About

Sunday 23 February 2020

PROGRAM AGROFEST 2020 DAERAH MANJUNG

Program Perak SADC Mini Agrofest 2020 anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) masih berlangsung lagi pada hari ini iaitu hari ke-2 dan penamat.

Majlis perasmian dan penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Tuan Haji Yahaya Bin Mat Noh selepas ucapan aluan yang telah sampaikan oleh Tuan Haji Yahanis Bin Yahya, Ketua Eksekutif PPPNP.

Daerah Manjung Bandar Pelancongan Dan Maritim yang menjadi pembuka tirai program pada tahun ini, terutama di Dataran Arena Square Taman Samudera yang menjadi tapak Agrofest 2020 terus dikunjungi dan menjadi tumpuan awam pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa untuk mendapatkan dan membeli produk-produk segar dengan harga yang murah dan berpatutan.

Program Mini Perak SADC Agrofest diadakan lagi pada tahun ini hasil daripada kejayaan yang ditempa pada tahun 2019. Program yang diadakan selama 2 hari pada setiap bulan di setiap daerah.
Usaha dan objektif yang bertujuan untuk memperkenalkan kepada syarikat-syarikat dalam dan luar Negeri Perak dan penduduk warga Negeri Perak untuk mengenali lebih dekat PPPNP dan anak syarikat sebagai badan perniagaan, perusahaan dan pembangunan pertanian di Negeri Perak.

Program Agrofest 2020 dijalankan di 11 daerah serata Negeri Perak bertujuan untuk memperkenalkan aktiviti perniagaan serta produk yang dihasilkan oleh syarikat usahasama, penyewa, pemajak tanah serta para usahawan yang terdapat di bawah payung PPPNP untuk memberi ruang dan peluang kepada kumpulan sasar komuniti yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar mendapatkan hasil segar daripada ladang dengan harga yang berpatutan dan lebih murah.

Semoga inisiatif murni dan mulia yang dilaksanakan oleh PPPNP ini terus mendapat sambutan komuniti di setiap daerah hingga ke daerah penamatnya di Kinta nanti.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






Saturday 22 February 2020

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT - KILANG YAMAHA Mfg (M) SDN BHD

Pusat Konservasi Dan Penerangan Penyu, Segari hari ini menerima kunjungan 40 orang Pegawai dan kakitangan daripada Kilang Yamaha Electronics Manufacturing (M) Sdn Bhd yang merasa bangga kerana dapat melaksanakan (CSR) program khidmat masyarakat menanam pokok merambong, membersih kawasan pantai dan 'memandikan' penyu.

Program kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar, Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung, Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu bersama Kilang Elektronik Yamaha yang berpengkalan di Ipoh.

YAMAHA Mfg. (M) Sdn. Bhd yang di wakili oleh Pengurus Kanan Jabatan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Am, Raja Azhar Bin Raja Abdul Aziz dan Puan Azlina Binti Mohd Zabidi, Pegawai Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Am turut berbesar hati menyumbangkan 5 unit 'bench stone' untuk kegunaan pengunjung dan melakukan pembelian tunai 50 unit pokok merambong daripada Unit Landskap, Majlis Perbandaran Manjung.

Objektif utama program adalah untuk menyemai dan memupuk rasa sayang terhadap pemuliharaan alam sekitar dan hidupan marin seperti penyu yang perlu di pelihara dan di jaga daripada kepupusan agar generasi akan datang dapat mengenalinya secara nyata.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





KEJOHANAN PING PONG BERPASUKAN TERTUTUP MALAYSIA

Dewan Tertutup Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Manjung, Seri Manjung pagi ini menjadi medan "pertempuran" Kejohanan Ping Pong Berpasukan Tertutup Malaysia 2020 bagi merebut piala Dato' Roman Yek Siew Lee.

Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Manjung dan Pertubuhan Ping Pong Perak berlangsung bermula pada hari ini dan bakal berakhir pada keesokkannya.

Majlis perasmiannya telah dilakukan oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Syamsul Hazeman Bin Md Salleh.

Sebanyak 44 pasukan berentap bagi mengintai peluang ke perlawanan akhir yang akan diadakan pada 23 Februari 2020 (Ahad) bagi membolot wang tunai kemenangan keseluruhan yang berjumlah RM13,600.00 termasuk johan yang akan membawa pulang wang tunai RM5,000.00.

Penyertaan yang mendapat sambutan diluar jangkaan menarik minat pelbagai bangsa seluruh Malaysia menjadi kayu pengukur bagi menarik minat serta kerjasama pihak yang lain bagi mempertingkatkan kualiti sukan Ping Pong tanahair sekaligus memberi nafas baru agar negara tidak ketandusan bakat-bakat muda yang boleh diketengahkan.

Program ini adalah sebagai penjana kepada kualiti dan kuantiti komuniti yang berkemahiran dalam sukan Ping Pong yang bakal melahirkan atlet yang berkebolehan dan mampu bersaing.

Semoga usaha yang diketengahkan oleh Majlis Perbandaran Manjung dengan kerjasama Persatuan Ping Pong Perak menjadi penanda aras bagi melahirkan bakat baru yang boleh digilapkan kearah kecemerlangan dan menarik minat komuniti menceburi sukan Ping Pong.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM PENGEMBANGAN & "SAVE OUR SEA" JABATAN PERIKANAN NEGERI PERAK

Pagi tadi bertempat di Pantai Peranginan Teluk Senangin Program Pengembangan Dan " Save Our Sea" Jabatan Perikanan Negeri Perak & Malakoff Coperation Berhad dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung telah diadakan.

Program telah disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Daerah Manjung Tuan Zulhisham Bin Ahmad Shukori.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya pertunjukan bot peronda laju milik Jabatan Perikanan Malaysia, pelepasan anak penyu ke laut lepas dan penanaman pokok kelapa oleh Pegawai Daerah dan ketua-ketua agensi, swasta dan badan bukan kerajaan. 

Selain itu aktiviti pembersihan pantai, pelepasan anak penyu, fish scooping, pameran ikan dan penyu, pertandingan mewarna dan booth pameran dan jualan produk perikanan serta uji rasa produk perikanan turut diadakan kepada awam bagi memupuk tanggungjawab awam terhadap alam sekitar iaitu aset yang perlu dijaga dan paling berharga.

Program yang memberi kesedaran dan kefahaman kepada komuniti mengenai kepentingan hidupan dan ekosistem marin bagi menerapkan rasa sayang terhadap hidupan marin seperti penyu dan sebagainya.

Penglibatan komuniti setempat dan luar diharapkan dapat membentuk jalinan kerjasama yang baik bersama agensi kerajaan dan swasta di dalam penjagaan alam sekitar dan ekosistem marin bagi memastikan generasi yang akan datang dapat mewarisi keindahan dan dapat melihat hidupan marin bebas seperti hari ini.

#kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, tetapi kita meminjamnya daripada generasi akan datang.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM GOTONG ROYONG SJKC AYER TAWAR - 22/2/2020

Pasukan 'skylift' Unit Landskap dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan Bandar Majlis Perbandaran Manjung pagi ini melaksanakan program memangkas pokok-pokok yang mengancam keselamatan komuniti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ayer Tawar.

Program anjuran bersama SJKC Ayer Tawar, Persatuan Ibu Bapa Dan Guru dan Persatuan Alumni sekolah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung.

Inisiatif daripada belas ihsan pihak Majlis Perbandaran Manjung bagi meredakan kerisauan komuniti sekolah mendapat maklum balas yang baik dari pihak ibubapa pelajar dari segi keselamatan nyawa dan harta benda disamping meningkat kebersihan, keceriaan dan mengeratkan hubungan antara komuniti setempat.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





PERASMIAN MESYUARAT AGUNG SMK KDSK KALI KE-9

Mesyuarat Agung Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung merupakan agenda dwi tahunan bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa yang baharu dan perbincangan isu dan kebajikan pelajar.

Hari ini bertempat di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung. Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) bagi kali ke-9 tahun 2020 telah disempurnakan perasmiannya oleh Encik Issamudin Bin Ibrahim, Ketua Jabatan, Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung yang mewakili bagi pihak Yang DiPertua Majlis Manjung yang telah mempunyai program yang lain.

Majlis telah dihadiri oleh Yang DiPertua PIBG, Encik Puzelan Bin Isa, Pengetua sekolah, Puan Roslina Binti Ishak, Ahli Majlis Perbandaran Manjung, Tuan Haji Jamahari Bin Abu Bakar dan pengurusan kanan sekolah, guru-guru serta ibu bapa pelajar.

Di dalam perasmian beliau menyarankan penglibatan aktif komuniti didalam program-program yang dianjurkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan peranan Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial sebagai pemudahcara bagi membantu komuniti melaksanakan program-program selaras dengan kehendak semasa.

Semoga maklumat tepat yang diperolehi dan hubungan dua hala yang dijalinkan oleh dua agensi membuahkan nilai yang baik kearah keakraban yang boleh menyumbang kemakmuran kepada komuniti di Daerah Manjung.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Sunday 16 February 2020

PROGRAM TEBANG POKOK KOLABORATIF ANTARA AGENSI - IPD MANJUNG (16.2.2020)

Kolaboratif bagi memupuk hubungan baik dan strategik antara agensi. Pagi ini bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung (IPD). Program menebang pokok-pokok pelindung jenis Semarak Api yang mengundang masalah pembersihan di kawasan Ibu Pejabat Polis tersebut.

Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung turun padang di dalam konteks membantu merialisasikan masalah yang dihadapi oleh agensi Kementerian Dalam Negeri (KDN) tersebut.

Semoga program yang telah dilaksanakan ini memupuk hubungan baik yang sedia ada terjalin di dalam memberi nilai tambah kepada kemuafakatan antara agensi.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Saturday 15 February 2020

PROGRAM GOTONG ROYONG TEBANG POKOK -SJKT KG TUN SAMBANTHAN (15.2.2020)

Bagi kepentingan untuk penyediaan persekitaran yang kondusif untuk pembelajaran pelajar-pelajar di sekolah.

Pihak SJKT Kampung Tun Sambanthan, Ayer Tawar dan PIBG sekolah telah menganjurkan program gotong royong memangkas pokok-pokok besar yang merbahayakan komuniti sekolah bagi mengelakkan ditimpa musibah ketika berlaku ribut dan hujan lebat.

Program adalah anjuran SJKT dan PIBG sekolah dengan bantuan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung daripada Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar dan juga Unit Landskap.

Objektif adalah bagi meningkat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan warga sekolah dan persatuan bagi mencapai inisiatif keselamatan komuniti sekolah dan setempat.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung






PROGRAM GOTONG ROYONG TEBANG POKOK - SK SITIAWAN (15.2.2020)

SK Sitiawan, Kampung Sitiawan pagi ini melaksanakan Program Gotong Bersama PIBG sekolah, MPKK Kampung Sitiawan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung.

Operasi menebang pokok-pokok yang berkeadaan membahayakan kepada pelajar sekolah dan komuniti setempat dilaksanakan selepas hujan lebat yang turun sejak tengah malam tadi dan mulai berhenti seawal jam 8.00 pagi tadi.

Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung berganding bahu bersama-sama bagi melaksanakan program yang dapat menghilangkan kerisauan komuniti setempat dan ibu bapa pelajar.

Semoga inisiatif murni yang dijalankan di SK Sitiawan pada pagi ini menjiwai semangat gotong royong selaras dengan slogan "Majlis Perbandaran Manjung Di Hati".

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





Sunday 9 February 2020

PROGRAM GOTONG ROYONG ANTI DENGGI DI TAMAN SUNGAI WANG, AYER TAWAR

Komuniti Taman Sungai Wang, Ayer Tawar hari ini melaksanakan Program Gotong Royong Anti Denggi di kawasan penempatan komuniti.

Program anjuran KRT Taman Sungai Wang dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Perkhidmatan Bandar dan Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menganjurkan program bersepadu pembersihan kawasan perumahan.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan persekitaran kawasan perumahan awam merupakan salah satu kawasan kes wabak denggi paling tinggi. 

Justeru itu, matlamat program adalah bagi mewujudkan kesedaran dikalangan komuniti setempat terhadap keperluan dan tanggungjawab menghapuskan tempat pembiakan dan cara mencegah pembiakan nyamuk aedes di kawasan penempatan.

Semangat gotong royong juga perlu diterapkan secara konsisten di kawasan komuniti bagi memerangi wabak denggi bagi memastikan komuniti hidup dalam keadaan selesa, selamat dan terkawal daripada wabak denggi disamping dapat menyemai sikap komuniti yang peka melindungi keluarga dan jiran tertangga.

Semoga usaha murni yang dilaksanakan oleh komuniti pagi ini dapat memberi kesedaran kerana kebersihan kawasan memainkan peranan dan memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung