About

Thursday, 12 March 2020

PROGRAM KEMASYARAKATAN DARIPADA KILANG CAMFIL (M) SDN BHD - 12.3.2020

Pagi ini bertempat di Pantai Peranginan Teluk Senangin, Lumut berlangsung program tanggungjawab sosial korporat membersih persisiran pantai daripada sampah sarap. 

Program inisiatif daripada Kilang Camfil (M) Sdn Bhd yang berpengkalan di Bemban, Batu Gajah yang beroperasi sebagai tred bisnes pembuatan penapis udara bagi alatan penghawa dingin berskala besar.

Seramai 70 orang pegawai dan juga kakitangan Kilang Camfil (M) Sdn Bhd menyumbang tenaga pada program pagi ini.

Objektif program adalah membersih persisiran pantai peranginan awam daripada sampah sarap yang telah dibuang oleh pengunjung pantai. 

Program pagi ini menunjukkan betapa banyak sampah telah dibuang tanpa rasa tanggungjawab sedangkan ianya sepatutnya tidak patut berlaku.

Amat menyedihkan didapati memang terlalu banyak sampah sarap terdiri daripada bahan polistrin dan botol air plastik dapat dikutip pada program hari ini walaupun saban minggu program membersih pantai telah diadakan sebelum ini.

Bahagian Kemasyarakan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Monday, 9 March 2020

GOTONG ROYONG KOMUNITI TAMAN DESA MAJU - 8.3.2020

Persatuan Penduduk dan KRT Taman Desa Maju, Sitiawan pagi ini melaksanakan program gotong royong mencantas dahan pokok yang membahayakan komuniti di kawasan padang rekreasi.

Turut serta Pasukan RELA Sitiawan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar dan pasukan skylift Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.

Objektif program adalah bagi menceriakan, menjadikan kawasan persekitaran padang rekreasi selamat untuk komuniti beriadah disamping memupuk semangat bergotong royong dan tolong menolong dikalangan penduduk taman.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






KHIDMAT SOSIAL KORPORAT HOSPITAL PANTAI MANJUNG - 7.3.2020

Hari ini bertempat di Pantai Peranginan Teluk Senangin, khidmat sosial korporat Hospital Pantai Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung sedang diadakan.

Ketua Pegawai Operasi (CEO) PHM Dr. Mohd Norfahmi Bin Mohd Sohot mengetuai program turun padang bersama 60 orang kakitangannya pada program membersih persisiran pantai daripada sampah sarap.

Inisiatif yang berobjektifkan bagi mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat dikunjungi disamping meningkat kesedaran awam terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan pantai.

Terima kasih diucapkan kepada Pihak Hospital Pantai Manjung. Tahniah.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





GOTONG ROYONG MASJID AR-RAUDHAH RPT BATU 7 LEKIR

Pagi ini bertempat di Masjid Ar-Raudhah Perkampungan Tersusun Batu 7 Lekir telah diadakan program gotong royong membersih dan menceria kawasan persekitaran masjid.

Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung dan Pasukan Bomba dan Penyelamat turut serta memberi bantuan logistik dan tenaga bersama komuniti setempat didalam merencanakan pengindahan dan kebersihan sempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan penuh barakah tidak lama lagi.

Semoga program yang murni ini dapat memupuk dan merapatkan lagi semangat persaudaraan dan ukhwah yang sedia terjalin di antara agensi kerajaan dan komuniti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung


Monday, 2 March 2020

GOTONG ROYONG KECERIAAN SMK METHODIST (ACS) SITIAWAN - 29.2.2020

Throwback pada 29 Februari 2020. Program Gotong Royong mencantas dahan pokok pelindung yang merbahayakan dan menanam pokok bunga bagi keceriaan persekitaran di SMK Methodist (ACS) Sitiawan.

Program anjuran SMK Methodist ACS Sitiawan dan PIBG turut disertai oleh pasukan pemaju perumahan terkenal di Daerah Manjung Ling Bena Developer Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar dan juga Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.

Program bagi menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk menghilangkan kegusaran pihak pentadbiran sekolah dan komuniti terhadap dahan pokok yang merbahayakan bagi mengelak ditimpa bencana sewaktu ribut dan hujan lebat. 

Bagi tujuan keceriaan persekitaran sekolah Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung turut menyumbangkan 10 pokok teduhan jenis Merawan Siput Jantan dan 100 pokok bunga jenis Alamanda.

Semoga konsep gotong royong dan penglibatan pihak korporat di Daerah Manjung untuk turut serta meneruskan komitmen bagi mempertingkatkan kesejahteraan komuniti setempat serta menjayakan program menghijaukan bumi Perak Darul Ridzuan.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung










GOTONG ROYONG SJKC KAMPUNG JERING - 29.2.2020

Throwback pada 29 Februari 2020. Program mencantas dahan pokok dan menceriakan persekitaran kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Jering, Ayer Tawar.

Ahli Majlis Zon 17 Encik Lau Cheong Loong turut serta bersama pentadbiran sekolah dan PIBG dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Dan Perkhidmatan Bandar dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.

Program adalah bagi memangkas dahan pokok yang membahayakan kepada komuniti sekolah disamping meningkatkan kebersihan dan keceriaan sekolah.

Objektif adalah bagi memupuk semangat kekitaan dalam kalangan warga sekolah, menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar sekolah dan yang paling utama konsep gotong royong yang diterapkan sejak zaman nenek moyang kita dahulu dihidupkan bagi meningkatkan kerjasama dan mengeratkan silaturahim antara warga sekolah serta masyarakat setempat.

Semoga usaha yang murni dan harapan agar para ibu bapa serta masyarakat setempat akan terus memberikan sokongan padu terhadap setiap program yang dijalankan di sekolah baik dalam bidang akademik mahupun bukan akademik.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday, 23 February 2020

PROGRAM AGROFEST 2020 DAERAH MANJUNG

Program Perak SADC Mini Agrofest 2020 anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) masih berlangsung lagi pada hari ini iaitu hari ke-2 dan penamat.

Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Tuan Haji Yahaya Bin Mat Noh selepas ucapan aluan yang telah sampaikan oleh Tuan Haji Yahanis Bin Yahya, Ketua Eksekutif PPPNP.

Daerah Manjung Bandar Pelancongan Dan Maritim yang menjadi pembuka tirai program pada tahun ini, terutama di Dataran Arena Square Taman Samudera yang menjadi tapak Agrofest 2020 terus dikunjungi dan menjadi tumpuan awam pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa untuk mendapatkan dan membeli produk-produk segar dengan harga yang murah dan berpatutan.

Program Mini Perak SADC Agrofest diadakan lagi pada tahun ini hasil daripada kejayaan yang ditempa pada tahun 2019. Program yang diadakan selama 2 hari pada setiap bulan di setiap daerah.
Usaha dan objektif yang bertujuan untuk memperkenalkan kepada syarikat-syarikat dalam dan luar Negeri Perak dan penduduk warga Negeri Perak untuk mengenali lebih dekat PPPNP dan anak syarikat sebagai badan perniagaan, perusahaan dan pembangunan pertanian di Negeri Perak.

Program Agrofest 2020 dijalankan di 11 daerah serata Negeri Perak bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti perniagaan serta produk yang dihasilkan oleh syarikat usahasama, penyewa, pemajak tanah serta para usahawan yang terdapat di bawah payung PPPNP untuk memberi ruang dan peluang kepada kumpulan sasar komuniti yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar mendapatkan hasil segar daripada ladang dengan harga yang berpatutan dan lebih murah.

Semoga inisiatif murni dan mulia yang dilaksanakan oleh PPPNP ini terus mendapat sambutan komuniti di setiap daerah hingga ke daerah penamatnya di Kinta nanti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Saturday, 22 February 2020

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT - KILANG YAMAHA Mfg (M) SDN BHD

Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu, Segari hari ini menerima kunjungan 40 orang Pegawai dan kakitangan daripada Kilang Yamaha Electronics Manufacturing (M) Sdn Bhd yang merasa bangga kerana dapat melaksanakan (CSR) program khidmat masyarakat menanam pokok merambong, membersih kawasan pantai dan 'memandikan' penyu.

Program kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu bersama Kilang Elektronik Yamaha yang berpengkalan di Ipoh.

YAMAHA Mfg. (M) Sdn. Bhd yang di wakili oleh Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Am, Raja Azhar Bin Raja Abdul Aziz dan Puan Azlina Binti Mohd Zabidi, Pegawai Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Am turut berbesar hati menyumbangkan 5 unit 'bench stone' untuk kegunaan pengunjung dan melakukan pembelian tunai 50 unit pokok merambong daripada Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Objektif utama program adalah untuk menyemai dan memupuk rasa sayang terhadap pemuliharaan alam sekitar dan hidupan marin seperti penyu yang perlu di pelihara dan di jaga daripada kepupusan agar generasi akan datang dapat mengenalinya secara nyata.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





KEJOHANAN PING PONG BERPASUKAN TERTUTUP MALAYSIA

Dewan Tertutup Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung pagi ini menjadi medan "pertempuran" Kejohanan Ping Pong Berpasukan Tertutup Malaysia 2020 bagi merebut piala Dato' Roman Yek Siew Lee.

Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Manjung dan Pertubuhan Ping Pong Perak berlangsung bermula pada hari ini dan bakal berakhir pada keesokkannya.

Majlis perasmiannya telah dilakukan oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Syamsul Hazeman Bin Md Salleh.

Sebanyak 44 pasukan berentap bagi mengintai peluang ke perlawanan akhir yang akan diadakan pada 23 Februari 2020 (Ahad) bagi membolot wang tunai kemenangan keseluruhan yang berjumlah RM13,600.00 termasuk johan yang akan membawa pulang wang tunai RM5,000.00.

Penyertaan yang mendapat sambutan diluar jangkaan menarik minat pelbagai bangsa seluruh Malaysia menjadi kayu pengukur bagi menarik minat serta kerjasama pihak yang lain bagi mempertingkatkan kualiti sukan Ping Pong tanahair sekaligus memberi nafas baru agar negara tidak ketandusan bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan.

Program ini adalah sebagai penjana kepada kualiti dan kuantiti komuniti yang berkemahiran dalam sukan Ping Pong yang bakal melahirkan atlet yang berkebolehan dan mampu bersaing.

Semoga usaha yang diketengahkan oleh Majlis Perbandaran Manjung dengan kerjasama Persatuan Ping Pong Perak menjadi penanda aras bagi melahirkan bakat baru yang boleh digilapkan kearah kecemerlangan dan menarik minat komuniti menceburi sukan Ping Pong.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM PENGEMBANGAN & "SAVE OUR SEA" JABATAN PERIKANAN NEGERI PERAK

Pagi tadi bertempat di Pantai Peranginan Teluk Senangin Program Pengembangan Dan " Save Our Sea" Jabatan Perikanan Negeri Perak & Malakoff Coperation Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung telah diadakan.

Program telah disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Daerah Manjung Tuan Zulhisham Bin Ahmad Shukori.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pertunjukan bot peronda laju milik Jabatan Perikanan Malaysia, pelepasan anak penyu ke laut lepas dan penanaman pokok kelapa oleh Pegawai Daerah dan ketua-ketua agensi, swasta dan badan bukan kerajaan. 

Selain itu aktiviti pembersihan pantai, pelepasan anak penyu, fish scooping, pameran ikan dan penyu, pertandingan mewarna dan booth pameran dan jualan produk perikanan serta uji rasa produk perikanan turut diadakan kepada awam bagi memupuk tanggungjawab awam terhadap alam sekitar iaitu aset yang perlu dijaga dan paling berharga.

Program yang memberi kesedaran dan kefahaman kepada komuniti mengenai kepentingan hidupan dan ekosistem marin bagi menerapkan rasa sayang terhadap hidupan marin seperti penyu dan sebagainya.

Penglibatan komuniti setempat dan luar diharapkan dapat membentuk jalinan kerjasama yang baik bersama agensi kerajaan dan swasta di dalam penjagaan alam sekitar dan ekosistem marin bagi memastikan generasi yang akan datang dapat mewarisi keindahan dan dapat melihat hidupan marin bebas seperti hari ini.

#kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, tetapi kita meminjamnya daripada generasi akan datang.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung