About

Sunday 3 April 2022

PROGRAM RUKYAH HILAL RAMADAN 1443H

 PROGRAM RUKYAH HILAL RAMADAN 1443H

1 April 2022 (Jumaat), Petang ini bertempat di Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Segari telah diadakan Program Rukyah Hilal Ramadan 1443H. Ia bertujuan untuk menentukan tarikh bagi permulaan berpuasa dengan menentukan kenampakan hilal (anak bulan) Ramadan bagi tahun 2022.
"..janganlah kamu berpuasa kecuali kamu melihat anak bulan dan berbukalah kamu (berhari raya) apabila kamu melihat anak bulan.." Hadis Nabi SAW (Riwayat Imam Muslim)
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak, YDH Toh Seri Bijaya Left.Kol (Bersara) Dato' Shaharudin bin Haji Nazari, Orang Besar Jajahan Manjung, YBhg. Orang Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato' Haji Meor Redwan bin Mahayudin, OBJ Hilir Perak, YBhg. Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Dato' Wan Mohd Isa bin Dato' Haji Wan Razalli, OBJ Larut, Matang dan Selama, YDH Toh Muda Orang Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda Dato' Ar LA Meor Roslan bin Dato' Seri Haji Meor Ahmad Rashidi, OBJ Hulu Perak, YDH Toh Muda Orang Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja Dato' Ab Wahab bin Dato' Seri Azizul Hassan, OBJ Kinta, YDH Toh Paduka Setia Dato' Ir. Dr. Safry Kamal bin Haji Ahmad, OBJ Mu'allim, YDH Toh Paduka Indera Dato' Haji Mat Rasid bin Ayob, OBJ Batang Padang, YDH Toh Seri Lela Paduka Dato' Dr. Khalid bin Ismail, OBJ Bagan Datuk, Pegawai Tadbir Agama Daerah dan ketua serta wakil jabatan kerajaan persekutuan dan negeri serta orang awam yang tidak melepas peluang untuk melihat kaedah mencerap anak bulan dan mendapat keputusan pemulaan berpuasa secara langsung.
Majlis bermula pada jam 5.00 petang dengan bacaan tahlil dan doa yang dipimpin oleh A.F Ustaz Ahmad Khairul Nizam bin Ahmad Tarmizdi, Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Negeri Perak,
seterusnya ceramah khas berkaitan hubungan manusia dengan makluk Allah yang lain iaitu bulan oleh Prof.Dr.Azmil bin Hashim, Ahli Majlis Hai'ah Negeri Perak dan taklimat Kenampakan Hilal Ramadan oleh A.F Ustaz Mohd Faizal bin Jani , Ketua Pegawai Falak, Jabatan Mufti Negeri Perak.
Aktiviti cerapan anak bulan melalui peralatan teleskop yang disediakan oleh pihak Jabatan Mufti Negeri Perak dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) Negeri Perak.
YBhg. S.S Dato' Haji Zamri bin Hashim, Timbalan Mufti Negeri Perak mengumumkan bahawa hilal tidak kelihatan dan melaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia setelah terbenamnya matahari yang menyaksikan permulaan ibadah puasa akan genap 30 hari iaitu bermula pada 3 April 2022.
Majlis diakhiri dengan solat Maghrib secara berjemaah bersama-sama pimpinan agamawan negeri Perak.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung







0 Comments:

Post a Comment