About

Friday, 23 April 2021

INISIATIF PEMBASMIAN KAWASAN "HOTSPOT" SAMPAH HARAM DI KAWASAN TANAH LAPANG MILIK MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

INISIATIF PEMBASMIAN KAWASAN "HOTSPOT" SAMPAH HARAM DI KAWASAN TANAH LAPANG MILIK MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi ini bertempat di kawasan tanah lapang milik Majlis Perbandaran Manjung yang terletak di belakang Pejabat Daerah Dan Tanah Manjung sedang berlangsung program pembersihan dan pembasmian lokasi "hotspot" pembuangan sampah haram dan binaan bangunan sementara yang terbiar bersemak samun telah menjadi sarang aktiviti tidak sihat.
 
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran Zon 1 (Seri Manjung) berganding bahu bersama Unit Penyelenggaraan Pokok Teduhan Landskap Majlis Perbandaran Manjung bagi membendung aktiviti-aktiviti yang tidak bertanggungjawab di kawasan tersebut daripada terus berleluasa.
 
Kepincangan akan berlaku sekiranya tidak diambil tindakan awalan yang akan menjerumuskan lokasi tersebut menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi, pencemaran bau yang memualkan, binaan haram yang dibina tanpa sedar dan akan menjadi lokasi pembuangan sampah pukal haram.
 
Kawasan tersebut telah dibuat pembersihan dan pemantauan penguatkuasaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan sebelum ini tetapi berulang lagi menjadi lokasi pembuangan sampah haram dimana papan tanda amaran yang telah didirikan sebelum ini di lokasi tersebut telah di buang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
 
Komuniti daerah Manjung yang mempunyai maklumat berkenaan pembuangan sampah haram diseru untuk melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan bagi membanteras aktiviti ini dan membawa pesalah ke muka pengadilan sebagai satu pengajaran. 
 
"..Sebatang lidi senang dipatahkan tapi jika menjadi seberkas lidi akan sukar dipatahkan.."
 
Ini adalah semangat bersatu padu yang perlu ada dalam setiap diri komuniti di daerah Manjung bagi membanteras isu pembuangan sampah haram yang bagaikan tiada kesudahan dan seolah-olah menjadi kebiasaan dalam kalangan segelintir komuniti setempat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN MAKANAN - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN

 

PROGRAM PENGAGIHAN KOTAK BANTUAN (PERMAI) - PRIHATIN RAKYAT PRINSIP UTAMA KERAJAAN, PRIHATIN KOMUNITI KETUA MASYARAKAT PENUHI TANGGUNGJAWAB.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) adalah salah satu inisiatif kerajaan membantu kelangsungan hidup rakyat yang terhimpit berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.
 
Pakej rangsangan ini adalah salah satu daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.
 
Golongan sasar utama adalah penerima bantuan bulanan sedia ada di bawah senarai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan komuniti yang mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada pendapatan atau upah harian. 
 
Pengagihan kotak makanan yang disalurkan melalui JKM daerah Manjung kepada Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penduduk kawasan perbandaran telah agihkan kepada ketua-ketua komuniti taman perumahan untuk menyantuni warga komuniti yang layak.
 
Gerak kerja tanggungjawab pengagihan untuk menyantuni komuniti telah dilaksanakan oleh sebahagian Pengerusi Persatuan Penduduk termasuklah di Taman Fasa 2C, Seri Manjung kelmarin yang telah menyampaikan kepada warga taman perumahan yang uzur, balu-balu , ibu tunggal dan warga yang layak.
 
Semoga tenaga dan masa yang dicurahkan pada bulan Ramadhan yang barakah ini diberikan ganjaran oleh Allah SWT kepada semua Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Penduduk yang terlibat.
 
#PrihatinRakyat...nadi komuniti
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN SIRI KE-2 TAHUN 2021M

Ramadhan merupakan bulan kesabaran, bulan santunan, bulan melipat gandakan amalan dan sedekah, bulan dimana Allah melapangkan rezeki setiap hamba Nya.
 
"Barangsiapa yang memberi hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya serta mendapat pahala setimpal sepertimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut." (HR Khuzaimah).
 
Petang ini bertempat di Masjid Hasaniah, Kampung Panchor, Pantai Remis sedang berlangsung program majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT untuk disantuni kepada warga miskin yang tersenarai dalam senarai penerima warga miskin bandar, majlis tahlil dan seterusnya majlis berbuka puasa, mendirikan solat fardu berjemaah Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi siri ke-2 daripada 5 siri kembara ke lokasi mukim daerah Manjung keseluruhannya.
 
Program telah dihadiri oleh Tuan Mohd Helmi bin Haji Arifin, Setiausaha Perbandaran, Encik Razali bin Haji Mat Nayan, Pengarah @ Ketua Jabatan Perbendaharaan, Encik Issamudin bin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, YBhg. Dato' Anuar bin Haji Alias, Ahli Majlis Zon 2 (TLDM), Tuan Haji Zakaria bin Hashim, Ahli Majlis Zon 22 (Pantai Remis- Panchor) Tuan Mejar Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis Zon 20 (Beruas), Encik Ahmad Azmi bin Ismail, Ahli Majlis Zon 18 (Ayer Tawar), Tuah Haji Hamidun bin Ahmad, Ahli Majlis Zon 8 (Seri Manjung) dan Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9 (Seri Manjung).
 
Program majlis berbuka puasa Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti adalah sebagai objektif menghargai sumbangan komuniti perbandaran di setiap mukim yang terletak dalam daerah Manjung kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta mengeratkan hubungan ukhwah serta silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan dan komuniti yang terletak di dalam kawasan perbandaran.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 






 

Saturday, 17 April 2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN BIL.1/2021

PROGRAM MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI PERBANDARAN

Surau Diri Jumaat MADAH, Fasa 1A, Seri Manjung menjadi pembuka tirai program majlis berbuka puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran tahun 2021.
 
Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran dan Ketua Jabatan Majlis Perbandaran Manjung serta Ahli-Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung telah turun padang bagi menyantuni kariah setempat dalam program tahlil, berbuka puasa, solat fardu dan sunat tarawih secara berjemaah.
 
Dalam program yang sama majlis penyampaian kotak makanan Projek ERAT Majlis Perbandaran Manjung kepada warga miskin bandar turut diadakan bagi membantu dan membentuk siasah dalam menghayati kasih sayang dan semangat kekeluargaan bersama komuniti perbandaran.
 
Program majlis berbuka puasa yang diadakan adalah pengisian tahunan Majlis Perbandaran Manjung sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam mengeratkan hubungan ukhwah dan silatturahim di antara Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti perbandaran.
 
Bak kata Tuan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung dalam ucapan ramah mesra "..tiada apa yang lebih utama selain daripada menghargai peranan komuniti yang telah banyak membantu Pihak Berkuasa Tempatan dalam mengenal erti perpaduan dan kemakmuran dikecapi bersama.." 
 
Hubungan mesra Pihak Berkuasa Tempatan bersama komuniti yang sedia ada terjalin perlu diterjemahkan kepada pengkongsian yang lebih bermakna bagi menjurus kepada pemuafakatan yang boleh memberi nilai berkebajikan kepada komuniti perbandaran dalam landskap perpaduan yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Manjung.
 
"..Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.."
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 








 

Monday, 12 April 2021

PROGRAM MAJLIS RUKYAH HILAL RAMADHAN 1442H / 2021M JABATAN MUFTI NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA AGENSI DAN SWASTA

PROGRAM MAJLIS RUKYAH HILAL RAMADHAN 1442H / 2021M JABATAN MUFTI NEGERI PERAK DENGAN KERJASAMA AGENSI DAN SWASTA

Saban tahun lokasi ini menjadi tumpuan umat islam negeri Perak kerana sekurang-kurang 3 kali dalam masa satu tahun majlis mencerap anak bulan akan berlangsung di lokasi ini iaitu Rukyah Hilal Ramadhan, Hilal Syawal dan Hilal Zulhijjah.
 
S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti negeri Perak antara tetamu terhormat yang hadir selain Tuan Abdul Rahman bin Thobroni, Wakil Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Y.D H Toh Seri Bijaya Lt.Kol.(B) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan negeri Perak serta ketua dan wakil agensi persekutuan dan negeri.
 
Program Rukyah Hilal Ramadhan dimulakan dengan majlis bacaan tahlil, diikuti dengan ceramah Ambang Ramadhan dan taklimat kedudukan Hilal Ramadhan yang telah disampaikan oleh S.F Ustaz Mohamad Faizal bin Jani, Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
 
Tepat jam 6.50 petang, Program Rukyah Hilal dijalankan bagi melihat anak bulan kelihatan ataupun tidak diufuk dan tepat jam 7.50 malam, S. S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti negeri Perak mengumumkan bahawa anak bulan atau Hilal Ramadhan tidak kelihatan di Pantai Pasir Panjang kerana cabaran awan tebal dan kabus di kaki langit.
 
Objektif program adalah bagi mendorong umat islam melakukan kajian ilmiah berterusan kepada makluk ciptaan Allah selain menggalakkan umat islam menyambut Ramadhan dengan merenung tanda kebesaran Allah semoga menjadi insan yang bertakwa.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 








 

Sunday, 11 April 2021

KEMPEN PENANAMAN POKOK BAKAU DI PERSISIRAN PANTAI DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

KEMPEN PENANAMAN POKOK BAKAU DI PERSISIRAN PANTAI DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG
 
Pagi ini bertempat di Hutan Simpan Lekir, Parit Haji Dollah, Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan sedang berlangsung Program Kempen Penanaman Pokok Bakau di persisiran pantai.
 
Program adalah anjuran Pertubuhan Sahabat Hutan Bakau Lekir (PSHBL) dengan kerjasama Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung turut disertai oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC), Kumpulan Lions Club Zon 13 Sitiawan, Persatuan Sahabat Alam (KUASA) dan komuniti Kampung Sungai Tiram, Lekir yang melengkapkan kehadiran peserta seramai 120 orang keseluruhannya.
 
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dato' Azri bin Jaafar, Pegawai Khas ADUN Pangkor. Sebanyak 1500 pokok bakau yang disumbangkan oleh Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung ditanam pada program sebentar tadi menjadikan jumlah keseluruhan yang ditanam sehingga ini sebanyak 50,500 pokok bakau di kawasan hutan simpan tersebut.
 
Objektif utama program adalah bagi memupuk kesedaran awam berkenaan kepentingan hutan bakau sebagai kawasan penampan pelindung ombak, menghalang hakisan pasir dan juga pemuliharaan habitat asal alam sekitar persisir pantai. 

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 
 

Saturday, 5 December 2020

PROGRAM GOTONG-ROYONG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA PERSATUAN PENIAGA TELUK BATIK

Program Gotong Royong Majlis Perbandaran Manjung Bersama Persatuan Peniaga Teluk Batik

Pagi tadi telah berlangsung program gotong royong memangkas dahan-dahan pokok yang merbahayakan di kawasan gerai-gerai peniagaan di Teluk Batik. 
 
Program ini merupakan anjuran Persatuan Peniaga Teluk Batik dengan kerjasama Pasukan Penyelenggaraan Pokok Teduhan, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
 
Objektif program adalah sebagai inisiatif Majlis Perbandaran Manjung untuk mewujudkan persekitaran yang selamat kepada peniaga dan juga pengunjung gerai-gerai peniaga di Teluk Batik.
 
Faktor keselamatan, kebersihan disamping persekitaran yang indah dan menarik memainkan peranan yang berkesan untuk menarik pengunjung untuk terus mengunjungi gerai-gerai di pantai peranginan Teluk Batik di masa akan datang.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 





 

Thursday, 3 December 2020

PROGRAM "EDU GO GREEN PROJECT" PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

PROGRAM PELANCARAN EDU "GO GREEN PROJECT" PERINGKAT PPD MANJUNG

Pagi ini bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Manjung sedang berlangsung Program pelancaran Edu Go Green Project dan penanaman pokok Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung.
 
Majlis pelancaran telah di sempurnakan oleh Encik Mohd Akhir Abdul Latif, Pegawai Pendidikan Daerah Manjung yang turut disertai bersama oleh Encik Issamudin Ibrahim, Ketua Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial Majlis Perbandaran Manjung, Pengetua SMK Tok Perdana dan Guru Besar SK Seri Selamat dan lain-lain pegawai serta guru-guru di perkarangan pejabat PPD.
 
Sebanyak dua buah sekolah turut serta SMK Tok Perdana dan SK Seri Selamat berkolaborasi bersama PPD Manjung pada pagi ini bagi program menanam 100 anak pokok pelindung dan buah-buahan bagi projek menghijaukan bumi di lokasi berkenaan.
 
Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung menyumbang 30 anak pokok pelindung terdiri daripada spesis Tecoma, Felicium dan Palm untuk ditanam manakala selebihnya pihak PPD dan pihak sekolah telah membeli anak pokok buah-buahan pelbagai jenis terdiri daripada Durian Musang King, Nangka Madu, Mempelam, Jambu Madu dan pelbagai lagi untuk ditanam di persekitaran kawasan lapang.
 
Objektif program murni ini adalah bagi mewujudkan semangat mencintai alam sekitar sebagai satu inisiatif yang patut dituruti oleh pelbagai agensi, badan bukan kerajaan dan swasta untuk merealisasikan hasrat menjadikan daerah Manjung yang bersih, sihat, hijau dan selamat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung
 







 

Tuesday, 1 December 2020

PROGRAM GOTONG-ROYONG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA AHLI MAJLIS ZON 1 DAN KOMUNITI PULAU PANGKOR

PROGRAM GOTONG-ROYONG MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA AHLI MAJLIS ZON 1 DAN KOMUNITI PULAU PANGKOR

 
Hari ini bertempat di Teluk Nipah, Pulau Pangkor telah berlangsung program gotong-royong bersepadu Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti Pulau Pangkor terdiri daripada Persatuan Penjaja Pulau Pangkor, Kelab Rekreasi Pangkor @ Pangkor Beach Boy, PCT Pangkor dan komuniti Teluk Nipah.
 
Tuan Haji Asmadi bin Teh, Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 1 (Pulau Pangkor) mengetuai komuniti Pulau Pangkor untuk berkolaborasi bersama Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung bagi menebang dan memangkas pokok-pokok di kawasan persekitaran Sungai Nipah yang berhampiran Pantai PeranginanTeluk Nipah dan pada masa yang sama dapat memaparkan keindahan pemandangan di Teluk Nipah.
 
Matlamat program adalah bagi mewujudkan persekitaran yang selamat dan cantik di tepi sungai, memupuk semangat kekitaan warga Pulau Pangkor dan bekerjasama kearah mencantikkan pemandangan kawasan pelancongan.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti & Sosial
Majlis Perbandaran Manjung