About

Sunday 2 October 2022

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT LIONS CLUB OF MANJUNG DENGAN KERJASAMA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

2 Oktober 2022 (Ahad) - Bertempat di Pantai Pasir Panjang, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Segari telah diadakan Program Khidmat Masyarakat daripada badan bukan kerajaan Lions Club International yang disertai oleh 4 Lions Club dari Lumut, Seri Manjung, Sitiawan dan Ayer Tawar dan 2 Leo Club dari sekolah SMK Ambrose dan SMJK Nam Hwa, Ayer Tawar.

Seramai 70 orang sukarelawan dari Lions dan Leo Club berkolaborasi bersama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan meliputi aktiviti "plogging" persisiran pantai dari sampah-sarap, menanam 70 anak pokok persisir pantai dan juga aktiviti membersih kawasan kolam penyu.
Pihak Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar zon 3 menyediakan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah manakala pihak Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 70 anak pokok jenis merambong dalam memenuhi kempen penghijauan daerah Manjung untuk kelestarian alam semulajadi habitat penyu.
Objektif program ini adalah bagi mempromosikan kempen pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar disamping memupuk semangat kesukarelawanan dikalangan generasi muda untuk menjaga keindahan pantai alam semulajadi dan habitat hidupan marin agar terus terpelihara untuk menarik kehadiran penyu dan mengekalkan persisiran pantai ini sebagai kawasan pilihannya untuk bertelur. Bayangkan sekiranya tiada lagi penyu mendarat di Pantai Pasir Panjang, apakah yang akan tinggal untuk diwarisi.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Lions Club Of Manjung yang prihatin kepada kelestarian alam semulajadi dan hidupan marin semoga usaha murni ini terus subur dikalangan masyarakat kita.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung









0 Comments:

Post a Comment