About

Sunday, 13 March 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG POLIS DI RAJA MALAYSIA BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 PROGRAM GOTONG-ROYONG POLIS DI RAJA MALAYSIA BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi tadi bertempat di Balai Polis Pekan Gurney, Sitiawan telah diadakan program gotong-royong pengindahan kawasan dengan penebangan dan mencantas pokok-pokok tua, reput dan yang merbahayakan bagi mengelak daripada ditimpa musibah lebih besar sekiranya berlaku angin kencang, ribut dan hujan lebat.
Ketua Polis Balai, Tuan Mohd Tarmizi Aziz dengan kekuatan 18 anggota Polis Balai berkolabarasi bersama 12 anggota Pasukan Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
Objektif program ini adalah bagi meningkatkan semangat kekitaan dan mewujudkan kerjasama sepakat dalam anggota Polis Di Raja Malaysia dan anggota Majlis Perbandaran Manjung kearah mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa.
Semoga jalinan kerjasama antara agensi kerajaan melalui program seumpama ini memberi ilham kepada komuniti di luar sana untuk bersama-sama menghidupkan kembali semangat kerjasama dalam komuniti.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung











Sunday, 13 February 2022

KUNJUNGAN PRIHATIN CAKNA KOMUNITI AGENSI KERAJAAN MEMBANTU MANGSA MUSIBAH KEBAKARAN

 KUNJUNGAN PRIHATIN CAKNA KOMUNITI AGENSI KERAJAAN MEMBANTU MANGSA MUSIBAH KEBAKARAN

Pagi ini bertempat di kediaman No.50, Taman Manjung Point 1, Seri Manjung telah diadakan Program Kunjungan Prihatin Cakna Komuniti Agensi Kerajaan ke kediaman komuniti yang telah ditimpa ujian musibah kebakaran.
YDH Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari selaku Orang Besar Jajahan (OBJ) Manjung mengetuai kunjungan prihatin tersebut dengan menyantuni mangsa musibah dengan penuh kasih sayang dan menzahirkan simpati ke atas ujian yang menimpa.
Turut turun padang pada program tersebut adalah YBrs. Tuan Shamsul Ridzuan bin Ideris, Pegawai Daerah Manjung, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung, Cik Nurul Nabilah binti Ramli, Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Manjung dan Encik Sabdin bin Idris, Penghulu Mukim Lumut.
Di program yang sama turut diadakan majlis ringkas penyerahan sumbangan dari ketua-ketua agensi bagi meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu tunggal tersebut.
Semoga kunjungan cakna komuniti ini terus memperkukuhkan konsep hubungan mesra agensi kerajaan kearah membentuk generasi komuniti daerah Manjung yang prihatin, sayang menyayangi dan bermuafakat.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul"
#Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









Sunday, 6 February 2022

PROGRAM "CAR FREE DAY" MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG DAN PROGRAM RTM RADIO DI LOKASI (RDL) PERAKfm SIRI 1/2022

 PROGRAM "CAR FREE DAY" MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG DAN PROGRAM RTM RADIO DI LOKASI (RDL) PERAKfm SIRI 1/2022

Program separuh hari yang bermula dengan kesihatan jasmani di Dataran Teluk Batik, Lumut dan diakhiri dengan pengisian santapan rohani di Masjid Salahuddin, Taman Desa Bayu telah dilangsungkan dengan jayanya oleh RTM Perakfm dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung telah mendapat sambutan menggalakkan daripada warga Manjung.
Pengisian program yang bermanfaat untuk kebaikan pembangunan komuniti di daerah Manjung melalui pengembelingan tenaga menerusi penglibatan senaman zumba untuk wanita dan lelaki, pertandingan mewarna dan Adikku Sayang untuk kanak-kanak, kempen kebersihan alam sekitar membersih pantai peranginan Teluk Batik oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), kayuhan santai oleh 50 ahli Kelab Berbasikal Manjung (KBM) dan juga pembukaan kaunter bayaran bergerak dan kaunter MyManjung Majlis Perbandaran Manjung bagi memberi kemudahan kepada warga Manjung menyemak, melakukan transaksi bayaran dan sebagainya.
Turut diadakan adalah slot temubual khas industri pelancongan Majlis Perbandaran Manjung oleh RTM RDL Perakfm dan Xpresi muzik melalui Bob Sentuhan yang menghiburkan pengunjung pantai yang mengambil kesempatan beristirehat bersama keluarga di hujung minggu.
Slot petang pula di isi dengan lawatan ke Taman Paya Bakau Bandar, Lumut bagi melihat flora dan fauna dengan alam semulajadi serta Program Cakna Komuniti menerusi pengisian kemasyarakatan melalui kunjungan prihatin ke kediaman komuniti melalui penyerahan kotak makanan Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung dan daripada ADABI Sdn.Bhd yang telah dilakukan secara bergilir-gilir oleh Puan Noorhafizul Sarah Thahil, Timbalan Pengarah Penyiaran Negeri Perak, Ketua Bahagian Rancangan, Ketua Penerbitan, penaja, pengacara radio dan Pegawai Majlis Perbandaran Manjung.
Program penutup diakhiri dengan solat Ansar berjemaah dan program Tausiyyah bersama Pencetus Ummah @ PU Yeob yang di hadiri oleh komuniti setempat bagi memupuk budaya mencari ilmu dan usaha penerapan nilai-nilai islam agar terus ditingkatkan dengan teratur dan sempurna.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Friday, 28 January 2022

KOTAK MAKANAN PROJEK ERAT MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG SANTUNI DAN SAYANGI WARGA EMAS SEMPENA TAHUN BARU CINA 2022

 KOTAK MAKANAN PROJEK ERAT MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG SANTUNI DAN SAYANGI WARGA EMAS SEMPENA TAHUN BARU CINA 2022

Sumbangan Kotak Makanan Projek ERAT kepada komuniti bertujuan menyantuni masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun 2021 dalam usaha mendekatkan pihak PBT MPM bersama komuniti setempat sekaligus meringankan beban dan seterusnya membantu persediaan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 1 Feb ini.
Sumbangan Kotak makanan ini merupakan program tahunan anjuran MPM sebagai langkah mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan sebahagian daripada usaha PBT MPM untuk memupuk semangat muhibah dan mengukuhkan perpaduan antara kaum tanpa mengira agama, bangsa dan budaya serta progresif dalam meninjau kesusahan rakyat.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Monday, 24 January 2022

MAJLIS SAMBUTAN “SKS AIRWAYS INAUGURAL FLIGHT SUBANG – PANGKOR”

 MAJLIS SAMBUTAN “SKS AIRWAYS INAUGURAL FLIGHT SUBANG – PANGKOR”

Pada hari ini, SKS Airways, syarikat penerbangan komersial terbaru di Malaysia telah membuat penerbangan pertamanya KI 6357 yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada jam 1.15 tengah hari ini ke Pulau Pangkor. Seterusnya, Pengarah SKS Airways Sdn Bhd Datuk Rohman Ahmad menyatakan penerbangan sulung ini amat bermakna kerana ia merupakan permulaannya sebagai Syarikat Penerbangan Komersial. SKS Airways menawarkan penerbangan yang akan memudahkan para pelancong untuk datang ke Pulau Pangkor mulai 26 Januari 2022.
Majlis Sambutan telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Saarani Bin Mohamad, Menteri Besar Perak yang turut dihadiri oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Chairman of Malaysia Airports Holdings Sdn Bhd (MAHB), Tuan Syamsul Hazeman Bin MD Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, YB Datuk Mohd Zolkafly Harun, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur,Tenaga,Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid, Ketua Polis Perak, YDH Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. ( B ) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, Encik Shamsul Ridzuan Bin Idris, Pegawai Daerah Manjung, YBhg. Dato’ Rohman Ahmad, Pengarah SKS Airways Sdn Bhd, Encik Issamudin bin Ibrahim, Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung, Puan Laila Mazwin Binti Zakaria, Pengarah Secretariat Pulau Bebas Cukai Pangkor, Haji Asmadi Bin Teh, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 1, Haji Mohd Rafiq Bin Haji Mohd, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 7, Tuan Haji Ahmad Zamhuri Mahmud, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 12 dan Puan Norhaslinda Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 5.
Dengan adanya penerbangan ini pelancong tidak perlu lagi mengalami masalah kesesakan lalu lintas dan perjalanan yang memakan masa berjam-jam lamanya. Marilah beramai-ramai datang ke Pulau Pangkor, pulau bebas cukai sambil menikmati keindahan Pulau Pangkor secara langsung dari atas kapal terbang.
Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung













Saturday, 22 January 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG PEMBERSIHAN SAMPAH PUKAL DAN KECERIAAN KOMUNITI TAMAN DESA MAJU, SITIAWAN

 PROGRAM GOTONG-ROYONG PEMBERSIHAN SAMPAH PUKAL DAN KECERIAAN KOMUNITI TAMAN DESA MAJU, SITIAWAN

Bertempat di Taman Desa Maju, Sitiawan telah diadakan program gotong-royong pembersihan sampah pukal dan pembersihan am kawasan penempatan komuniti.
Encik Hamdan bin Mohamed, Ahli Majlis @ area officer Zon 10 (Sitiawan) turut hadir turun padang bersama Puan Fatimah binti Arsad, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Desa Maju dan 30 orang komuniti setempat untuk berkolaborasi bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Zon 2 (Sitiawan) Majlis Perbandaran Manjung.
Program gotong-royong yang bermatlamat dan berfokus kepada pembasmian sampah pukal yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang boleh merebak penularan wabak demam denggi di kawasan penempatan komuniti jika tidak diatasi dengan segera.
Pihak Majlis akan terus menyokong sebarang usaha komuniti termasuk kempen program gotong-royong bagi mengindahkan alam sekitar selain mencegah penularan wabak demam denggi selain mengeratkan hubungan Pihak Berkuasa Tempatan dengan komuniti perbandaran.
"perbandaran bersih, komuniti sihat"
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Wednesday, 19 January 2022

MESYUARAT JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 12 (SITIAWAN)

 MESYUARAT JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 12 (SITIAWAN)

Sebentar tadi bertempat di Dewan Orang Ramai Taman Berpadu, Sitiawan telah dilangsungkan Program Mesyuarat Kali Pertama dan Penubuhan Jawatankuasa Penduduk Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 12 (Sitiawan) di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad Zamhuri Mahmud, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung.
Program penerangan dilaksanakan oleh Puan Zulaila Fitri Mohd Yusop, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial yang turut dihadiri oleh Puan Norhaslinda Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 5 dan Dr. Yusof Al Bakri Mohd Ismail, Pengerusi KRT Taman Berpadu / Taman Sejati dan ketua-ketua masyarakat taman perumahan yang terdapat di zon 12.
Zon Jawatankuasa Penduduk Zon 12 meliputi ini kawasan bermula Taman Berpadu mengunjur hingga ke Taman Serdang meliputi 36 taman perumahan dan 10 buah pejabat-pejabat kerajaan seperti Mahkamah Sitiawan, Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Kesihatan Daerah dan lain-lainnya.
Objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah sebagai jambatan penghubung dua hala di antara pihak komuniti setempat bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berkesan dan memudahkan komuniti untuk menyampaikan aduan berkaitan komuniti terus kepada Ahli Majlis yang dilantik di sesebuah zon.
Selain itu penubuhan Jawatankuasa Penduduk ini sebagai memenuhi peranan Ahli Majlis yang diperluas secara holistik dengan penekanan kepada pembangunan komuniti sejajar dengan langkah kerajaan yang memperluaskan skop Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang merangkumi pembangunan komuniti.
Semoga tertubuh jawatankuasa ini melalui inisiatif Majlis Perbandaran Manjung dapat memperkasa hubungan komuniti perbandaran dalam semua aspek dan wardah
terbaik
mendekati masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"...bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat..."
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday, 16 January 2022

KAYUHAN KOMUNITI KETUA POLIS PERAK

 KAYUHAN KOMUNITI KETUA POLIS PERAK

Pada hari ini, CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid, Ketua Polis Perak telah mengadakan kayuhan komuniti pada jam 9.00 pagi di Pulau Pangkor bersama masyarakat.
Kayuhan ini turut disertai oleh YDH Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. ( B ) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Adun Pangkor, Haji Asmadi Bin Teh, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 1 (Pangkor) dan Haji Mohd Rafiq Bin Haji Mohd, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 7 (Seri Manjung).
Program High Profile Policing PDRM Perak dan Kayuhan Komuiti Bersama masyarakat Pulau Pangkor pada hari ini adalah hasil usaha sama di antara PDRM Perak Bersama pihak masyarakat dalam membanteras jenayah dengan lebih efektif serta melahirkan kefahaman, kepercayaaan dan tanggungjawab dua hala antara polis dan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah di komuniti tempatan.
Tambahan pula, Pulau Pangkor ini merupakan salah satu destinasi percutian popular yang sering dilawati oleh orang awam.
Keselamatan yang meningkat di sekitar Kawasan ini secara tidak langsung akan memberikan pulangan keuntungan kepada pengusaha-pengusaha dan masyarakat di Kawasan sekitar. Pihak PDRM dapat berinteraksi bersama peniaga dan orang ramai di sekitar Kawasan Pulau Pangkor yang dilalui sepanjang program ini berlangsung.
Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Saturday, 8 January 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG TANAMAN POKOK KECERIAAN PEKAN GURNEY

Pekan Gurney adalah sebuah pekan kecil yang terletak di Mukim Sitiawan. Pekan ini dinamakan sempena nama seorang pegawai tinggi British iaitu Sir Henry Gurney pada zaman darurat 1948-1960 yang terkorban dalam serang hendap pengganas komunis di Bukit Fraser.
 
Pagi ini bertempat di kawasan lapang (asalnya terdapat pondok pengawal keselamatan komuniti kampung zaman darurat) Team Keceriaan Bandar, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung berkolaborasi bersama Encik Hoo Yu Chong, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Encik Ding Siew Chee, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 14 (Sitiawan) dan komuniti Kawasan Rukun Tertangga (KRT) bergotong-royong menanam pokok-pokok renek / bunga untuk keceriaan di pintu masuk ke Pekan Gurney.
 
Unit Landskap telah berbesar hati menyumbang 4 jenis pokok renek terdiri daripada 50 pokok Ficus Gold, 30 pokok Mengkudu Siam, 30 pokok Teh Merah @ Loropetalum dan 20 pokok Pandan Kuning di lokasi yang telah menempatkan hiasan tayar dan barangan kitar semula direka oleh komuniti setempat.
 
Objektif program adalah bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan komuniti seperti bergotong-royong, bekerjasama, tolong-menolong dalam dan mencintai persekitaran penempatan yang ceria serta menghargai sejarah silam untuk kenangan generasi muda.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.