About

Sunday 29 September 2019

PROGRAM MENANAM POKOK DI MASJID ARFIAH BATU 3, SEGARI (29 SEPT 2019)

Throwback...29 September 2019 bertempat di perkarangan Masjid Arfiah, Batu 3, Segari, Lumut telah terlaksana program gotong royong membersih kawasan dan menanam pokok teduhan, renek dan bunga-bungaan.

Program anjuran Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 3 (Segari) juga merangkap Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung telah dirasmikan oleh Tuan Haji Badrul Bin Bulat, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 4 yang telah mewakili Yang Berhormat Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Usahawanan Datuk Wira Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli.

Sebanyak 70 unit pokok teduhan jenis Jejawi telah disumbangkan oleh Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung dan telah selamat ditanam semuanya.

Semoga usaha untuk menambah keceriaan dan kecantikan kawasan landskap Masjid dapat melengkapkan lagi keindahan senibina masjid sedia ada.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Saturday 28 September 2019

PROGRAM MENANAM POKOK - KPG BARU KPG MERBAU (28 SEPT 2019)

Throwback...28 September, 2019. Program Kempen Menanam Pokok telah diadakan di Kampung Baru Kampung Merbau, Ayer Tawar. 

Program anjuran Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 17 (Kpg Baru Kpg Merbau- Kpg Baru Kpg Jering) merangkap Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Encik Lau Cheong Loong.

Menurut Pen Peg Pertanian Unit Landskap Encik Azmir Bin Zamzuri sebanyak 40 unit pokok teduhan, 21unit jenis Tacoma dan 19 unit jenis Penaga Lilin telah disumbangkan oleh Unit Landskap.

Semoga pokok sumbangan yang telah ditanam tersebut akan dapat menambah keindahan dan menjadikan kawasan persekitaran yang lebih menarik di kawasan komuniti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung



Image may contain: 1 person, tree and outdoor

Wednesday 25 September 2019

MANGSA BENCANA RIBUT DAERAH MANJUNG (25 SEPT 2019)

Sedang berlangsung ketika ini di Dewan Orang Ramai Fasa 3A penyelarasan segera yang tertumpu kepada kerosakan kediaman mangsa bencana musibah hujan lebat, ribut dan angin kencang petang tadi. 

Kehadiran ADUN Pasir Panjang YB Yahaya bin Mat Nor, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial MPM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Wakil Pembangunan Luar Bandar (PLB), Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung telah hadir bagi memberi sokongan moral kepada komuniti yang di uji dengan musibah. 

Setakat ini seramai 150 orang telah dikenal pasti di timpa musibah tersebut. Kerosakan bumbung rumah paling banyak dikesan setakat malam tadi.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday 22 September 2019

PROGRAM INISIATIF SWASTA KEPADA KOMUNITI (22 SEPT 2019)

Teluk Ketapang, Pulau Pangkor pada hari ini berlangsung Program Inisiatif Swasta Mr. D.I.Y Trading Sdn Bhd bagi memenuhi tanggung jawab sosial korporat aktiviti penanaman pokok ambong-ambong atau merambong.

Teluk Ketapang, Pulau Pangkor juga dikenali sebagai Teluk Penyu kerana menjadi lokasi pendaratan penyu untuk bertelur adalah salah satu denstinasi baru acara pelancongan di Pulau Pangkor.

Seramai 25 orang kakitangan Mr. DIY melaksanakan aktiviti kemasyakatan dengan kerjasama Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung yang telah membekal pokok ambong-ambong atau Merambong sejenis tumbuhan yang menjadi makanan kesukaan penyu.

Selain daripada itu pihak Mr DIY juga telah menjalankan aktiviti membersih kawasan persekitaran Kota Belanda, Batu Bersurat, galeri dan jeti Awam Pulau Pangkor.

Semoga usaha yang telah dijalankan oleh pihak swasta Mr DIY ini dapat menarik minat lebih banyak lagi pihak swasta untuk berganding bahu bersama Majlis Perbandaran Manjung didalam melaksanakan tanggungjawab awam bagi memenuhi keperluan komuniti setempat disamping memupuk rasa kesedaran terhadap komuniti setempat secara sukarela.

Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM MASYARAKAT HARMONI INDIA, KAMPUNG SPYNIE, KAYAN (22 SEPT 2019)

Pagi ini 22 September 2019 bertempat di Kampung Spynie, Kampung Kayan, Sitiawan berlangsung Program Khidmat Masyarakat Harmoni Komuniti Warga India.

Program anjuran Jawatankuasa Penduduk Zon 11 bersama Pejabat Agama Islam Daerah Manjung, MPKK Kampung Kayan dan PERKIM serta dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung menganjurkan program senamrobik, sukaneka dan aktiviti ziarah komuniti estet setempat.

Majlis dihadiri oleh Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Tuan Haji Badrul Bin Bulat yang telah mewakili Ahli Parlimen Lumut Datuk Wira Dr. Mohd Hatta Bin Md Ramli telah merasmikan program tersebut, Tuan Syed Mohd Najib Bin Syed Aziz dan Puan Nik Noorazizah Binti Hamzah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 11, Lekir.

Program yang berobjektifkan bagi memupuk perasaan keprihatinan terhadap komuniti, memberi sumbangan dalam bentuk tenaga, pengetahuan disamping mengukuhkan semangat perpaduan dikalangan komuniti berbagai bangsa.

Semoga nilai murni yang telah dilaksanakan dapat memupuk dan mengeratkan hubungan silaturrahim diantara komuniti setempat dengan pemimpin, Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung untuk membentuk suatu kerjasama yang baik.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM MENANAM POKOK DAN PEMBERSIHAN KAWASAN TAMAN KIARA (22 SEPT 2019)

Pagi ini di Taman Kiara, Batu 6, Sitiawan berlangsung program gotong royong menanam pokok dan pembersihan kawasan penempatan taman perumahan oleh Jawatankuasa Penduduk Dan Kebajikan Taman Kiara dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.

Sebanyak 20 unit pokok teduhan jenis Penaga Lilin, 25 unit pokok renek jenis Allamanda dan 25 unit pokok renek Ficus Gold telah disumbangkan oleh Unit Landskap bagi tujuan pengindahan dan keceriaan kawasan sekitar taman tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Zon 11@ Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Puan Nik Noorazizah Binti Hamzah dan YB Dun Astaka Encik Teoh Vee Chern turut hadir menyertai program ini.

Semoga usaha murni bagi menjayakan program kebersihan dan keceriaan kawasan persekitaran komuniti Taman Kiara ini dapat meningkatkan lagi komitmen untuk membentuk sikap positif komuniti terhadap kebersihan, keselamatan, keselesaan dan bagi mewujudkan iklim yang kondusif kearah taman penempatan komuniti yang bersih, indah, selamat dan ceria.

 Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung

 




Saturday 21 September 2019

PROGRAM INISIATIF SWASTA - MENANAM ANAK BAKAU (21 SEPT 2019)

Throwback.. 21 September 2019 bertempat di Taman Paya Bakau Lumut program gotong royong menanam anak bakau dan membersih kawasan persekitaran.

Program Kemasyarakatan inisiatif swasta oleh Mr. D.I.Y dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan KUASA dan Majlis Perbandaran Manjung.

Anak bakau disumbangkan oleh KUASA daripada nurseri KUASA dan Komuniti Batu 3, Segari.
Usaha pemuliharaan alam semula jadi hutan bakau bagi menjamin ekosistem yang kondusif dan menjamin hutan bakau tidak menghadapi kemusnahan dan ancaman kepupusan yang berpunca daripada fenomena semulajadi mau pun akibat daripada aktiviti manusia.

Usaha tanggungjawab sosial korporat @ CSR menanam bakau ini harus dipuji dan diteladani oleh komuniti agar kehijauan hutan paya bakau terus kekal.

Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




PROGRAM BUBUR "ASYURA PERDANA" - ARKED MARA SITIAWAN (21.9.2019)

Sempena menyambut Maal Hijrah 1441, Program Memasak "Bubur Asyura Perdana" peringkat Daerah Manjung hari ini berlangsung di perkarangan Bangunan Arked MARA, Sitiawan.

Program anjuran Persatuan Kemajuan Aura Keusahawanan Manjung (AURA) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung ini dimeriahkan dengan penyertaan sebanyak 15 persatuan yang terdapat di Daerah Manjung termasuk Aura Manjung, Komuniti I Love Manjung, Puspanita Manjung, Persatuan Kontraktor Melayu Manjung, Usahanita Manjung, Persatuan Penyewa Arked MARA, Virgo Teluk Batik, Persatuan Penjaja Dan Peniaga Melayu Perak-Manjung, Gifted Community, ABIM, Pertubuhan Pendidikan Antah Kesuma, Kopi Pak Kodi, Binazrin Group, Persalam dan Elaine Iscandar.

Sejarah bubur asyura..berkait dengan peristiwa Nabi Musa A.S dan juga tanggapan peristiwa Nabi Nuh A.S. Dari segi pembuatan dikatakan bubur asyura mesti campuran 10 bahan ramuan..jika kurang atau lebih tidak lagi boleh dikatakan sebagai bubur asyura..dimasak pada 10 Muharram iaitu Hari Asyura dalam kalendar islam.

Objektif program yang dilakukan adalah sebagaimana telah menjadi salah satu adat masyarakat melayu islam di negara kita apabila tibanya bulan Muharram adalah memasak bubur asyura secara beramai-ramai bagi memupuk semangat ukhwah persaudaraan dan mengeratkan hubungan silaturrahim dan memupuk keceriaan dalam program sedemikian.

Di samping itu juga memberi pendedahan dan memberi peluang dan ruang kepada masyarakat majmuk cina, india, sikh dan lain-lain yang terdapat di Daerah Manjung merasai keenakan masakan tradisi masyarakat melayu islam ini.

Usaha ini perlu dijadikan sebagai aktiviti yang wajar dilaksanakan saban tahun agar generasi muda dapat mewarisinya.

Semoga usaha yang mulia ini dapat mewujudkan perpaduan serta permuafakatan dikalangan masyarakat pelbagai rumpun bangsa di Daerah Manjung amnya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Saturday 14 September 2019

PROGRAM PENDIDIKAN KELESTARIAN ALAM - RAKAN STRATEGIK

Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari hari ini menjadi tempat tumpuan 8 buah sekolah termasuk 1 buah sekolah daripada Beaufort, Sabah.

Program Pendidikan Kelestarian Alam anjuran Rakan Strategik Majlis Perbandaran Manjung Bersama SK Pantai Remis, Pejabat Pendidikan Daerah, Cenergi Sea Sdn Bhd dengan kerjasama Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu, KUASA, Sahabat Alam, SK Pantai Remis, SK Segari, SK Panchor, SK Sungai Batu, City Harbour International School, UniKLMimet dan SK Garama, Beaufort, Sabah.

Pelbagai program diadakan sejak awal pagi hingga petang antaranya lawatan sambil menimba ilmu di Pusat Konsevarsi Penyu, program inovasi daripada barang kitar semula daripada mahasiswa UniKLMimet, program menanam pokok merambong ihsan dari Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, aktiviti mengukir pasir dan "beach cleaning".

Majlis perasmian penutup program disempurnakan oleh Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung , Encik Issamudin Bin Ibrahim. Program dihadiri juga oleh Ketua Jabatan Agensi Kerajaan di Daerah Manjung antaranya Pejabat Pendidikan Daerah Manjung, Pejabat Penerangan Daerah Manjung dan wakil daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung.

Semoga program pertama kali yang diadakan untuk pelajar sekolah rendah ini dapat memupuk minat berterusan pelajar terhadap kelestarian alam dimasa hadapan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Friday 13 September 2019

PROGRAM KEMASYARAKATAN KILANG HENKEL (M) SDN BHD DI TELUK BATIK

Pagi ini Jumaat, 13 September 2019 di Pantai Peranginan Teluk Batik menerima kunjungan murni Program Kemasyarakatan Syarikat Henkel Sdn. Bhd yang berpengkalan di Tasek, Ipoh. 

Syarikat yang terbabit didalam bidang elektronik membawa seramai 64 orang kakitangan yang akan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan gotong royong membersih keindahan pantai milik semua daripada pencemaran sampah sarap.

Masyarakat perlu sedar bahawa kawasan pelancongan adalah tempat awam yang perlu terpelihara supaya lebih indah dan bersih tanpa sampah.

Program murni seperti ini perlu digerakkan secara berterusan dan sukarela bagi menyedarkan pengunjung terhadap kebersihan pantai. Tambahan pula Pantai Peranginan Teluk Batik adalah salah satu daripada pantai peranginan tumpuan awam.

Semoga usaha murni ini dapat menyumbang kearah Manjung Bersih lagi mempersonakan yang sentiasa mengamit kunjungan tetamu.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung