About

Tuesday 12 April 2022

PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 3)

 PROGRAM JEJAK WARISAN MASJID DAN MAJLIS BERBUKA PUASA MAJLIS PERBANDARAN MANJUNG BERSAMA KOMUNITI (EDISI 3)

12 April 2022 (Selasa) - Masjid An- Nawawi, Kampung Pengkalan Baharu, Pantai Remis menjadi destinasi ke-tiga kembara Program Berbuka Puasa Majlis Perbandaran Manjung bersama komuniti perbandaran bagi tahun 2022.
Masjid berwarna putih dan biru yang terletak berhampiran sungai Pengkalan Baharu tersebut ialah masjid yang kerap menjadi tempat tumpuan persinggahan bagi pengguna jalan raya antara Taiping dan daerah Manjung untuk menunaikan solat dan sebagainya.
Hari ini masjid tersebut dikunjungi oleh Tuan Syamsul Hazeman Md Salleh, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung yang mengetuai barisan tertinggi Majlis Perbandaran Manjung bersama rombongan yang turut disertai oleh Encik Mohd Helmi Arifin, Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Manjung, barisan Ahli-Ahli Majlis, Pengarah Jabatan, Ketua Jabatan dan anggota pelbagai jabatan di Majlis Perbandaran Manjung.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pengurus Seksyen dan anggota syarikat konsesi Puncak Emas Infra Sdn.Bhd untuk bersama-sama komuniti setempat dalam menghidupkan malam di bulan yang penuh barokah ini dengan mendirikan solat fardu Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih secara berjemaah bersama komuniti kampung tersebut.
Sebelum itu, pada program yang sama turut diadakan majlis santuni golongan asnaf warga miskin bandar yang terdapat di kariah tersebut dengan pemberian sumbangan berupa kotak makanan daripada Projek Ekspedisi Rakyat Terbela (ERAT) Majlis Perbandaran Manjung. Walaupun nilainya tidak seberapa namun apa yang utama ialah ingatan, keinginan pihak Majlis Perbandaran Manjung untuk membantu dan menghargai golongan asnaf tersebut yang turut sama mewarnai dan menjadi rencah kehidupan di kawasan perbandaran.
"...saya mengucapkan terima kasih diatas kesudian tuan/puan menerima kehadiran kami dalam komuniti ini dan membantu kami..." antara tutur kata luhur dan ikhlas daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung diawal pembuka bicara pertemuan.
Semoga ikatan persaudaraan islam yang kukuh menjadi pemangkin kepada kemakmuran dan kesejahteraan komuniti di perbandaran Manjung.
Bahagian Kemasyarakatan
Jabatan Pembangunan Komuniti dan Sosial
Majlis Perbandaran Manjung










0 Comments:

Post a Comment