung, Ahli- Ahli KRT, Ahli-Ahli MPKSM serta komuniti setempat.
Objektif program bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotisme dikalangan komuniti untuk terus memperjuangkan usaha membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu dan kita mampu menggapai impian melalui semangat perpaduan dan muhibah dengan mempunyai pelan jangka panjang yang baik serta berusaha bersungguh-sungguh.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung