Bagaimana LA21 bermula`
Bermula dengan deklarasi Earth Summit di Rio de Janeiro, Brazil pada tahun 1992, Malaysia telah mengambil inisiatif menyokong Agenda 21, Pelan Tindakan Global ke arah pembangunan mampan untuk abad ke-21. Program LA21, iaitu Agenda 21 di peringkat tempatan menekankan penglibatan dan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam melaksanakan pembangunan mampan di peringkat tempatan sebagaimana yang dinyatakan dalam bab ke-28 Agenda 21.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan United Nations Development Program (UNDP) memulakan pelaksanaan Program LA21 menerusi Program Perintis LA21 pada bulan Mac 2000.
Program LA21 yang memberi tumpuan kepada kerjasama ataupun partnership antara PBT, masyarakat dan sektor swasta ke arah pembangunan mampan jika dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh mampu mewujudkan persekitaran yang selesa, selamat dan harmoni serta melahirkan sebuah masyarakat yang sihat dan peka terhadap isu-isu alam sekitar , sosial dan ekonomi.
Peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
Di peringkat kerajaan PBT adalah agensi yang paling rapat dengan orang awam, dan ia memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan menggembleng orang awam serta memberikan maklum balas kepada orang awam bagi menggalakkan pembangunan mampan. LA21 mula disebut dalam Bab 28 Agenda 21 ;
“menyeru semua PBT di seluruh dunia untuk melaksanakan proses perundingan dengan rakyatnya, organisasi tempatan dan sektor swasta, dan mencapai persetujuan tentang ‘satu LA21’ untuk masyarakatnya”.