About

Friday 23 September 2022

"KOMUNITI SEPAKAT MEMBAWA BERKAT" INISIATIF PERSATUAN PENDUDUK FASA 2C DALAM PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA

24 September 2022 (Sabtu) - Bertempat di padang Taman Fasa 2C, Seri Manjung telah diadakan Program Gotong-Royong Perdana melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 1 (Lumut/Seri Manjung/Pangkor) dan Unit Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, Pusat Kesihatan Sitiawan, Tenaga Nasional Berhad Cawangan Seri Manjung dan Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Fasa 2C.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Azri Jaafar, Pegawai Khas yang mewakili YB ADUN Pulau Pangkor.
Program gotong-royong perdana melibatkan pembersihan lorong belakang, pembersihan sampah pukal bagi membanteras tempat yang menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan pemangkasan dahan pokok untuk keceriaan dan keselamatan di kawasan riadah awam komuniti taman perumahan tersebut.
Objektif program diadakan adalah bagi memenuhi tanggungjawab Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencapai matlamat Dasar Komuniti Negara untuk mendayakan komuniti khususnya di kawasan perumahan supaya terlibat secara aktif dalam pembangunan holistik terutama gotong-royong perdana ini bagi memenuhi kluster 2, Dasar Komuniti Negara iaitu Kebersihan, Alam Sekitar dan Kesihatan.
Inisiatif gotong-royong perdana ini diharapkan dapat memastikan komuniti setempat sentiasa menjaga kawasan sendiri dan kawasan gunasama supaya terhindar daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan bersama-sama menjadikan taman perumahan berdaya huni iaitu bersih, sihat, selamat dan aman.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






0 Comments:

Post a Comment