About

Friday, 17 July 2020

PROGRAM CERAMAH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN PEMULIHAN


Pagi tadi bertempat di Dewan Anjung Perdana Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Manjung telah berlangsung Program Ceramah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kehadiran terdiri daripada Tuan Yang DiPertua, Ahli Majlis, Setiausaha Perbandaran, Pengarah, Ketua Jabatan, Ketua Unit, kakitangan dan Ahli Jawatankuasa Masjid Daerah Nurul Hidayah.
Ceramah telah disampaikan oleh Al-Fadil Ustaz Syamsul Amri Bin Ismail atau lebih dikenali sebagai "Syamsul Debat".

Penceramah bebas dan personaliti televisyen yang terkenal dengan rancangan keagamaan dikaca televisyen dan media sosial berbicara berkenaan "Norma Kehidupan Baharu Semasa Perintah Kawalan Pergerakan" seperti yang diungkap oleh pucuk pimpinan negara, Perdana Menteri Malaysia bagi menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kawalan keatas rakyat Malaysia.

Rata-rata rakyat berharap selepas sahaja PKP ditamatkan, rakyat akan menjalani kehidupan seperti biasa. Namun untuk keselamatan rakyat PKPB dan kini PKPP telah dilaksanakan.

Walaupun rangkaian virus Covid-19 boleh dihentikan dengan PKP tetapi untuk melawan virus tersebut adalah sesuatu yang belum diketahui kerana tiada vaksin penawarnya hingga kini.

Pada majlis yang sama penceramah sempat mengambil peluang mendoakan kesejahteraan keatas Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Syamsul Hazeman Bin Md Salleh yang menyambut hari lahir pada hari ini.

Namun, Iltizam dan semangat kerja keras yang dipaparkan oleh Majlis Perbandaran Manjung sejak bermula PKP hingga kini menarik perhatian penceramah yang menjunjung tinggi pergorbanan yang telah dilakukan bagi menjamin keselamatan komuniti perbandaran.

Akhir kalam, Kun Fa Ya Kun adalah kalimat yang berbentuk perintah dan larangan. Kalimat yang menunjuk segala atas kehendakNya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Thursday, 16 July 2020

SUMBANGAN PROJEK EKSPEDISI RAKYAT TERBELA (ERAT) MPM TAHUN 2020

Sumbangan Projek Ekspedisi Rakyat Terbela (ERAT) Tahun 2020 Majlis Perbandaran Manjung diteruskan lagi pada tahun ini sepertimana tahun-tahun yang terdahulu.

Kali ini PCK Fresh Mart Sdn Bhd dan Tesco Store (M) Sdn Bhd berbesar hati dan berbangga untuk bersama Majlis Perbandaran Manjung bagi menyentuh jiwa golongan yang dikategorikan miskin bandar untuk layak menerima bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian.

Projek ERAT MPM adalah salah satu program inisiatif transfomasi komuniti bagi mewujudkan perbandaran harmoni dan penyayang dengan penglibatan badan korporat, syarikat swasta, orang perseorangan, komuniti perbandaran untuk menyalurkan sumbangan barangan keperluan untuk diagihkan kepada komuniti kategori miskin bandar dan yang berpendapatan rendah di dalam kawasan bandar dalam meningkat kualiti hidup dan mengurang beban tanggungjawab keluarga.

Penglibatan lebih banyak badan korporat swasta, syarikat, orang ramai dan juga perseorangan untuk bersama-sama menjayakan amalan bersedekah dan menderma ini amatlah dialu-alukan bagi mewujudkan perbandaran kita yang barakah, prihatin dan penyayang.

" ..Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.."

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Tuesday, 14 July 2020

PROGRAM PENYERAHAN KUNCI DEWAN KOMUNITI MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Hari ini telah berlangsung Program Penyerahan Kunci Dewan Komuniti Majlis Perbandaran Manjung kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung.

Penyerahan tersebut sebagai simbolik bagi tujuan pengagihan tanggungjawab kawal selia dan amanah kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung dan jawatankuasa penduduk yang dilantik sesuai dengan peranan Ahli Majlis sebagai penghubung antara masyarakat dan PBT.

Disamping itu juga sebagai menghargai peranan Ahli Majlis yang menyumbang kepada pelaksanaan dasar dikawasan pentadbiran yang kawal selianya dan juga merupakan penggerak utama dikalangan komuniti setempat untuk bergerak aktif dengan aktiviti kemasyarakatan.

Sebanyak 5 buah Dewan Komuniti yang terlibat pada program pagi tadi adalah Dewan Komuniti Taman Samudera, Dewan Komuniti Taman Fasa 2C, Dewan Komuniti Taman Fasa 2 Gabungan (D/E/F&G) dan Dewan Komuniti Fasa 2H/I/J.

Penyerahan kunci dewan telah disempurnakan oleh Encik Muhamad Shukri Bin Ismail, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial kepada Tuan Haji Rosli Bin Abd Rahman (Ahli Majlis Zon 9 - Dewan Komuniti Taman Samudera), Tuan Haji Hamidun Bin Ahmad (Ahli Majlis Zon 8 - Dewan Komuniti Fasa 1A & Fasa 2C) dan Tuan Haji Mohd Rafiq Bin Haji Mohd (Ahli Majlis Zon 7 - Dewan Komuniti Fasa 2 Gabungan dan Dewan Komuniti Fasa 2H/I/J).

Kesemua 5 buah Dewan Komuniti tersebut boleh digunakan, disewakan kepada komuniti setempat, jabatan kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakan aktiviti yang bermanfaat kepada komuniti hingga kepada kegunaan untuk urusan perkahwinan dan keramaian.

Untuk segala pertanyaan tentang penggunaan dewan tersebut pihak komuniti boleh berhubung terus kepada Ahli Majlis Perbandaran Manjung yang telah diamanahkan tersebut.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Sunday, 12 July 2020

PROGRAM PERASMIAN MESYUARAT AGUNG KOMUNITI FASA 2C SERI MANJUNG

Pagi ini bertempat di Dewan Komuniti Kegiatan Masyarakat Fasa 2C, Taman Fasa 2C, Seri Manjung sedang berlangsung Program Perasmian Mesyuarat Agung Komuniti Taman Fasa 2C, Seri Manjung bagi kali yang kedua.
Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Tuan Mohd Helmi Bin Arifin, Setiausaha Perbandaran Manjung yang mewakili Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung.

Didalam ucapan perasmian beliau mengalu-alukan bentuk kerjasama, hubungan baik diantara pihak Persatuan Penduduk Fasa 2C bersama Ahli Majlis Zon dan Pihak Berkuasa Tempatan yang boleh memberi kebaikan kepada Persatuan Penduduk dan seterusnya menjurus dan dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti setempat.

Turut hadir adalah Ahli Majlis Zon 8 Seri Manjung, Tuan Haji Hamidun Bin Ahmad dan Encik Issamudin Bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung.

Sebelum itu ucapan aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdullah Bin Omar, Pengerusi Persatuan Penduduk yang merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Manjung yang telah menerapkan nilai-nilai baik dan kemuafakatan dalam membentuk komuniti sejahtera.

Penubuhan Persatuan Penduduk Taman Fasa 2C diwujudkan pada tahun 2018 apabila Taman Fasa 2C didirikan sebagai kawasan penempatan komuniti yang baharu di kawasan perbandaran Manjung pada 15 Ogos 1996 dengan jumlah rumah kediaman sebanyak 259 unit.

Mesyuarat kali ini merupakan agenda Dwi Tahunan bagi pemilihan Pengerusi hingga ke Ahli Jawatankuasa yang baharu dan bagi mengatur langkah aktiviti sosial masyarakat, kebajikan di samping mengeratkan hubungan silatturrahim dan semangat ukhwah sesama komuniti setempat.

Di dalam perasmian itu beliau turut menyarankan penglibatan aktif Persatuan Komuniti didalam program-program yang dianjurkan samada melalui Persatuan, Ahli Majlis Perbandaran atau Pihak Berkuasa Tempatan dan peranan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial sebagai pemudahcara bagi membantu persatuan komuniti melaksanakan program-program selaras dengan kehendak semasa yang boleh membuahkan nilai yang baik kearah kemakmuran kepada komuniti dan Daerah Manjung amnya.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Wednesday, 8 July 2020

VENDALISME PAPAN TANDA LARANGAN MEMBERI MAKAN KEPADA KERA

Dimanakah letaknya pertimbangan akal segelintir masyarakat yang bersikap sedemikian rupa.

Pihak Majlis Perbandaran Manjung baharu sahaja menaikkan papan tanda larangan memberi makanan kepada monyet pada 25 Jun 2020 di Taman Desa Manjung 2, Lumut.

Tetapi "tangan-tangan berseni" segelintir masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran sivik telah merosakkannya. 

Kerosakan akibat perbuatan vendalisme yang tidak bertanggungjawab ini telah disedari pada 6 Julai 2020. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat dan bukti diminta tampil ke Majlis Perbandaran Manjung bagi membolehkan kami menjalankan siasatan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung



Sunday, 14 June 2020

GOTONG ROYONG KOMUNITI RUMAH PANGSA TAMAN EMAS - 14 JUN 2020

Pagi tadi bertempat di Perumahan Awam Rumah Pangsa Taman Emas, Kampung Cina, Sitiawan, telah diadakan program gotong royong pembersihan kawasan dan sampah pukal serta pembasmian tempat pembiakan nyamuk aedes.

Program anjuran Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar (Zon 2 - Sitiawan), Unit Pesuruhjaya Bangunan, Majlis Perbandaran Manjung bersama Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Emas.

Seramai 30 orang ketua keluarga komuniti rumah pangsa tersebut telah turut serta bersama kakitangan Majlis Perbandaran Manjung.

Program yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk membentuk komuniti yang kondusif melalui semangat tolong menolong, bekerjasama, mewujudkan semangat kekitaan, memberi kesedaran komuniti terhadap penjagaan kebersihan dengan mencegah kawasan pembiakan nyamuk aedes dalam membentuk komuniti yang bebas daripada wabak denggi disamping merapatkan hubungan silatturahim antara penghuni dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Semoga usaha murni yang telah terlaksana tersebut menjadi pemangkin kepada komuniti penempatan yang lain untuk mewujudkan penempatan komuniti yang bersih, sihat dan selamat didiami. 

#Manjung Bersih & Indah

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Saturday, 13 June 2020

PEMBERSIHAN BANJIR KILAT DAERAH MANJUNG 12 JUN 2020

Hari ini, Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Kejuruteraan Dan Penyelenggaraan, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung bersama pihak konsesi Puncak Emas Infra Sdn. Bhd berganding bahu bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan semua sisa-sisa sampah akibat banjir kilat sepanjang jajaran longkang yang terlibat kelmarin.

Sebanyak 550 buah rumah kediaman dan 51 buah premis perniagaan di sekitar perbandaran telah dikenal pasti terjejas akibat banjir kilat yang melanda di Pekan Sitiawan, Kampung Koh, Kampung Cina, Kampung Serdang dan juga di lokasi lain yang berhampiran.

*RINGKASAN LAPORAN PEMBERSIHAN SELEPAS BANJIR KILAT DI KAWASAN MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG*
*TARIKH : 13/06/2020 ( Sabtu )*
*MASA : 0800 - 1600HRS*


1.0. TEMPAT / JALAN :
1.1 Longkang Jalan Acheh Jaya 2
1.2 Longkang Taman Harmoni
1.3 Taman Seri Mawar
1.4 Longkang Taman Singa Baru 2
1.5 Longkang Hadapan Kastam Sitiawan.
1.6 Tepi Longkang Monsun berhadapan Pasar Lama Kg. Koh
.1.7 Batu 16 (sebelah Shell)
1.8 Hadapan Hospital Pantai dan kawasan sekitar
1.9 Taman Kok Thai
1.10 ART & MFRT Manjung
1.11 Taman Desa Bayu 2
1.12 Longkang jejantas Sekolah Rendah Seri Manjung
1.13 Outlet Taman Maju Mewah kg Koh
1.14 Taman Jasmin
1.15 Taman Wira Damai Kg Koh
*Jumlah Keseluruhan : 15 Kawasan/ Taman*

1.7 . BILANGAN ANGGOTA MPM YG TERLIBAT :
JKPB: 20 orang
UNIT LANSKAP:
PEISB : 21
*JUMLAH KESELURUHAN : 41Anggota *


Fenomena banjir kilat yang dialami kelmarin disebabkan hujan lebat yang turun secara berterusan selama lebih kurang 5 jam yang melanda Pekan Sitiawan amat luar biasa tetapi bernasib baik kerana tiada disusuli oleh angin kencang yang boleh memburukkan lagi keadaan.

Hingga kini kerja-kerja pembersihan masih giat dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Manjung di lokasi yang terlibat.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday, 31 May 2020

PERJUMPAAN EXCO PELANCONGAN NEGERI PERAK BERSAMA PENGIAT PELANCONGAN PULAU PANGKOR

Pada 31 Mei 2020 jam 10.00 pagi telah berlangsungnya Perjumpaan Exco Pelancongan Bersama Penggiat Industri Industri Pelancongan di Pulau Pangkor yang bertempat di Pangkor Village Beach Resort.

Perjumpaan tersebut dihadiri oleh YB Dato’ Nolee Ashilin binti Dato’ Mohamed Radzi selaku EXCO Pelancongan, YB Dato’ Seri Dr Zambry bin Abd Kadir selaku ADUN Pangkor, turut hadir Tuan Syamsul Hazeman bin Md. Salleh selaku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Zulhisham bin Ahmad Shukori selaku Pegawai Daerah Manjung serta Ahli Majlis Majlis Perbandaran Manjung dan pegawai-pegawai dari Pejabat EXCO Pelancongan, Tourism Perak, MPM dan juga Pejabat Daerah & Tanah Manjung.

Pelbagai permasalahan berkaitan sektor pelancongan telah dibincangkan bagi menangani situasi berikutan Pandemik Covid19 yang sedang melanda. Penduduk Pulau Pangkor yang merupakan antara yang turut terjejas dimana ekonomi utamanya adalah sektor pelancongan. 

Semoga idea, dapatan dan permasalahan yang dikongsi semasa perjumpaan tadi sedikit sebanyak dapat menghasilkan impak positif kepada sektor pelancongan khasnya di Pulau Pangkor dan daerah Manjung amnya.

Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Wednesday, 27 May 2020

TANGGUNGJAWAB KESEDARAN SIVIK AWAM TERHADAP ALAM SEKITAR

Persoalan kenapa orang awam dilarang memberi makanan kepada beruk, mawas liar atau kera? Pada pandangan umum kita, kemungkinan persoalan tersebut menampakkan kita sebagai tidak prihatin dan tidak mempunyai sifat penyayang kepada binatang. 

Namun apa yang sebenarnya tidak ketahui oleh kita adalah aktiviti memberi makanan kepada kera, beruk dan mawas liar akan mengubah kelakuan makhluk tersebut dengan bergantung kepada manusia untuk mendapatkan sumber makanan dan menghilang rasa takut haiwan liar tersebut terhadap manusia dan akan mudah menyerang manusia apabila tidak mendapat bekalan makanan daripada manusia.

Penutupan kawasan riadah dan taman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang yang baik kepada haiwan tersebut untuk kembali kepada normal semulajadi dengan mencari sumber makanan sendiri melalui sumber-sumber persekitaran semulajadi dikawasan Taman Bakau tersebut seperti lazimnya.

Namun malangnya apa yang berlaku selepas penarikan balik penutupan kawasan riadah dan taman, aktiviti pemberian makanan secara tidak wajar daripada pengunjung yang berniat baik telah merencatkan usaha tindakbalas adaptasi haiwan ini kepada alam semulajadi.

Sementalah perayaan Hari Raya Idul Fitri baru sahaja berlalu, aktiviti pemberian makanan oleh pengunjung yang mengambil peluang beriadah di taman tersebut telah “beraya” bersama haiwan tersebut dengan pelbagai makanan seperti lemang, ketupat, rendang, biskut raya, KFC dan terdapat biskut yang telah tamat tempoh telah dijadikan juadah kepada haiwan tersebut dengan mencemar kebersihan dikawasan tersebut.

Malang sekali penarikan balik penutupan kawasan riadah dan taman tidak digunakan secara berhemah oleh pengunjung untuk menghayati keindahan alam semulajadi hutan bakau, kedamaian, ketenangan, keindahan flora dan fauna serta haiwan-haiwan yang terdapat disitu.

Adalah menjadi amalan yang terpuji dan amat dihargai sekiranya pengunjung Taman Bakau Lumut ini menjaga eko-sosial haiwan yang terdapat disitu dan mempunyai kesedaran sivik yang tinggi terhadap kepentingan menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah dan mengotorkan, mencemar keindahan semulajadi persekitaran taman bakau tersebut.

Sedarlah, sumbangan kita pada hari ini akan memberi jaminan kepada generasi akan datang untuk berpeluang melihat haiwan tersebut terus kekal terdapat disitu dan peliharalah sebaik-baiknya keindahan Taman Hutan Bakau Lumut ini untuk warisan generasi yang akan datang.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung