9 Oktober 2022 (Ahad) - Bertempat di Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Pemuliharaan dan Pemeliharaan Pantai dengan inisiatif pembersihan sampah-sarap hanyut dan juga penanaman pokok pesisir pantai di sepanjang pesisir pantai yang paling panjang di daerah Manjung yang meliputi keluasan seluas 7 km.
Program inisiatif ini dianjurkan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), persatuan paling aktif dan peka dalam aktiviti pelindungan dan penghijauan di daerah Manjung dengan kerjasama pertubuhan Roots and Shoots Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung yang sentiasa menyokong usaha-usaha dan langkah kelestarian alam sekitar.
Program penanaman 215 anak pokok pesisir pantai dibimbing oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dibawah pimpinan Cik Akalili Zanudin selaku Pengurus Projek dengan kerjasama Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung yang telah membekalkan pancang buluh manakala bekalan pokok telah disumbangkan oleh Persatuan Roots and Shoots Malaysia sendiri.
Sebanyak 5 jenis spesies pokok pesisir pantai ditanam di sepanjang pantai tersebut termasuklah dari jenis Ambong-Ambong atau Merambong, Putat Laut, Tembusu, Mempari dan Bitangor.
Objektif program adalah bagi mewujudkan persekitaran pantai pendaratan penyu yang bersih, ceria dan mesra alam kepada hidupan marin tersebut melalui inisiatif merimbunkan kawasan serta memupuk kesedaran kepada golongan belia atas kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem alam sekitar dan marin agar dapat terus membekalkan sumber dan perkhidmatan seperti perikanan, peluang pelancongan dan rekreasi serta perlindungan daripada bencana hakisan pantai.
Terima kasih kepada sukarelawan aktivis dari Roots and Shoots Malaysia yang bersemangat waja dan penghargaan kepada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang terus konsisten memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
0 Comments:
Post a Comment