About

Wednesday 27 May 2020

TANGGUNGJAWAB KESEDARAN SIVIK AWAM TERHADAP ALAM SEKITAR

Persoalan kenapa orang awam dilarang memberi makanan kepada beruk, mawas liar atau kera? Pada pandangan umum kita, kemungkinan persoalan tersebut menampakkan kita sebagai tidak prihatin dan tidak mempunyai sifat penyayang kepada binatang. 

Namun apa yang sebenarnya tidak ketahui oleh kita adalah aktiviti memberi makanan kepada kera, beruk dan mawas liar akan mengubah kelakuan makhluk tersebut dengan bergantung kepada manusia untuk mendapatkan sumber makanan dan menghilang rasa takut haiwan liar tersebut terhadap manusia dan akan mudah menyerang manusia apabila tidak mendapat bekalan makanan daripada manusia.

Penutupan kawasan riadah dan taman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang yang baik kepada haiwan tersebut untuk kembali kepada normal semulajadi dengan mencari sumber makanan sendiri melalui sumber-sumber persekitaran semulajadi dikawasan Taman Bakau tersebut seperti lazimnya.

Namun malangnya apa yang berlaku selepas penarikan balik penutupan kawasan riadah dan taman, aktiviti pemberian makanan secara tidak wajar daripada pengunjung yang berniat baik telah merencatkan usaha tindakbalas adaptasi haiwan ini kepada alam semulajadi.

Sementalah perayaan Hari Raya Idul Fitri baru sahaja berlalu, aktiviti pemberian makanan oleh pengunjung yang mengambil peluang beriadah di taman tersebut telah “beraya” bersama haiwan tersebut dengan pelbagai makanan seperti lemang, ketupat, rendang, biskut raya, KFC dan terdapat biskut yang telah tamat tempoh telah dijadikan juadah kepada haiwan tersebut dengan mencemar kebersihan dikawasan tersebut.

Malang sekali penarikan balik penutupan kawasan riadah dan taman tidak digunakan secara berhemah oleh pengunjung untuk menghayati keindahan alam semulajadi hutan bakau, kedamaian, ketenangan, keindahan flora dan fauna serta haiwan-haiwan yang terdapat disitu.

Adalah menjadi amalan yang terpuji dan amat dihargai sekiranya pengunjung Taman Bakau Lumut ini menjaga eko-sosial haiwan yang terdapat disitu dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi terhadap kepentingan menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah dan mengotorkan, mencemar keindahan semulajadi persekitaran taman bakau tersebut.

Sedarlah, sumbangan kita pada hari ini akan memberi jaminan kepada generasi akan datang untuk berpeluang melihat haiwan tersebut terus kekal terdapat disitu dan peliharalah sebaik-baiknya keindahan Taman Hutan Bakau Lumut ini untuk warisan generasi yang akan datang.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








0 Comments:

Post a Comment