About

Wednesday, 19 January 2022

MESYUARAT JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 12 (SITIAWAN)

 MESYUARAT JAWATANKUASA PENDUDUK AHLI MAJLIS, MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG ZON 12 (SITIAWAN)

Sebentar tadi bertempat di Dewan Orang Ramai Taman Berpadu, Sitiawan telah dilangsungkan Program Mesyuarat Kali Pertama dan Penubuhan Jawatankuasa Penduduk Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 12 (Sitiawan) di bawah pimpinan Tuan Haji Ahmad Zamhuri Mahmud, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung.
Program penerangan dilaksanakan oleh Puan Zulaila Fitri Mohd Yusop, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial yang turut dihadiri oleh Puan Norhaslinda Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 5 dan Dr. Yusof Al Bakri Mohd Ismail, Pengerusi KRT Taman Berpadu / Taman Sejati dan ketua-ketua masyarakat taman perumahan yang terdapat di zon 12.
Zon Jawatankuasa Penduduk Zon 12 meliputi ini kawasan bermula Taman Berpadu mengunjur hingga ke Taman Serdang meliputi 36 taman perumahan dan 10 buah pejabat-pejabat kerajaan seperti Mahkamah Sitiawan, Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Kesihatan Daerah dan lain-lainnya.
Objektif penubuhan jawatankuasa ini adalah sebagai jambatan penghubung dua hala di antara pihak komuniti setempat bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi, berkesan dan memudahkan komuniti untuk menyampaikan aduan berkaitan komuniti terus kepada Ahli Majlis yang dilantik di sesebuah zon.
Selain itu penubuhan Jawatankuasa Penduduk ini sebagai memenuhi peranan Ahli Majlis yang diperluas secara holistik dengan penekanan kepada pembangunan komuniti sejajar dengan langkah kerajaan yang memperluaskan skop Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang merangkumi pembangunan komuniti.
Semoga tertubuh jawatankuasa ini melalui inisiatif Majlis Perbandaran Manjung dapat memperkasa hubungan komuniti perbandaran dalam semua aspek dan wardah
terbaik
mendekati masyarakat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"...bulat air kerana pembetong, bulat manusia kerana muafakat..."
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Sunday, 16 January 2022

KAYUHAN KOMUNITI KETUA POLIS PERAK

 KAYUHAN KOMUNITI KETUA POLIS PERAK

Pada hari ini, CP Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid, Ketua Polis Perak telah mengadakan kayuhan komuniti pada jam 9.00 pagi di Pulau Pangkor bersama masyarakat.
Kayuhan ini turut disertai oleh YDH Toh Seri Bijaya, Lt. Kol. ( B ) Dato’ Shaharudin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Bin Abdul Kadir, Adun Pangkor, Haji Asmadi Bin Teh, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 1 (Pangkor) dan Haji Mohd Rafiq Bin Haji Mohd, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 7 (Seri Manjung).
Program High Profile Policing PDRM Perak dan Kayuhan Komuiti Bersama masyarakat Pulau Pangkor pada hari ini adalah hasil usaha sama di antara PDRM Perak Bersama pihak masyarakat dalam membanteras jenayah dengan lebih efektif serta melahirkan kefahaman, kepercayaaan dan tanggungjawab dua hala antara polis dan masyarakat dalam usaha pencegahan jenayah di komuniti tempatan.
Tambahan pula, Pulau Pangkor ini merupakan salah satu destinasi percutian popular yang sering dilawati oleh orang awam.
Keselamatan yang meningkat di sekitar Kawasan ini secara tidak langsung akan memberikan pulangan keuntungan kepada pengusaha-pengusaha dan masyarakat di Kawasan sekitar. Pihak PDRM dapat berinteraksi bersama peniaga dan orang ramai di sekitar Kawasan Pulau Pangkor yang dilalui sepanjang program ini berlangsung.
Bahagian Pelancongan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








Saturday, 8 January 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG TANAMAN POKOK KECERIAAN PEKAN GURNEY

Pekan Gurney adalah sebuah pekan kecil yang terletak di Mukim Sitiawan. Pekan ini dinamakan sempena nama seorang pegawai tinggi British iaitu Sir Henry Gurney pada zaman darurat 1948-1960 yang terkorban dalam serang hendap pengganas komunis di Bukit Fraser.
 
Pagi ini bertempat di kawasan lapang (asalnya terdapat pondok pengawal keselamatan komuniti kampung zaman darurat) Team Keceriaan Bandar, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung berkolaborasi bersama Encik Hoo Yu Chong, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Encik Ding Siew Chee, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung zon 14 (Sitiawan) dan komuniti Kawasan Rukun Tertangga (KRT) bergotong-royong menanam pokok-pokok renek / bunga untuk keceriaan di pintu masuk ke Pekan Gurney.
 
Unit Landskap telah berbesar hati menyumbang 4 jenis pokok renek terdiri daripada 50 pokok Ficus Gold, 30 pokok Mengkudu Siam, 30 pokok Teh Merah @ Loropetalum dan 20 pokok Pandan Kuning di lokasi yang telah menempatkan hiasan tayar dan barangan kitar semula direka oleh komuniti setempat.
 
Objektif program adalah bagi memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan komuniti seperti bergotong-royong, bekerjasama, tolong-menolong dalam dan mencintai persekitaran penempatan yang ceria serta menghargai sejarah silam untuk kenangan generasi muda.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.
 





 

Saturday, 18 December 2021

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

 

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

Bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Penghijauan Manjung selaras dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 lalu hingga menjelang 2025.
 
Program anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersama J&T Express, UNIkl Mimet dan Kolej Komuniti Seri Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Malaysia.
 
Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 21 pokok teduhan daripada pelbagai jenis dan 60 pokok persisir pantai jenis merambong sumber makanan habitat merin seperti penyu dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan membekalkan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah.
 
Seberat 317 kg sampah sarap telah dapat dikutip di sepanjang persisiran pantai pada program gotong-royong tersebut dengan penglibatan penuh anggota agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam yang turut serta.
 
Antara pengisian lain yang diadakan adalah pembersihan pantai pendaratan penyu daripada sampah sarap, penanaman pokok persisiran pantai, taklimat konservasi penyu dan aktiviti pelepasan anak penyu yang telah matang ke laut lepas.
 
Semoga program kelestarian sumber dan alam sekitar memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri yang komited untuk menjadi peneraju kepada mempromosikan agenda "Perak Bumi Lestari" yang memerlukan komitmen berterusan dari agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam untuk bersama-sama berganding bahu mencapai matlamat tersebut.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

 

Tuesday, 14 December 2021

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

1) Bertempat di Dewan Mesyuarat Chung Hwa, Kampung Koh, Sitiawan pada 5 Disember 2021 Tuan Dr. Chieng Lee Chong, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 16 (Sitiawan).
 
2) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Tualang, Beruas pada 14 Disember 2021 Tuan Mejar (KM) Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 20 (Beruas) dan
 
3) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung pada 15 Disember 2021 Cik Sabariah binti Haji Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 6 (Seri Manjung).
 
telah berjaya menubuhkan Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon masing-masing dengan mengadakan mesyuarat kali pertama dengan penyertaan barisan ahli jawatankuasa yang terdiri pemimpin masyarakat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pengerusi Persatuan Penduduk, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dan ketua-ketua masyarakat yang berhubung rapat dengan komuniti.
 
Objektif penubuhan Jawatankuasa Penduduk adalah selaras dengan tanggungjawab Ahli Majlis yang seumpama ADUN di kawasan DUN yang mempunyai penduduk dibawah kawasan jajahan zon mereka yakni sebagai ikon tenaga penggerak masyarakat bagi mewujudkan platform kerjasama bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyampaikan maklumat atau penerangan keatas sesuatu isu yang ada.
 
Selain daripada itu Jawatankuasa Penduduk juga berperanan sebagai satu inisiatif dalam menggalakkan penyertaan warga perbandaran dalam program outreach di kawasan perbandaran.
 
Program perasmian dan sesi taklimat berkaitan penubuhan Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Manjung telah disampaikan oleh Encik Issamudin bin Ibrahim, Pegawai Tadbir @ Ketua Jabatan dan juga Encik Muhamad Shukri, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial.
 
Semoga penubuhan jawatankuasa ini membantu komuniti setempat mendapat maklumat tepat dan menjadi tempat rujukan komuniti berkenaan pelbagai isu perkhidmatan dan perbandaran Pihak Berkuasa Tempatan dalam memperkasakan hubungan komuniti perbandaran melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.
 






 

Friday, 10 December 2021

PROGRAM JIWA MURNI BERSEPADU KD PELANDOK TLDM BERSAMA AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA MEMURNIKAN PERSEKITARAN
 

Sungai Lumut Kanan, Lumut terutama di Taman Desa Bayu dan Desa Manjung Raya menjadi medan "pertempuran" program gotong-royong Jiwa Murni Bersepadu antara pihak KD Pelandok bersama agensi Majlis Perbandaran Manjung, Jabatan Pengairan dan Saliran Manjung yang turut disertai oleh kedua rakan niaga agensi melalui Puncak Emas Infra Sdn.Bhd dan Empayar Indera Sdn. Bhd serta komuniti setempat.
 
Sesuai dengan sebutan Jiwa Murni, program yang dilangsungkan adalah bagi memurnikan kawasan yang telah dikenal pasti tercemar oleh sampah sarap daripada bahan buangan komuniti yang terdapat di sepanjang jajaran sungai tersebut.
 
Sebelum itu Kepten Mahadzir bin Mohktar, Pegawai Memerintah KD Pelandok telah merasmikan program tersebut yang turut disertai oleh Komander Ir.TS Ng Keng Lip, Ketua Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok, Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Suhaimi bin Mat, Penolong Jurutera, Jabatan Pengairan dan Saliran, Encik Zakwan Fikri bin Mohd Hasnan, Jurutera Puncak Emas Infra Sdn. Bhd, Encik Shahril Yusnizan bin Mat Zulkifli, Pengurus Seksyen Empayar Indera Sdn.Bhd dan Lt.Ir. Amirul Faiz bin Kamaruddin, Pegawai Bengkel Srimala KD Pelandok selaku penyelaras program.
 
Objektif program adalah bagi membersihkan aliran sungai daripada sampah-sarap yang tersekat yang berpontensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.
 
Agenda paling utama adalah program yang dapat mewujudkan hubungan erat silaturahim antara warga TLDM bersama agensi dan swasta serta komuniti melalui kerja amal ke arah menyumbang pencapaian sasaran pimpinan dengan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Saturday, 13 November 2021

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.

PROGRAM PLASTIK SEKALI GUNA KEMPEN KESEDARAN INSENTIF HIJAU PENGINDAHAN LORONG BELAKANG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG.
 
Sebentar tadi telah dilaksanakan Majlis Perasmian dan Pelancaran Program Plastik Sekali Guna Kempen Insentif Hijau bagi pengindahan lorong belakang di kawasan penempatan komuniti di Taman Fasa 2i, Seri Manjung dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan dan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Kempen insentif hijau melalui penanaman sayuran di halaman belakang masing-masing menepati aspirasi kerajaan negeri Perak sempena Program Bumi Hijau Negeri Perak Darul Ridzuan 2020 bagi meningkat kesedaran awam terhadap alam sekitar.
Perubahan paradigma masyarakat amatlah digalakkan untuk mengubah landskap lorong belakang yang tidak menarik, kotor dan tidak selamat sebelum ini kepada persekitaran yang lebih menarik, ceria, sihat dan menyegarkan. 
 
Tambahan pula lorong belakang dihijaukan dengan tanaman sayuran dan herba yang dapat menjimatkan kos perbelanjaan dapur dan kos sara hidup komuniti.
Majlis perasmian dan pelancarannya telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Rafiq bin Haji Mohd, Ahli Majlis @ area officer zon 7 (Seri Manjung).
 
Turut hadir adalah Tuan Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis zon 8, Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis zon 18, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Ruzaimi bin Abu, Pengerusi Persatuan Komuniti Harmoni Taman Fasa 2i, Tuan Haji Shafuddin bin Mohktar, Pengerusi KRT zon 6, Ahli Jawatankuasa persatuan dan komuniti setempat.
 
Pada program yang sama turut didedahkan teknik membuat baja kompos kepada surirumah komuniti setempat daripada bahan buangan sisa makanan kepada baja secara tidak langsung mengurangkan sisa sampah domestik komuniti kepada baja.
Turut diadakan adalah taklimat dan kempen menghindari penggunaan plastik sekali guna dengan menggalakkan penggunaan beg yang boleh digunakan berulang kali seperti woven bag, penggunaan botol air sendiri, hidangan air dalam jug atau dispenser atau penggunaan gelas kaca.
 
Sewajarnya komuniti memberi komitmen dan kerjasama utuh bagi menjayakan program pengindahan lorong belakang, mengurangkan penggunaan plastik sekali guna bagi menepati objektif yang mampu mempamerkan hasil yang baik untuk dijadikan ikutan dan amalan masyarakat walapun memerlukan masa yang panjang untuk melihat hasilnya.
 
"...bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat..."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung




 

Friday, 12 November 2021

PROGRAM GOTONG-ROYONG PIBG DAN SK SUNGAI WANGI DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

PROGRAM GOTONG-ROYONG SK SUNGAI WANGI DAN PERSATUAN IBU BAPA GURU DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG 
 

Pagi tadi bertempat di Sekolah Kebangsaan Seri Wangi, Ayer Tawar telah diadakan program gotong-royong memangkas dan menebang pokok yang merbahayakan komuniti sekolah.
 
Program adalah anjuran pihak sekolah bersama Persatuan Ibubapa Guru telah dibantu dengan kerjasama pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif program yang diadakan adalah bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif serta identiti sekolah yang indah, ceria dan selamat.
 
Begitu juga dengan semangat gotong-royong yang dipamirkan oleh ibubapa dan guru bersama Pihak Berkuasa Tempatan di sepanjang program yang berlangsung selama 5 jam jelas memupuk semangat kekitaan dikalangan warga sekolah disamping menanam komitmen dan keprihatinan pihak sekolah dan persatuan terhadap kebersihan, keceriaan dan keselamatan anak-anak mereka yang menimba ilmu di sekolah tersebut.
 
Walaupun tugasan tersebut bukanlah menjadi tanggungjawab hakiki sebagai Pihak Berkuasa Tempatan namun Majlis Perbandaran Manjung sedia membantu dan menyokong penuh aktiviti -aktiviti berbentuk gotong-royong yang diadakan di kawasan perbandaran bagi mewujudkan iklim perbandaran yang sihat, bersih, ceria dan selamat disamping menyemai hubungan mesra diantara komuniti dan Pihak Berkuasa Tempatan yang menjurus kepada perpaduan antara agensi dan masyarakat.
 
#muafakat dan sejahtera
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 




Wednesday, 10 November 2021

PROGRAM JIWA MURNI TLDM BERSAMA AGENSI DAN NGO MENDEKATKAN TLDM DENGAN ALAM DAN MASYARAKAT

PROGRAM JIWA MURNI TLDM BERSAMA AGENSI DAN NGO MENDEKATKAN TLDM DENGAN ALAM DAN MASYARAKAT




10 November 2021- Bertempat di Pantai Peranginan Pasir Panjang, Segari yang menempatkan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Jabatan Perikanan telah berlangsung Program Jiwa Murni Markas Logistik Barat, Pangkalan TLDM Lumut bersama Majlis Perbandaran Manjung, Jabatan Perikanan dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa).
 
Markas Logistik Barat dibawah pimpinan Lt Kdr Ernie Erdawaty Muhamad dengan kekuatan 40 anggota disantuni oleh Encik Ramzi bin Bakar, Ahli Majlis @ "area officer" Majlis Perbandaran Manjung Zon 24 (Segari), Encik Muhamad Azlan Zul Hasnan, Pegawai Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dan daripada KUASA oleh Encik Nor Ismady Ahmad Radzuan telah membantu anggota peserta Jiwa Murni TLDM melaksanakan aktiviti gotong-royong menanam 40 anak pokok merambong yang disumbang oleh Unit Landskap dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung membantu dengan penyediaan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah pada pembersihan kawasan pantai daripada sampah sarap dan aktiviti membersihkan kolam dan memandikan penyu di kelolakan oleh Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.
 
Pihak KUASA yang membantu peserta dalam aktiviti gotong-royong membersih pantai daripada barangan plastik terbuang mencatat kutipan seberat 183.1kg. Amat mendukacitakan kerana terlalu banyak sampah sarap terdiri daripada botol minuman plastik, kaca, bekas-bekas makanan dari polystyrene dibuang secara meluas mencacatkan pemandangan peserta mengancam kesihatan, alam sekitar dan hidupan marin seperti penyu.
 
Semoga pendekatan "Bawa Pulang Sampah Anda" yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung di kawasan pelancongan di daerah Manjung dapat diamalkan dan dihayati untuk mewujudkan persekitaran pantai yang bersih, ceria dan selamat dikunjungi untuk kebaikan bersama.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung

Saturday, 30 October 2021

PROGRAM SEPAKAT@KOMUNITI JABATAN PENERANGAN BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT DAERAH MANJUNG

PROGRAM SEPAKAT@KOMUNITI JABATAN PENERANGAN BERSAMA PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT DAERAH MANJUNG
 

Hari ini bertempat di perkarangan Pejabat Penerangan daerah Manjung telah berlangsung Program Sepakat@Komuniti daerah Manjung bagi memperkasakan usaha melawan COVID-19 dan usaha mencapai imuniti kelompok negara bagi mengurangkan impak penularan.
 
Program adalah dibawah anjuran Pejabat Penerangan daerah Manjung telah dirasmikan perasmian oleh Puan Noor Idayu binti Yeop Husin yang mewakili bagi pihak Tuan Haji Mohd Taip bin Haji Ubah, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak.
 
Dif-dif terhormat yang turut hadir adalah Tuan Shamsul Ridzuan bin Idris, Pegawai Daerah Manjung, Puan Hajah Sarinah binti Haji Ahmad, Pegawai Penerangan Daerah, Encik Muhammad Zahir Shah bin Md Isa, Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara daerah Manjung (MKN) dan Encik Noor Hisyam bin Hasim, Penolong Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung.
 
Turut hadir adalah pemimpin-pemimpin masyarakat dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Sitiawan.
 
Program penerangan dan taklimat berkaitan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Tatacara Penggunaan Kit Ujian Kendiri COVID-19 serta aplikasi My Sejahtera yang disampaikan dengan jelas dan berhemah turut mendapat sambutan yang baik daripada hadirin dengan sesi soal jawab yang berjaya merungkai pemasalahan yang menyelubungi komuniti berkaitan isu semasa negara berkenaan COVID-19.
 
Sebelum itu majlis turut diserikan dengan pelancaran "Mural Keluarga Malaysia" oleh dif-dif terhormat.
 
Adalah diharapkan ilmu dan maklumat yang yang diperolehi daripada penerangan dan taklimat tersebut dipanjangkan kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat terhadap dasar, program dan inisiatif kerajaan disamping membina komuniti yang berilmu, terhubung dan bersatu padu.
 
#Kita Jaga Kita
#Kita Mesti Menang
#Kita Keluarga Malaysia
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung