About

Saturday, 8 October 2022

INISIATIF PERTUBUHAN BUKAN KERAJAAN MEMBERI SINAR BARU DALAM PEMULIHARAAN DAN PEMELIHARAAN PANTAI PENDARATAN PENYU PANTAI PASIR PANJANG, SEGARI

9 Oktober 2022 (Ahad) - Bertempat di Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Pemuliharaan dan Pemeliharaan Pantai dengan inisiatif pembersihan sampah-sarap hanyut dan juga penanaman pokok pesisir pantai di sepanjang pesisir pantai yang paling panjang di daerah Manjung yang meliputi keluasan seluas 7 km.

Program inisiatif ini dianjurkan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), persatuan paling aktif dan peka dalam aktiviti pelindungan dan penghijauan di daerah Manjung dengan kerjasama pertubuhan Roots and Shoots Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung yang sentiasa menyokong usaha-usaha dan langkah kelestarian alam sekitar.
Program penanaman 215 anak pokok pesisir pantai dibimbing oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) dibawah pimpinan Cik Akalili Zanudin selaku Pengurus Projek dengan kerjasama Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung yang telah membekalkan pancang buluh manakala bekalan pokok telah disumbangkan oleh Persatuan Roots and Shoots Malaysia sendiri.
Sebanyak 5 jenis spesies pokok pesisir pantai ditanam di sepanjang pantai tersebut termasuklah dari jenis Ambong-Ambong atau Merambong, Putat Laut, Tembusu, Mempari dan Bitangor.
Objektif program adalah bagi mewujudkan persekitaran pantai pendaratan penyu yang bersih, ceria dan mesra alam kepada hidupan marin tersebut melalui inisiatif merimbunkan kawasan serta memupuk kesedaran kepada golongan belia atas kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan ekosistem alam sekitar dan marin agar dapat terus membekalkan sumber dan perkhidmatan seperti perikanan, peluang pelancongan dan rekreasi serta perlindungan daripada bencana hakisan pantai.
Terima kasih kepada sukarelawan aktivis dari Roots and Shoots Malaysia yang bersemangat waja dan penghargaan kepada Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang terus konsisten memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Friday, 7 October 2022

PROGRAM HARI SUKAN NEGARA 2022 PERINGKAT DAERAH MANJUNG

 Pada 8 Oktober 2022 telah berlangsungnya Program Hari Sukan Negara 2022 Peringkat Daerah Manjung bertempat Dewan Merdeka dan Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Manjung.

Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri DiRaja Dr Zambry bin Abd Kadir, ADUN Pangkor di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung. Hadir sama pada majlis perasmian ini adalah Laksamana Pertama Ahmad Shafirudin bin Abu Bakar Panglima Udara TLDM , En Mohd Faizal bin Md Kasim Ketua Penolong Pegawai Daerah Manjung, En Mohd Helmi bin Arifin Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung dan Ketua - Ketua Jabatan /Agensi Daerah Manjung
Hampir 2000 orang peserta hadir & mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan sempena sambutan Hari Sukan Negara. Antaranya adalah Mega Aerobicton, Persembahan Taekwando, Pertandingan Bola Jaring, Ping Pong, Penalty Shootout, Zumba & Gerai Jualan.
Bahagian Sukan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Wednesday, 5 October 2022

TANGGUNGJAWAB SOSIAL KORPORAT KELAB PLUS SEKSYEN C1, TAPAH DALAM MEMBANTU MENGKOMERSIALKAN KEINDAHAN PANTAI TELUK BATIK

6 Oktober 2022 (Khamis) - Aktiviti membersihkan kawasan pesisiran Pantai Teluk Batik di sini daripada sampah-sarap menjadi sebahagian dari inisiatif Kelab PLUS Cawangan Seksyen C1 Tapah bagi mengindahkan kawasan pelancongan di daerah Manjung.

PLUS sebuah syarikat pengendali lebuh raya bertol di Malaysia yang tersenarai antara salah satu paling terbesar di Asia Tenggara, Asia.
Pagi ini Kelab PLUS Seksyen C1 Tapah dibawah pimpinan Tuan Noorisham Zainul bersama 30 orang anggota kakitangan pelbagai jawatan dan bahagian PLUS Seksyen Zon C1 berkolaborasi bersama Encik Hamdan Mohamed, Ahli Majlis, MPM zon 10, anggota Majlis Perbandaran Manjung daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial dalam program 'plogging' pesisiran pantai peranginan Teluk Batik.
Objektif program adalah untuk meningkat kesedaran anggota Kelab PLUS dan MPM serta orang ramai mengenai pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta tanggungjawab menjaga hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitar dengan sama-sama membantu melestarikan alam sekitar lebih-lebih lagi di kawasan pantai tumpuan awam.
PLUS dan MPM secara kebetulan menghadapi isu yang hampir sama berkaitan pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab di lebuh raya dan di kawasan pantai. Semoga usaha yang diadakan dapat memberi impak positif kepada penjagaan alam sekitar walaupun dalam suasana yang berbeza antara lebuh raya dan pesisiran pantai.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada PLUS Malaysia khususnya Kelab PLUS Seksyen C1, Tapah yang membantu membudayakan kelestarian alam sekitar.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Sunday, 2 October 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA ANJURAN PERSATUAN PENDUDUK TAMAN DESA MANJUNG, LUMUT MENJALIN UKHUWAH BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

2 Oktober 2022 (Ahad) - Pada hari ini buat julung kalinya Taman Desa Manjung, Lumut mengadakan program gotong-royong perdana bersama Majlis Perbandaran Manjung.

Taman perumahan Desa Manjung dikategorikan sebagai taman perumahan yang "muda" di daerah Manjung dan mula diduduki oleh komuniti pada tahun 2017 dengan 203 unit premis kediaman dari pelbagai rumpun bangsa dan kaum yang menghuninya di kejiranan tersebut asas yang baik untuk memupuk perpaduan melalui jalinan intergrasi nasional antara kaum.
Program gotong-royong perdana tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Haji Rosli Abd. Rahman selaku Ahli Majlis MPM @ Area Officer dan juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) bagi kawasan Zon 9 itu dimana taman perumahan tersebut termasuk dibawah kawasan seliaannya.
Turut hadir menyerikan program tersebut ialah Encik Asrul Efendi Hassan, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Manjung dan barisan Ahli Jawatankuasa, kakitangan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 1, kakitangan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung dan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti diadakan seperti Kempen Kitar Semula, kumpul barangan e-waste dan pembuatan baja kompos melalui teknik "Takakura" daripada sisa makanan sampah domestik dimana secara tidak langsung buangan sampah domestik dapat diminimakan dan dimanfaatkan sebaiknya.
Turut diadakan ialah program gotong-royong memangkas dahan pokok, menebang pokok yang merbahayakan dan pembersihan kawasan penempatan.
Objektif program diadakan adalah bagi memupuk hubungan ukhuwah bersama pihak MPM dan juga mewujudkan semangat kekitaan, perpaduan kaum dikalangan komuniti taman disamping dapat meningkatkan tahap persekitaran yang lebih sihat dan selamat di kawasan kejiranan tersebut.

"Komuniti sepakat membawa berkat"

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT LIONS CLUB OF MANJUNG DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

2 Oktober 2022 (Ahad) - Bertempat di Pantai Pasir Panjang, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Segari telah diadakan Program Khidmat Masyarakat daripada badan bukan kerajaan Lions Club International yang disertai oleh 4 Lions Club dari Lumut, Seri Manjung, Sitiawan dan Ayer Tawar dan 2 Leo Club dari sekolah SMK Ambrose dan SMJK Nam Hwa, Ayer Tawar.

Seramai 70 orang sukarelawan dari Lions dan Leo Club berkolaborasi bersama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan meliputi aktiviti "plogging" persisiran pantai dari sampah-sarap, menanam 70 anak pokok persisir pantai dan juga aktiviti membersih kawasan kolam penyu.
Pihak Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar zon 3 menyediakan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah manakala pihak Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 70 anak pokok jenis merambong dalam memenuhi kempen penghijauan daerah Manjung untuk kelestarian alam semulajadi habitat penyu.
Objektif program ini adalah bagi mempromosikan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar disamping memupuk semangat kesukarelawanan dikalangan generasi muda untuk menjaga keindahan pantai alam semulajadi dan habitat hidupan marin agar terus terpelihara untuk menarik kehadiran penyu dan mengekalkan persisiran pantai ini sebagai kawasan pilihannya untuk bertelur. Bayangkan sekiranya tiada lagi penyu mendarat di Pantai Pasir Panjang, apakah yang akan tinggal untuk diwarisi.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Lions Club Of Manjung yang prihatin kepada kelestarian alam semulajadi dan hidupan marin semoga usaha murni ini terus subur dikalangan masyarakat kita.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Saturday, 1 October 2022

PROGRAM SANTAI MAHASISWA MANJUNG

Pada 2 Oktober 2022 (Ahad) telah berlangsungnya Program Santai Mahasiswa Manjung bertempat di Pantai Teluk Batik bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengahari.

Persatuan Mahasiswa Manjung telah menganjurkan program Santai Mahasiswa Manjung yang melibatkan lebih kurang seramai 150 orang penglibatan dari mahasiswa pelbagai universiti dengan kerjasama Malaysian Association of Youth Club dan juga daripada barisan AJK Umno Bahagian Lumut.
Program ini turut diisi dengan aktiviti-aktiviti seperti senamrobik, gotong-royong pembersihan pantai, rewang, bual bicara bersama YB Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir dan bantuan mahasiswa sempena pulang ke kampus.
Program ini bertujuan mengumpulkan para mahasiswa yang menetap di Daerah Manjung bagi menjalinkan jaringan antara pemimpin dan mahasiswa serta menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam persatuan agar dapat turut sama menyumbang bakti kepada masyarakat.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday, 30 September 2022

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT "LOVE OUR NATURE" KOLEJ POLY-TECH MARA IPOH DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

1 Oktober 2022 (Sabtu) - Bertempat di persisiran pantai peranginan Teluk Senangin telah diadakan program khidmat masyarakat pembersihan sampah-sarap persisiran pantai sebagai sumbangan sosial korporat Kolej Poly-Tech MARA Ipoh untuk kawasan peranginan awam di daerah Manjung.

Program adalah anjuran dari 22 orang pelajar Diploma Digital Marketing Kolej Poly-Tech MARA Ipoh dan 2 orang pensyarah yang berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Majlis Perbandaran Manjung yang membekalkan tong sampah armroll dan plastik sampah.
Sebanyak 135.6kg sampah kebanyakkannya terdiri daripada plastik dan tin minuman dapat dikutip di persisiran pantai pada program selama 2 jam tersebut.
Program tersebut turut disertai oleh Puan Bisyaarah Mohd Surur, Timbalan Pengarah Akademik dan Puan Maizatul Akma Mohd Amin, Pensyarah Khidmat Masyarakat Kolej Poly-Tech MARA Ipoh.
Objektif program bagi memupuk kesedaran awam supaya sentiasa menjaga kebersihan kawasan pantai agar keindahan alam sekitar terpelihara dan kesan pembuangan sampah di pantai terhadap habitat akuatik yang terdapat di sekitarnya terutama penyu dan sekaligus mendidik amalan positif awam untuk menambah baik kualiti hidup haiwan tersebut.
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kolej Poly-Tech MARA Ipoh kerana usaha dan menyokong kelestarian alam sekitar dan memperkasakan kesedaran awam dalam melestarikan alam sekitar khususnya kepada golongan pelajar generasi muda kolej kerana mereka adalah pelapis yang akan terus menjaga alam sekitar pada masa hadapan.
Semoga program jalinan kerjasama ini menjadi contoh yang baik untuk menarik lebih banyak penglibatan awam, swasta, badan bukan kerajaan, agensi kerajaan untuk menyumbang khidmat masyarakat di kawasan perbandaran Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






AKTIVITI SUKARELA "PLOGGING" PANTAI TELUK SENANGIN UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS (UTP) SUATU AMALAN MULIA

1 Oktober 2022 (Sabtu) - "Kerja-kerja yang dilakukan oleh mereka adalah suatu yang baik dan perlu dicontohi. Kerja-kerja amal ini adalah suatu yang mulia" itulah kata-kata yang keluar dari mulut salah seorang dari pengunjung pantai perkelahan Teluk Senangin merujuk kepada sekumpulan mahasiswa dan mahasiswi dari Kelab IChemE - jurusan Kejuruteraan Kimia (Chemical Engineering) Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar yang berjalan sepanjang persisiran pantai tersebut untuk mengutip sampah-sarap yang dijumpai.

Seramai 40 orang mahasiswa dan mahasiswi di bawah pimpinan Pensyarah Dr.Chia Yee Ho melaksanakan kerja-kerja amal tersebut. Sebanyak 435.9kg sampah dapat dipungut pada program selama 2 jam yang menyaksikan botol plastik, tin minuman ringan dan polisterin menjadi bahan buangan yang paling banyak dapat dipungut.
Objektif program sukarela ini adalah sebagai satu didikan dalam memupuk kesedaran kepada pengunjung pantai perkelahan untuk sama-sama menjaga kebersihan pantai dan keindahan pantai terpelihara.
Kesedaran sivik perlu dilatih dan ianya bermula daripada rumah. Apabila menjadi habit, ianya tidak akan membuang di mana-mana melainkan di tempat yang sepatutnya.

"Pantai kita tanggungjawab kita bersama"
#bawa pulang sampah anda.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday, 23 September 2022

"KOMUNITI SEPAKAT MEMBAWA BERKAT" INISIATIF PERSATUAN PENDUDUK FASA 2C DALAM PROGRAM GOTONG-ROYONG PERDANA

24 September 2022 (Sabtu) - Bertempat di padang Taman Fasa 2C, Seri Manjung telah diadakan Program Gotong-Royong Perdana melibatkan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 1 (Lumut/Seri Manjung/Pangkor) dan Unit Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, Pusat Kesihatan Sitiawan, Tenaga Nasional Berhad Cawangan Seri Manjung dan Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Penduduk Fasa 2C.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Azri Jaafar, Pegawai Khas yang mewakili YB ADUN Pulau Pangkor.
Program gotong-royong perdana melibatkan pembersihan lorong belakang, pembersihan sampah pukal bagi membanteras tempat yang menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes dan pemangkasan dahan pokok untuk keceriaan dan keselamatan di kawasan riadah awam komuniti taman perumahan tersebut.
Objektif program diadakan adalah bagi memenuhi tanggungjawab Jawatankuasa Persatuan Penduduk dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam mencapai matlamat Dasar Komuniti Negara untuk mendayakan komuniti khususnya di kawasan perumahan supaya terlibat secara aktif dalam pembangunan holistik terutama gotong-royong perdana ini bagi memenuhi kluster 2, Dasar Komuniti Negara iaitu Kebersihan, Alam Sekitar dan Kesihatan.
Inisiatif gotong-royong perdana ini diharapkan dapat memastikan komuniti setempat sentiasa menjaga kawasan sendiri dan kawasan gunasama supaya terhindar daripada menjadi kawasan pembiakan nyamuk dan bersama-sama menjadikan taman perumahan berdaya huni iaitu bersih, sihat, selamat dan aman.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Thursday, 22 September 2022

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT JIWA MURNI OLEH MARKAS PEMERINTAHAN ARMADA BARAT TLDM DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Tempat : Persisir Pantai Sg Dinding, Lumut (Persisir Pantai Dataran Maritim hingga Gate TLDM)

Objektif:
Aktiviti gotong-royong bagi memastikan kawasan persisiran pantai Lumut bersih dan cantik untuk menerima kunjungan para pelancong pada hujung minggu.
Gotong-royong dijalankan oleh para anggota Tentera Laut Diraja Malaysia dengan kehadiran seramai 27 orang termasuk 2 orang pegawai dengan kerjasama kakitangan MPM daripada Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial dan juga Jabatan Kesihatan, Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar seramai 11 orang.
Program ini selaras dengan slogan Lumut Bandar Pelancongan dan Maritim dengan adanya penglibatan secara langsung daripada anggota Tentera Laut.
Semoga program-program sebegini dapat dijalankan dengan lebih kerap di bandar Lumut supaya sentiasa berada dalam bersih dan ceria.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Wednesday, 21 September 2022

INISIATIF PIHAK SWASTA THE BODY SHOP MALAYSIA (PERAK) DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG DALAM PROGRAM "PLOGGING" PANTAI PERANGINAN TELUK SENANGIN

22 September 2022 (Khamis)- Pantai peranginan Teluk Senangin, Lumut terus menjadi lokasi tumpuan untuk program "plogging".

Pada kali ini inisiatif dari pihak swasta The Body Shop Malaysia (Perak) yang berpengkalan di Ipoh, Taiping, dan Manjung yang telah keluar seawal jam 5.00 pagi untuk hadir ke program ini.
Aktiviti tersebut telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 3, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, dan pelajar praktikal di Majlis Perbandaran Manjung.
Dengan kekuatan seramai 13 orang tenaga staf dan sokongan 12 orang anggota Majlis menyusuri sepanjang pantai tersebut dengan keringat bagi memupuk para peserta untuk mencintai kelestarian alam sekitar pesisiran pantai dengan harapan amalan seperti dalam program ini menjadi budaya dalam kehidupan para peserta dan para pengunjung pantai.
Sebanyak 75 kg sampah kebanyakkannya daripada botol plastik, pampers dan bekas polystrine dapat dikumpul di sepanjang lokasi dibawah pokok pesisiran pantai pada program sebentar tadi yang jelas menunjukkan kelemahan budaya orang kita yang suka berkelah tetapi tidak suka membawa sampah pulang bersama.
Objektif program adalah bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran masyarakat awam untuk bersama-sama menjaga kebersihan pantai kerana keindahan dan penggunaan pantai adalah milik semua dan mesti menjadi tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keindahannya untuk di wariskan kepada generasi yang akan datang.
Semoga program jalinan kerjasama seperti ini dapat dilaksanakan lebih banyak pada masa akan datang meliputi penglibatan agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Sekalung tahniah dan terima kasih kepada pengurusan The Body Shop Malaysia (Perak) yang sanggup berkorban datang seawal pagi untuk memberi khidmat masyarakat di pantai daerah Manjung.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Monday, 19 September 2022

"REZEKI YANG DIBERIKAN ALLAH DI KONGSI BERSAMA"..MAJLIS KESYUKURAN LUMUT PORT BULK BERSAMA MAAHAD TAHFIZ BAYT AL-IKHLAS TELUK MUROH, LUMUT

20 September 2022 (Selasa) - Bertempat di Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas, Teluk Muroh, Lumut sebentar tadi telah disempurnakan Majlis kesyukuran dan penyerahan dana hampir 10 juta bagi pembangunan maahad tahfiz tersebut.

"Apabila manusia meninggal dunia, maka terputuslah semua amalan kecuali 3 perkara"
1. Sedekah Jariyah
2. Ilmu yang bermanfaat
3. Anak soleh yang mendoakannya
Diatas kapasiti dan keberkatan janji Allah tersebut pihak Lumut Port Bulk mengambil kesempatan menyumbang dana semoga mendapat ganjaran pahala yang besar dan diluaskan rezeki serta dipermudahkan urusan dunia dan akhirat oleh Nya.
Majlis simbolik penyerahan dana pembangunan maahad tahfiz berupa "mock cheque" tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mubarak Ali Ghulam Rasul, Ketua Pegawai Eksekutif @ CEO Lumut Port Bulk kepada YBhg. Prof. Dato' Dr. Wan Sabri WanYusof, Pengerusi Ahli Jemaah Pengurusan Maahad Tahfiz Bayt Al-Ikhlas mewakili Yayasan Nur Ikhlas.
Dana pembangunan yang disalurkan bertujuan untuk membiayai pembangunan fizikal dan prasarana kepada 74 orang pelajar lelaki yang ada sekarang dan akan diperluaskan lagi bagi memenuhi cadangan pembinaan bangunan dan kemudahan kepada pengambilan pelajar perempuan yang akan diadakan di masa hadapan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Friday, 16 September 2022

"DERMA DARAH, KUKUHKAN PERPADUAN" SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA PERINGKAT HOSPITAL KLUSTER MANJUNG 2022

17.9.2022 (Sabtu), bertempat di Centre Court, AEON Mall Seri Manjung sedang diadakan Program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Hospital Kluster Manjung.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Shamsul Ridzuan Idris, Pegawai Daerah Manjung yang turut dihadiri oleh Dr. Nordin Nasir, Ketua Hospital Kluster Manjung, Dr.Ngo Siuk Yung, Pengarah Hospital Changkat Melintang, Dr. Hajah Sabariah Mohd Noor, Ketua Perkhidmatan Perubatan Transfusi, negeri Perak dan Dr. Norahninzu Ariffin, Ketua Jabatan Patologi, Hospital Seri Manjung.
Tema pada tahun ini ialah "Derma Darah, Kukuh Perpaduan" memberi maksud kepentingan sumbangan dan peranan pendermaan darah secara sukarela dalam menyelamatkan nyawa dan meningkatkan perpaduan dalam komuniti selaras dengan tema Hari Kebangsaan iaitu "Keluarga Malaysia Teguh Bersama".
Tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan warna kulit kempen menderma darah adalah keprihatinan sejagat untuk menyumbang dan membantu insan yang amat memerlukannya.
Tanpa sokongan daripada komuniti adalah mustahil bagi pihak Tabung Darah seluruh negara untuk menyediakan bekalan darah yang mencukupi bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat pada setiap tahun.
Objektif program bagi melahirkan komuniti daerah yang sayang kepada nyawa dan sanggup menolong antara satu sama lain tanpa sempadan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung