About

Saturday 18 December 2021

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

 

PROGRAM KELESTARIAN ALAM SEKITAR PENGHIJAUAN MANJUNG INISIATIF AGENSI DAN BADAN BUKAN KERAJAAN

Bertempat di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pantai Pasir Panjang, Segari telah dilaksanakan Program Penghijauan Manjung selaras dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok yang dilancarkan pada 5 Januari 2021 lalu hingga menjelang 2025.
 
Program anjuran Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) bersama J&T Express, UNIkl Mimet dan Kolej Komuniti Seri Manjung dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung dan Jabatan Perikanan Malaysia.
 
Unit Landskap Majlis Perbandaran Manjung telah menyumbangkan 21 pokok teduhan daripada pelbagai jenis dan 60 pokok persisir pantai jenis merambong sumber makanan habitat merin seperti penyu dan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perkhidmatan membekalkan tong sampah armroll dan bekalan plastik sampah.
 
Seberat 317 kg sampah sarap telah dapat dikutip di sepanjang persisiran pantai pada program gotong-royong tersebut dengan penglibatan penuh anggota agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam yang turut serta.
 
Antara pengisian lain yang diadakan adalah pembersihan pantai pendaratan penyu daripada sampah sarap, penanaman pokok persisiran pantai, taklimat konservasi penyu dan aktiviti pelepasan anak penyu yang telah matang ke laut lepas.
 
Semoga program kelestarian sumber dan alam sekitar memberi nilai tambah kepada kerajaan negeri yang komited untuk menjadi peneraju kepada mempromosikan agenda "Perak Bumi Lestari" yang memerlukan komitmen berterusan dari agensi, badan bukan kerajaan, swasta dan orang awam untuk bersama-sama berganding bahu mencapai matlamat tersebut.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung





 

 

Tuesday 14 December 2021

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

 

MESYUARAT PENUBUHAN JAWATANKUASA PENDUDUK KALI PERTAMA AHLI MAJLIS ZON 16, ZON 20 DAN ZON 6 MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG

1) Bertempat di Dewan Mesyuarat Chung Hwa, Kampung Koh, Sitiawan pada 5 Disember 2021 Tuan Dr. Chieng Lee Chong, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 16 (Sitiawan).
 
2) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Tualang, Beruas pada 14 Disember 2021 Tuan Mejar (KM) Azizun bin Ishaak, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 20 (Beruas) dan
 
3) Bertempat di Dewan Orang Ramai Kampung Dato' Seri Kamaruddin, Seri Manjung pada 15 Disember 2021 Cik Sabariah binti Haji Zakaria, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Manjung Zon 6 (Seri Manjung).
 
telah berjaya menubuhkan Jawatankuasa Penduduk (JKP) zon masing-masing dengan mengadakan mesyuarat kali pertama dengan penyertaan barisan ahli jawatankuasa yang terdiri pemimpin masyarakat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pengerusi Persatuan Penduduk, Pengerusi Kawasan Rukun Tertangga (KRT) dan ketua-ketua masyarakat yang berhubung rapat dengan komuniti.
 
Objektif penubuhan Jawatankuasa Penduduk adalah selaras dengan tanggungjawab Ahli Majlis yang seumpama ADUN di kawasan DUN yang mempunyai penduduk dibawah kawasan jajahan zon mereka yakni sebagai ikon tenaga penggerak masyarakat bagi mewujudkan platform kerjasama bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menyampaikan maklumat atau penerangan keatas sesuatu isu yang ada.
 
Selain daripada itu Jawatankuasa Penduduk juga berperanan sebagai satu inisiatif dalam menggalakkan penyertaan warga perbandaran dalam program outreach di kawasan perbandaran.
 
Program perasmian dan sesi taklimat berkaitan penubuhan Jawatankuasa Penduduk Majlis Perbandaran Manjung telah disampaikan oleh Encik Issamudin bin Ibrahim, Pegawai Tadbir @ Ketua Jabatan dan juga Encik Muhamad Shukri, Penolong Pegawai Tadbir, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial.
 
Semoga penubuhan jawatankuasa ini membantu komuniti setempat mendapat maklumat tepat dan menjadi tempat rujukan komuniti berkenaan pelbagai isu perkhidmatan dan perbandaran Pihak Berkuasa Tempatan dalam memperkasakan hubungan komuniti perbandaran melalui peranan Ahli Majlis sebagai ketua komuniti.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung.
 






 

Friday 10 December 2021

PROGRAM JIWA MURNI BERSEPADU KD PELANDOK TLDM BERSAMA AGENSI KERAJAAN DAN SWASTA MEMURNIKAN PERSEKITARAN
 

Sungai Lumut Kanan, Lumut terutama di Taman Desa Bayu dan Desa Manjung Raya menjadi medan "pertempuran" program gotong-royong Jiwa Murni Bersepadu antara pihak KD Pelandok bersama agensi Majlis Perbandaran Manjung, Jabatan Pengairan dan Saliran Manjung yang turut disertai oleh kedua rakan niaga agensi melalui Puncak Emas Infra Sdn.Bhd dan Empayar Indera Sdn. Bhd serta komuniti setempat.
 
Sesuai dengan sebutan Jiwa Murni, program yang dilangsungkan adalah bagi memurnikan kawasan yang telah dikenal pasti tercemar oleh sampah sarap daripada bahan buangan komuniti yang terdapat di sepanjang jajaran sungai tersebut.
 
Sebelum itu Kepten Mahadzir bin Mohktar, Pegawai Memerintah KD Pelandok telah merasmikan program tersebut yang turut disertai oleh Komander Ir.TS Ng Keng Lip, Ketua Fakulti Kejuruteraan KD Pelandok, Tuan Haji Rosli bin Abd Rahman, Ahli Majlis Zon 9, Majlis Perbandaran Manjung, Encik Suhaimi bin Mat, Penolong Jurutera, Jabatan Pengairan dan Saliran, Encik Zakwan Fikri bin Mohd Hasnan, Jurutera Puncak Emas Infra Sdn. Bhd, Encik Shahril Yusnizan bin Mat Zulkifli, Pengurus Seksyen Empayar Indera Sdn.Bhd dan Lt.Ir. Amirul Faiz bin Kamaruddin, Pegawai Bengkel Srimala KD Pelandok selaku penyelaras program.
 
Objektif program adalah bagi membersihkan aliran sungai daripada sampah-sarap yang tersekat yang berpontensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sebagainya.
 
Agenda paling utama adalah program yang dapat mewujudkan hubungan erat silaturahim antara warga TLDM bersama agensi dan swasta serta komuniti melalui kerja amal ke arah menyumbang pencapaian sasaran pimpinan dengan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
 
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung