About

Sunday 29 May 2016

PROGRAM GOTONG ROYONG HAPUSKAN AEDES DAN ZIKA DI TAMAN BERPADU, TAMAN SEJATI 1 & 3, SITIAWAN.



KRT Taman Berpadu, Taman Sejati 1 & 3 bersama Majlis Perbandaran Manjung dan juga agensi-agensi lain yang terlibat telah mengadakan Program Gotong Royong Hapuskan Aedes dan Zika pada 29 Mei 2016 jam 7.30 pagi di Padang Taman Berpadu, Sitiawan. Selain aktiviti gotong royong, turut diadakan pameran kesihatan dan bahaya denggi & zika sepanjang program tersebut berlangsung.

Program tersebut adalah satu usaha yang murni dilakukan oleh KRT Taman Berpadu dan Taman Sejati dalam mencegah dan membasmi penyebaran Aedes dan Zika. Pengerusi KRT Taman Berpadu, Dr. Yusuf Al-Bakri semasa program tersebut berkata, KRT Taman Berpadu menyambut baik usaha kerajaan selama ini dalam memperjuangkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat. Ini adalah salah satu inisiatif yang boleh dilakukan oleh penduduk setempat dalam bersama-sama kerajaan memerangi wabak denggi. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada penduduk setempat, Majlis Perbandaran Manjung dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.








PROGRAM GOTONG ROYONG PERDANA TAMAN FASA 3A




Pada pagi ahad 29 Mei 2016 telah berlangsung Program Gotong Royong Perdana anjuran bersama KRT Taman Fasa 3A, JPP, Surau Nurul Iman dan Majlis Perbandaran Manjung. Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi itu diadakan di Pejabat KRT Taman Fasa 3A. 

Majlis Perbandaran Manjung telah menyediakan barangan keperluan untuk tujuan gotong royong tersebut seperti tong sampah arm roll, pencakar dan skop. Objektif program tersebut ialah untuk merapatkan lagi silaturahim antara penduduk setempat di samping bersama-sama membersihkan kawasan tempat tinggal untuk mencegah nyamuk aedes dan wabak denggi. 







Saturday 28 May 2016

FESTIVAL & PERTANDINGAN SILAT SENI TERBUKA GANGGA NEGARA 2016



Persatuan Pencak Silat Sri Gayong Panglima Ulung Malaysia dan Majlis Perbandaran Manjung serta agensi-agensi kerajaan daerah Manjung telah menganjurkan Festival & Pertandingan Silat Seni Terbuka Gangga Negara 2016 di Kompleks Tertutup Majlis Perbandaran Manjung pada 28 dan 29 Mei 2016.

Festival yang berlangsung pada hari sabtu dan ahad tersebut adalah penganjuran yang julung kali diadakan dan telah berjaya menarik penyertaan lebih 300 pesilat-pesilat seluruh negara. Pasukan silat Selangor Junior telah muncul sebagai juara keseluruhan bagi pertandingan tersebut.

Perasmian pembukaan festival ini telah disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung, En. Ismail Bin Ibrahim, AMP. Sepanjang dua hari festival dan pertandingan tersebut berlangsung, pengunjung telah dihidangkan dengan pelbagai elemen-elemen kebudayaan melayu seperti pemakaian busana-busana lama melayu, penggunaan alatan dan senjata seperti keris dan juga alunan irama-irama melayu lama menggunakan gendang, serunai dan sebagainya. 









   






KONVENSYEN COMBI & SAMBUTAN HARI DENGGI ASEAN PERINGKAT NEGERI PERAK



Tarikh 28 Mei 2016 telah berlangsung Konvensyen COMBI dan Sambutan Hari Denggi Asean peringkat Negeri Perak di Dewan EMV, Seri Manjung Perak. Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang Dato' Rashidi Ibrahim telah dijemput untuk berucap dan merasmikan konvensyen tersebut.

Konvensyen yang bermula pukul 9.00 pagi itu dihadiri oleh ramai pengunjung-pengunjung yang bersama merealisasikan hasrat kerajaan dalam pencegahan wabak denggi. Terdapat pameran-pameran dari pejabat kesihatan seluruh negeri Perak berkaitan dengan nyamuk aedes dan wabak denggi.














PROGRAM CERAMAH PERDANA AMBANG RAMADHAN BERSAMA USTAZ ABDULLAH KHAIRI DI TAMAN FASA 2B




Jatankuasa Surau Al-Qassam Taman Fasa 2B bersama Majlis Perbandaran Manjung serta beberapa lagi agensi yang terbabit telah menganjurkan Program Ceramah Perdana Ambang Ramadhan di Lapangan Surau Al-Qassam, Taman Fasa 2B pada 28 Mei 2016. Penceramah yang dijemput untuk menjayakan program tersebut ialah Ustaz Abdullah Khairi.

Program Ceramah Perdana tersebut berlangsung pada hari Sabtu jam 9.00 malam dan dihadiri oleh lebih 150 orang yang terdiri daripada penduduk setempat, agensi kerajaan dan agensi swasta. Objektif dan tujuan program ini dijalankan adalah untuk melahirkan sifat bersyukur terutamanya umat Islam dalam menjalani ibadah puasa yang akan tiba tidak lama lagi.







Tuesday 24 May 2016

JELAJAH TOWN HALL MEETING @ BERUAS



Pada 24 Mei 2016 telah diadakan Jelajah Town Hall Meeting di Beruas. Program ini adalah salah satu inisiatif Majlis Perbandaran Manjung dalam mendekati komuniti dan mendengar permasalahan mereka. Program jelajah ini adalah kesinambungan kepada Program Town Hall Meeting bagi Perbandaran Manjung yang telah diadakan pada 17 Mei yang lalu.

Mesyuarat bersama Ketua-Ketua Kampung, Tok Sidang dan JPP Beruas turut diadakan dan dipengerusikan oleh En. Ahmad Zamhuri bin Mahmud, Ahli Majlis Perbandaran Manjung Zon 16. Program tersebut turut dihadiri oleh dua Ahli Majlis Perbandaran Manjung iaitu En. Shaiful Faisal Bin Haji Salleh, Zon 19 dan Puan Salmah Binti Sojak, Zon 20. Antara isu-isu yang diutarakan oleh wakil komuniti Beruas adalah seperti pencerahan bidang kuasa ketua kampung, ahli majlis dan JPP. Selain itu,turut dibincangkan mengenai kawasan perkelahan Ulu Licin, cadangan untuk dimajukan kawasan lombong di Kg. Che Putih, Beruas, permasalahan jalan sempit dari SMK. Raja Shariman, permasalahan ceroboh tanah kerana pembinaan longkang, cadangan diwujudkan medan selera, perbincangan mengenai sambutan Beruas 100 Tahun dan banyak lagi.

Isu-isu yang telah dibincangkan semasa jelajah tersebut telah diambil perhatian dan dalam perancangan untuk tindakan selanjutnya selain terdapat juga isu-isu yang telah jelas dan diselesaikan.










Sunday 22 May 2016

KEJOHANAN BADMINTON SMASH @ YDP CUP 2016 DI MANJUNG BADMINTON ARENA (MBA), LEKIR



Kejohanan Badminton Smash @ YDP Cup 2016 Majlis Perbandaran Manjung telah berjaya diadakan dengan kerjasama Manjung Badminton Arena (MBA), Lekir. Kejohanan tersebut berjaya menarik ramai penyertaan dari bakat-bakat baru serta pemain-pemain novis badminton. Antara agensi- agensi yang turut menyertai kejohanan ini adalah seperti Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Kejohanan yang berlangsung selama 2 hari ini iaitu dari 21-22 Mei 2016 dirasmikan oleh En. Ismail Bin Ibrahim AMP., Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung. Penyertaan peserta dibahagi kepada dua bahagian iaitu pencarian bakat-bakat baru dalam badminton dan juga bahagian novis kejohanan.