About

Wednesday, 30 March 2022

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK (JKP) AHLI MAJLIS ZON 17 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK (JKP) AHLI MAJLIS ZON 17 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Bertempat di Taman Sentosa, Ayer Tawar petang tadi telah dilaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Penduduk (JKP) Ahli Majlis Zon 17, (Ayer Tawar) Majlis Perbandaran Manjung.
Encik Ahmad Faisal bin Haji Mansor selaku Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung yang dilantik pada 16 Februari 2022 tidak menunggu lama untuk membentuk jawatankuasa penduduk kawasan zonnya agar tidak ketinggalan dari sudut infomasi dan isu-isu setempat berkaitan perbandaran dapat diatasi sebaik mungkin.
Sesi taklimat dan objektif JKP telah disampaikan oleh Puan Zulaila Fitri binti Yusop, Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung.
Objektif penubuhan JKP zon ialah bagi tujuan memperkasakan hubungan komuniti perbandaran melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti dan juga sebagai platform kerjasama antara warga perbandaran bersama Pihak Berkuasa Tempatan.
Selain itu, dengan terbentuknya Jawatankuasa Penduduk ini menjadi batu loncatan untuk merealisasikan medium utama melalui teras pembangunan modal insan komuniti setempat kearah yang lebih baik menerusi gerak kerja perbandaran penyayang dan prihatin.
Pelbagai gerak kerja dapat diwujudkan kearah menggalakkan penyertaan aktif komuniti kawasan dalam perbandaran melalui inisiatif perbandaran bersih indah seperti program goyong-royong, gerak kerja perbandaran selamat melalui kawalan rukun tertangga dan sebagainya mencerminkan teras perpaduan dapat dibentuk tanpa mengira bangsa dan agama adalah antara ciri-ciri mekanisma pelaksanaan Jawatankuasa Penduduk Ahli Majlis PBT.
Harapan dengan tertubuhnya JKP zon ini dapat dimanfaat sebaik oleh komuniti setempat kearah mewujudkan tranformasi pembangunan komuniti perbandaran harmoni.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







Sunday, 20 March 2022

PROGRAM MENDERMA DARAH MEMUPUK SIFAT PENYAYANG DI KALANGAN KOMUNITI

 PROGRAM MENDERMA DARAH MEMUPUK SIFAT PENYAYANG DI KALANGAN KOMUNITI

Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Panchor, Pantai Remis telah berlangsung Program Menderma Darah Komuniti.
Program adalah anjuran Jawatankuasa Penduduk Zon 20 Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung bagi menyampaikan objektif dan kesedaran kepada komuniti setempat tentang kepentingan menderma darah yang boleh menyelamatkan nyawa manusia.
Mejar (KM) Azizun bin Ishaak ( Bersara), Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung (Beruas) bersama Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon 20 berkolabarasi bersama Hospital Daerah Manjung, Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menangani masalah kekurangan darah dalam tabung darah hospital kerajaan yang secara tidak langsung merapatkan hubungan antara agensi dan komuniti dalam meningkatkan kesedaran taraf kesihatan negara, memberi pengetahuan lebih jelas tentang kebaikan menderma darah dan keistimewaan yang diperolehi oleh penderma darah disamping dapat menjalin persahabatan tanpa mengira bangsa dan agama ke arah mewujudkan intergrasi nasional.
Lebih menarik program setengah hari tadi yang bermula sejak pagi telah dihadiri oleh Encik Sabarudin bin Ishaak, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang telah menderma darah sebanyak 105 kali sepanjang perkhidmatannya dalam kerajaan.
Turut diadakan adalah peraduan melukis bagi kanak-kanak berumur 7 tahun ke bawah dan cabutan bertuah yang menyajikan penginapan percuma di Bukit Merah Laketown Resort, Simpang Empat, Semanggol.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Puan Dr. Ling J Cyn dan anggota dari Jabatan Tabung Darah, Hospital Daerah Manjung yang menyantuni komuniti dengan penuh sopan dan sabar dalam melaksanakan tanggungjawab.
"...tiada siapa sangka 1 pek darah 30ml dapat menyelamat 3 nyawa manusia..itulah antara pengetahuan baru yang diperolehi hari ini..."
"Dermalah Darah, Selamatkan Nyawa"
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung








PROGRAM PELANCARAN KEMPEN NORMA BAHARU COVID-19 SEKTOR PERUNCITAN DI PULAU PANGKOR

 PROGRAM PELANCARAN KEMPEN NORMA BAHARU COVID-19 SEKTOR PERUNCITAN DI PULAU PANGKOR

Hari ini komuniti perniagaan Pulau Pangkor berasa bertuah menerima Lawatan Kerja YB Dato Sri Alexander Nanda Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam Kempen Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan bersama agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku penyelaras utama kempen ini dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung yang di wakili oleh Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran dan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan yang bertanggungjawab memastikan pematuhan SOP sektor peruncitan yang tinggi di kalangan pemilik perniagaan runcit di kawasan perbandaran.
Tindakan ini adalah susulan daripada pelancaran Kempen Norma Baharu Covid-19 pada 8 Ogos 2020 oleh YAB Pendana Menteri yang bertujuan untuk menggalakkan semua pihak disetiap peringkat untuk mengembleng tenaga dalam memastikan norma baharu kehidupan diamalkan kesan daripada penularan pandemik Covid-19.
Kriteria utama Pulau Pangkor dijadikan pilihan memandangkan pulau percutian bebas cukai ini menjadi tumpuan pengguna terutama pelancong domestik dan luar dalam sektor pelancongan dan disiap siaga awal bagi memastikan ianya dapat menerima pengunjung luar dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka kembali rancak kelak.
Pada program yang sama YB Menteri KPDNHEP turut berbesar hati merasmikan Retail Digitalisation Initiative "Jom E- Wallet Kome" yang menggalakkan dan memperluaskan penggunaan pembayaran tanpa tunai melalui shopee pay, e-wallet, QR pay dan sebagainya.
Di antara langkah yang akan digunakan dalam kempen ini ialah melalui pemasangan Sistem Ulang Siar (Digital Signage Solution) sebagai satu strategi bagi memudahkan semua pihak menerima maklumat dengan pantas dan mudah dan dapat memberi manfaat bukan sahaja dalam Kempen Norma Baharu tetapi juga selepas pandemik Covid-19 dapat diatasi.
Semoga kempen ini dapat membantu sektor peruncitan untuk memenuhi keperluan pembukaan ekonomi dalam keadaan yang selamat.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial,
Majlis Perbandaran Manjung









Sunday, 13 March 2022

PROGRAM GOTONG-ROYONG POLIS DI RAJA MALAYSIA BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 PROGRAM GOTONG-ROYONG POLIS DI RAJA MALAYSIA BERSAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

Pagi tadi bertempat di Balai Polis Pekan Gurney, Sitiawan telah diadakan program gotong-royong pengindahan kawasan dengan penebangan dan mencantas pokok-pokok tua, reput dan yang merbahayakan bagi mengelak daripada ditimpa musibah lebih besar sekiranya berlaku angin kencang, ribut dan hujan lebat.
Ketua Polis Balai, Tuan Mohd Tarmizi Aziz dengan kekuatan 18 anggota Polis Balai berkolabarasi bersama 12 anggota Pasukan Penyelenggaraan Pokok, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung.
Objektif program ini adalah bagi meningkatkan semangat kekitaan dan mewujudkan kerjasama sepakat dalam anggota Polis Di Raja Malaysia dan anggota Majlis Perbandaran Manjung kearah mewujudkan persekitaran yang selamat dan selesa.
Semoga jalinan kerjasama antara agensi kerajaan melalui program seumpama ini memberi ilham kepada komuniti di luar sana untuk bersama-sama menghidupkan kembali semangat kerjasama dalam komuniti.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung